Pilih bahasa anda

Language

Pesta Memancing UMS-Sepanggar Salur RM10,000 kepada Dapur Mahasiswa UMS

Penganjuran Pesta Memancing UMS-Sepanggar 2026 memberi impak ketara kepada kebajikan mahasiswa apabila sejumlah RM10,000 disalurkan kepada program Dapur Siswa Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Jamawi Jaafar berkata, sumbangan tersebut bertujuan membantu mahasiswa yang kurang berkemampuan dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup, sekali gus memastikan kebajikan pelajar terus terpelihara.

“Melalui pertandingan ini sahaja, kita menyumbangkan kira-kira RM10,000 kepada program Dapur Siswa, khususnya bagi membantu mahasiswa yang kurang berkemampuan.

“Inisiatif ini mencerminkan pendekatan holistik yang menggabungkan aktiviti komuniti dengan agenda kebajikan mahasiswa, selain memperkukuh hubungan strategik antara kementerian, UMS dan komuniti nelayan setempat,” ujar beliau.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud menyifatkan penganjuran pesta tersebut sebagai platform yang bukan sahaja berunsur rekreasi, malah mempunyai nilai sosial, ekonomi dan pelancongan yang mampu memberi manfaat kepada kawasan Sepanggar.

“Penglibatan UMS dalam program seumpama ini membuka ruang kepada mahasiswa untuk mendekati komuniti, memupuk semangat kesukarelawanan serta meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar.

“Sebahagian hasil program turut disalurkan kepada program Dapur Siswa UMS bagi membantu mahasiswa dalam kalangan B40, ini merupakan satu usaha yang amat baik dan wajar diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Penutupan Pesta Memancing UMS-Sepanggar 2026, di Pantai Kemudi Ilmu UMS.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah Pusat Khidmat Parlimen Sepanggar, Ahsim Jamat.
Dalam pada itu, Mustapha turut menyokong agar Pesta Memancing Sepanggar dijadikan sebagai acara tahunan rasmi, sekali gus berpotensi diketengahkan sebagai produk pelancongan komuniti dan sukan rekreasi di Sabah.

“Penganjuran secara konsisten mampu menarik penyertaan lebih luas termasuk dari luar negeri dan negara jiran, selain membuka peluang ekonomi kepada komuniti nelayan melalui pelbagai aktiviti sokongan,” tambah Mustapha.

Program berkenaan turut mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan kira-kira 300 peserta, melebihi sasaran awal 200 orang.

Ardawyi Join muncul sebagai johan bagi pertandingan tersebut dan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 diikuti oleh John Raymer di tempat kedua dengan RM3,000 manakala tempat ketiga dimenanangi oleh Jerry Paidi yang menerima RM1,000.

Turut hadir Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor; Penolong Naib Canselor Strategik, Profesor Dr. Mohammad Saffree Jeffree; Pengarah Pusat Komunikasi Korporat UMS, Dr. Rizal Zamani Idris dan Pensyarah Kanan Institut Marin Borneo UMS, Dr. Chong Wei Sheng.

SUMBER

PAUTAN PANTAS

PELAJAR

PAUTAN LAIN

KAMPUS INDUK UMS

Universiti Malaysia Sabah
Jalan UMS, 88400 Kota Kinabalu
Sabah, Malaysia
Tel: +(60)88 320000
Emel: ccc@ums.edu.my

UMS KAMPUS LABUAN

UMS Kampus Antarabangsa Labuan
Jalan Sungai Pagar, 87000 WP Labuan
Tel: +(60)87 - 503000
Emel: adminkal@ums.edu.my

Image
ums brain of borneo
#UMStheBrainofBorneo
#BrainofBorneo

Pilih bahasa anda