
Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) memacu komitmen berterusannya dalam menyantuni komuniti pedalaman menerusi penganjuran Program Sentuhan Kasih: Revitalisasi Kesihatan dan Kebajikan di Kawasan Pedalaman 2026 di Sekolah Kebangsaan (SK) Magandai, Kota Marudu, baru-baru ini.
Program berimpak tinggi berkenaan dianjurkan oleh Jabatan Perkhidmatan Kejururawatan (JPK) HUMS melalui kolaborasi strategik bersama Kelab Pacuan Empat Roda di bawah pimpinan Pusat Uberisasi Kesihatan dan Komuniti HUMS.
Inisiatif itu merupakan kesinambungan daripada program revitalisasi JPK HUMS yang dilaksanakan pada tahun lalu, dengan fokus utama ke arah memperluaskan akses perkhidmatan kesihatan dan sokongan kebajikan bagi penduduk luar bandar.
Kampung Magandai dipilih sebagai lokasi program berikutan cabaran geografi dan aksesibiliti yang dihadapi penduduk untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan, khususnya kerana mereka perlu menggunakan bot, kenderaan pacuan empat roda atau berjalan kaki selama beberapa jam untuk ke pekan atau bandar berhampiran.
Inisiatif itu turut memperkukuh jejak libat urus UMS di kawasan tersebut, yang menyusuli penganjuran program oleh Kelab Pacuan Empat Roda UMS melalui Ekspedisi Rentas Borneo Kali Ke-4 pada tahun 2017.
Menerusi program berkenaan, HUMS memberi penekanan kepada pendekatan penjagaan kesihatan secara komprehensif dan holistik, merangkumi pendidikan pencegahan penyakit, pengurusan penyakit kronik, kepekaan terhadap penjagaan kesihatan mental, serta pemerkasaan sokongan sosial.
Langkah tersebut adalah platform proaktif bagi HUMS untuk melebarkan capaian kepakaran klinikal melepasi sempadan fasiliti hospital, sekali gus mendekatkan kemudahan rawatan kepada komuniti yang berdepan dengan kekangan logistik.
Bagi melancarkan pelaksanaan program di kawasan pedalaman itu, sebanyak 10 kenderaan pacuan empat roda telah digerakkan untuk membawa barangan sumbangan, bekalan perubatan, serta peralatan diagnostik kesihatan secara terus ke tapak program.
Misi kesihatan itu berjaya dilaksanakan dengan penglibatan 23 kakitangan HUMS dan menerima sambutan menggalakkan apabila seramai 115 penduduk Kampung Magandai serta perkampungan sekitar hadir mendapatkan rawatan kesihatan.
Program berkenaan turut merangkumi sesi perkongsian literasi kesihatan secara interaktif kepada murid-murid SK Magandai bagi meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mereka mengenai kepentingan penjagaan kesihatan.
Selain itu, sumbangan khas turut disampaikan kepada 12 penduduk Kampung Magandai sebagai usaha membantu meringankan beban serta menjaga kebajikan penerima.
Penganjuran program itu diharap dapat memberikan manfaat berterusan kepada komuniti setempat melalui peningkatan literasi kesihatan, peluasan akses kepada perkhidmatan rawatan serta sokongan terhadap kesejahteraan sosioekonomi penduduk, selaras dengan komitmen UMS untuk terus berbakti kepada masyarakat, khususnya di kawasan pedalaman


