Pilih bahasa anda

Language

Penyelidikan Pelajar Sarjana UMS Angkat Warisan Perubatan Herba Tradisional Dusun Tobilung

 

Penyelidikan dan inovasi yang dijalankan oleh pelajar Sarjana Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengangkat warisan perubatan herba tradisional etnik Dusun Tobilung dengan kerjasama Walai Tobilung di Kampung Minansad, Kota Marudu.

Inovasi Native Herbal Trail meraih dua anugerah pada Borneo Festival of Ideas (BFOI) 2026 menerusi Pertandingan Inovasi Kearifan Borneo (PKIB), sekali gus mengiktiraf potensi ilmu warisan masyarakat orang asal.

Pelajar Sosiologi dan Antropologi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UMS, Mohammad Heairyzal Tamrin berkata, idea inovasi tersebut tercetus melalui usaha komuniti bagi menjaga herba tradisi di samping membuat kajian di peringkat Sarjana.

“Inisiatif ini berasaskan usaha mendokumentasi, memperkenal dan mengetengahkan pengetahuan tradisional masyarakat orang asal, khususnya berkaitan penggunaan tumbuhan herba dalam amalan perubatan tradisional yang diwarisi secara turun-temurun.

”Kajian ini turut selaras dengan pendekatan Sistem Pengetahuan Orang Asal Indigenous Knowledge Systems, (IKS) yang mengiktiraf kepentingan pengetahuan, pengalaman dan amalan masyarakat orang asal sebagai khazanah ilmu yang bernilai,” katanya.

Tambahnya, dalam masyarakat Dusun Tobilung, Bobolian berperanan penting sebagai sumber rujukan masyarakat dan pengamal perubatan tradisional yang mempunyai pengetahuan mendalam tentang penggunaan herba serta kaedah penyembuhan yang diwarisi secara turun-temurun.

“Bobolian bukan sekadar pengamal perubatan tradisional, malah berperanan sebagai arkib hidup yang menyimpan, mempraktikkan dan mewariskan pengetahuan perubatan tradisional etnik Dusun Tobilung.

“Penyelidikan itu memberi tumpuan kepada sistem pengetahuan tempatan, peranan pengamal perubatan tradisional serta kepentingan memastikan ilmu warisan masyarakat terus dipelihara dan tidak hiang ditelan zaman.

Inovasi tersebut menerima Anugerah Emas dan Anugerah Ilham Tradisi, selain menyumbang kepada kejayaan Walai Tobilung dinobatkan sebagai juara keseluruhan serta menerima Anugerah Gemilang Kearifan dalam pertandingan berkenaan yang berlangsung di Dewan Pusat Kuliah Ke-2 UMS, baru-baru ini.

Melalui Native Herbal Trail, hasil penyelidikan akademik UMS dan komuniti diterjemahkan kepada pendekatan yang lebih dekat dengan masyarakat, sekali gus membuka peluang kepada generasi muda untuk mengenali tumbuhan herba tempatan dan memahami hubungan antara alam semula jadi dengan budaya tradisional.

Tambah Heairyzal, inisiatif itu berpotensi menyokong pembangunan pelancongan berasaskan komuniti dengan mengetengahkan keunikan pengetahuan tempatan sebagai sebahagian daripada identiti Kampung Minansad.

Pencapaian pada BFOI 2026 memperlihatkan bagaimana penyelidikan dalam bidang sosiologi dan antropologi mampu menghasilkan inovasi yang memberi manfaat kepada komuniti, khususnya dalam usaha memperluas pengetahuan tradisional sebagai khazanah yang bernilai.

Bagi memastikan kesinambungan inisiatif itu, Walai Tobilung menjalinkan kerjasama dengan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan serta Program Kimia Industri UMS untuk menyokong usaha pemeliharaan dan pembangunan Native Herbal Trail.

SUMBER

PAUTAN PANTAS

PELAJAR

PAUTAN LAIN

KAMPUS INDUK UMS

Universiti Malaysia Sabah
Jalan UMS, 88400 Kota Kinabalu
Sabah, Malaysia
Tel: +(60)88 320000
Emel: ccc@ums.edu.my

UMS KAMPUS LABUAN

UMS Kampus Antarabangsa Labuan
Jalan Sungai Pagar, 87000 WP Labuan
Tel: +(60)87 - 503000
Emel: adminkal@ums.edu.my

Image
ums brain of borneo
#UMStheBrainofBorneo
#BrainofBorneo

Pilih bahasa anda