Pilih bahasa anda

Language

HUMS Latih Guru dan Pelajar Jadi Responden Awal Kecemasan

 

Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) melalui Jabatan Perubatan Kecemasan dan Pusat Uberisasi Kesihatan Komuniti telah menjayakan Program First Responder Life Support (FRLS) di SMK Titingan baru-baru ini bagi melatih guru dan pelajar sebagai responden awal ketika berdepan situasi kecemasan.

Program dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah itu berlangsung selama dua hari dan melibatkan guru dan pelajar dari lima buah sekolah menengah iaitu SMK Titingan, SMK Tawau, SMK Jalan Apas, SMK Pasir Putih serta SMK Balung.

Penyelaras FRLS, Dr. Jamariah Jamadi berkata, fokus utama program adalah memberi pendedahan kepada peserta mengenai teknik Hands-Only CPR (resusitasi kardiopulmonari) dan tatacara penggunaan Automated External Defibrillator (AED).

“Program ini bermatlamat melatih FRLS Coach dalam kalangan guru dan pelajar bagi memastikan ilmu serta kemahiran yang diperoleh dapat dikongsikan dan diteruskan secara berperingkat di sekolah masing-masing.

“Usaha berterusan ini turut menyokong aspirasi Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) melalui kempen Kids Save Lives yang menggalakkan pendidikan CPR dalam kalangan pelajar sekolah.

“Pendekatan ini diharap dapat meningkatkan kesedaran serta kesiapsiagaan komuniti sekolah dalam memberikan bantuan awal ketika berlakunya kecemasan, khususnya kes henti jantung di luar hospital atau out-of-hospital cardiac arrest (OHCA),” katanya.

Tambah Jamariah, program tersebut menerima maklum balas positif daripada peserta menerusi pelbagai aktiviti praktikal dan kaedah pembelajaran interaktif.

“Menerusi pendekatan train-the-trainer, inisiatif ini dilihat mampu melahirkan lebih ramai warga sekolah yang berpengetahuan, berkemahiran dan berkeyakinan untuk bertindak sebagai responden awal ketika menghadapi situasi kecemasan.

“Bagi memastikan kesinambungan latihan serta menghargai komitmen sekolah yang terlibat, pihak penganjur turut menyumbangkan set manekin CPR, kit pertolongan cemas dan sijil penyertaan kepada semua sekolah yang mengambil bahagian,” katanya.

Ujar beliau, perluasan program berkenaan diharap dapat memberi manfaat kepada lebih banyak sekolah, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman, sekali gus membina jaringan komuniti sekolah yang terlatih serta berupaya memberikan bantuan awal ketika kecemasan.

Penganjuran program itu merupakan kali ketujuh sejak inisiatif FRLS diperkenalkan oleh HUMS, sekali gus memperluas usaha HUMS dalam memberikan pendidikan dan latihan bantuan kecemasan asas kepada komuniti sekolah di Sabah.

SUMBER

PAUTAN PANTAS

PELAJAR

PAUTAN LAIN

KAMPUS INDUK UMS

Universiti Malaysia Sabah
Jalan UMS, 88400 Kota Kinabalu
Sabah, Malaysia
Tel: +(60)88 320000
Emel: ccc@ums.edu.my

UMS KAMPUS LABUAN

UMS Kampus Antarabangsa Labuan
Jalan Sungai Pagar, 87000 WP Labuan
Tel: +(60)87 - 503000
Emel: adminkal@ums.edu.my

Image
ums brain of borneo
#UMStheBrainofBorneo
#BrainofBorneo

Pilih bahasa anda