
Seramai lapan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menyertai misi akademik antarabangsa ke Persekutuan Rusia baru-baru ini bagi memperkukuh diplomasi pelajar serta meningkatkan pendedahan dalam bidang hubungan antarabangsa.
Menerusi program “The Russia Chapter 2026” anjuran Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) UMS itu, delegasi UMS yang terdiri daripada pelajar Tahun 3 Program Hubungan Antarabangsa telah mengadakan lawatan rasmi ke beberapa institusi utama di sekitar Moscow dan St. Petersburg.
Antaranya termasuk Kedutaan Malaysia di Moscow, The Pushkin State Russian Language Institute, National Research University Higher School of Economics (HSE University), ITMO University serta Moscow State Institute of International Relations (MGIMO University).
Penasihat Fakulti merangkap Ketua Delegasi UMS, Dr. Mohd Ikhram Mohd Ridzuan berkata, program itu bertujuan memberi peluang kepada pelajar membina jaringan institusi, selain memperkenalkan Model United Nations (MUN) UMS di peringkat global serta memperkukuh pertukaran intelektual antara Malaysia dan Rusia.
"Program ini juga memupuk kemahiran diplomasi, pemikiran kritikal serta kefahaman terhadap isu geopolitik semasa melalui pengalaman pembelajaran berasaskan lapangan.
Sepanjang program ini, pelajar telah membentangkan analisis akademik berkaitan hubungan Malaysia–Rusia, kerjasama ekonomi dalam kerangka BRICS serta penjajaran strategik Rusia–China dalam sektor tenaga.
"Program ini turut diserikan dengan elemen diplomasi budaya melalui persembahan silat dan Tarian Zapin Johor sebagai usaha memperkenalkan warisan budaya Malaysia kepada komuniti antarabangsa," katanya.
Mohd Ikhram turut memaklumkan program tersebut merupakan satu lagi pencapaian penting dalam penglibatan global pelajar Hubungan Antarabangsa UMS selepas kejayaan misi akademik ke Manila pada 2024 dan Türkiye pada 2025.
"Ini mencerminkan kesinambungan usaha dalam melahirkan pelajar UMS yang berwawasan global, berkeupayaan intelektual serta mempunyai kesedaran diplomatik dalam mewakili negara.
“Justeru itu, penghargaan diberikan kepada semua pihak yang terlibat termasuk Kedutaan Malaysia di Moscow, institusi pengajian tinggi di Rusia serta Russian Culture House di Kuala Lumpur atas sokongan dan kerjasama dalam menjayakan misi ini," ujar beliau.
Delegasi lapan pelajar yang diketuai Pengarah Program, Nur Farah Sabrina Hadari turut disertai pensyarah Program Hubungan Antarabangsa, Prof. Madya Wan Shawaluddin Wan Hassan.


