
Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan menganjurkan Program Alumni Seni UMS: Wall of Fame pada 30 April ini bertempat di Dewan Resital UMS, sebagai platform menghimpunkan graduan dalam bidang seni kreatif, teknologi seni visual dan muzik.
Program tersebut dianjurkan oleh Pertubuhan Alumni Seni UMS (ASUMS) dengan kerjasama Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF) UMS, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Alumni UMS, dengan matlamat memperkukuh jaringan profesional dalam kalangan alumni di samping memperkasa peranan mereka dalam pembangunan industri kreatif dan komuniti.
Pengerusi ASUMS, Dr. Rosli Sareya berkata, majlis berkenaan akan disempurnakan oleh Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun.
Menurut beliau, program itu turut menampilkan barisan panel dalam kalangan alumni yang akan berkongsi pengalaman serta perjalanan kerjaya masing-masing.
“Antara panel yang terlibat ialah Asisten Superintendan Hamdan Ali Hassan yang merupakan Alumni Program Seni Kreatif, Inspektor Willbonoh Zain seorang Alumni Program Seni Muzik dan Inspektor Jayson Jason Japary salah seorang Alumni Program Teknologi Seni Visual,” katanya.
Beliau menerangkan, penganjuran program tersebut membuka ruang kepada alumni untuk berkongsi ilmu, kemahiran dan pengalaman khususnya dalam sektor pendidikan, industri kreatif serta pembangunan komuniti.
Rosli berkata, inisiatif berkenaan mampu memperkukuh peranan ASUMS sebagai platform utama dalam menyelaras kepakaran serta sumbangan alumni kepada universiti dan masyarakat.
Menurutnya, program tersebut turut menggalakkan pembentukan kolaborasi strategik antara alumni, institusi dan industri bagi memperluas peluang kerjaya serta pembangunan bakat dalam kalangan graduan.
“Usaha ini selaras dengan aspirasi untuk memperkasa sumbangan alumni dalam pembangunan komuniti melalui aktiviti seni, inovasi kreatif serta program berimpak sosial.
“Selain itu, program ini dijangka meningkatkan penglibatan berterusan alumni dalam menyokong kecemerlangan ASTiF UMS,” ujarnya lagi.
Dr. Rosli yang juga Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa ASTiF UMS turut menjemput warga ASTiF serta alumni Seni UMS untuk hadir memeriahkan program berkenaan dan memanfaatkan sesi perkongsian bersama panel.
Beliau berharap penganjuran program seumpama ini dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan jaringan alumni yang lebih kukuh, progresif dan berdaya saing di peringkat negeri mahupun nasional.


