
Avilla Adrene Marcus, pelajar Program Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL), Fakulti Pendidikan dan Sukan (FPPS), Universiti Malaysia Sabah (UMS), terpilih sebagai salah seorang wakil Malaysia ke Program Pertukaran Belia Malaysia-Korea (MKYEP) 2026.
Program tersebut dianjurkan oleh Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) di bawah Kementerian Belia dan Sukan Malaysia.
Pemilihan dibuat melalui proses saringan yang kompetitif, bermula dengan Kem Pemilihan yang berlangsung pada 2 hingga 5 Mei 2026 di Institut Latihan Pos Malaysia, Bangi, Selangor.
Dekan FPPS UMS, Profesor Madya Dr. Soon Sing Bikar Singh berkata beliau menyifatkan penyertaan Avilla sebagai satu pencapaian yang mencerminkan usaha fakulti dalam melahirkan bakal pendidik berfikiran global.
“Kami berbangga melihat pelajar TESL membawa nama UMS ke platform antarabangsa melalui MKYEP 2026.
“Program pertukaran seperti ini memberikan pendedahan yang bermakna kepada pelajar serta membantu mereka membina keyakinan diri dan kesedaran terhadap kepelbagaian budaya, selaras dengan aspirasi fakulti untuk melahirkan graduan yang seimbang dan bersedia menghadapi dunia global,” ujarnya.
Selepas terpilih mewakili Malaysia, Avilla menyertai keseluruhan siri program yang merangkumi Program Inbound di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Negeri Sembilan, dua siri Latihan Pra-Pelepasan serta Program Outbound di Seoul, Republik Korea.
Sepanjang Program Outbound, Avilla turut diberi tanggungjawab sebagai Timbalan Ketua Media bagi delegasi Malaysia, dengan membantu usaha dokumentasi dan publisiti program, selain menyertai pelbagai aktiviti kebudayaan, pendidikan dan kemasyarakatan bersama wakil belia dari Republik Korea.
Ketua Program TESL FPPS UMS, Dr. Ting Pick Dew, berkata pencapaian Avilla merupakan satu kebanggaan kepada Program TESL dan UMS.
“Penglibatan Avilla dalam MKYEP 2026 mencerminkan pembangunan holistik yang ingin kami lihat dalam kalangan pelajar TESL, bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi turut mampu mewakili Malaysia dengan yakin di peringkat antarabangsa.
“Pengalaman seperti ini dapat membentuk kemahiran kepimpinan, komunikasi dan rentas budaya yang akan memberi manfaat kepada beliau sebagai bakal pendidik bahasa Inggeris,” jelasnya.


