
Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Kolej Kediaman Tun Fuad Sesi 2025/2026 telah menganjurkan Program Citra Orator 2.0 di Sekolah Kebangsaan Bawang K9, Beluran baru-baru ini bagi memperkasa kemahiran komunikasi, kepimpinan serta perkongsian ilmu secara terbuka kepada pelajar.
Program yang melibatkan kira-kira 50 peserta itu memberi tumpuan khusus kepada pelajar Tingkatan Dua dan Tiga melalui pelbagai aktiviti berkaitan orator, komunikasi berkesan dan pembangunan sahsiah.
Perasmian program tersebut telah disempurnakan oleh Penyelaras Aktiviti Menengah SK Bawang K9, Frediza Thesila Saimon yang mewakili Guru Besar sekolah itu, Freddy Maginjoh.
Menurut Frediza, program berkenaan bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar mempraktikkan teknik komunikasi berkesan, malah membantu memperkukuh kemahiran insaniah seperti kerjasama, kepimpinan dan kecerdasan emosi.
“Pendekatan program ini yang mengintegrasikan elemen kesukarelawanan dan kepekaan sosial turut memberi nilai tambah kepada pelajar dalam membentuk jati diri, semangat tanggungjawab dan nilai empati.
“Saya percaya pengalaman yang diperoleh sepanjang program ini akan memberi impak positif kepada para pelajar, bukan sahaja dalam konteks pembelajaran, tetapi juga dalam pembentukan sahsiah dan jati diri yang lebih mantap,” katanya.
Beliau turut berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang dengan tempoh pelaksanaan lebih panjang bagi membolehkan lebih banyak pengisian dijalankan.
Selain memperkukuh kemahiran insaniah, program berkenaan turut menerapkan elemen kesukarelawanan apabila mahasiswa membantu warga sekolah yang terjejas akibat banjir teruk pada Februari lalu.
Antara bantuan disalurkan termasuk kerja pembersihan kawasan sekolah, pembangunan semula perpustakaan sekolah serta sokongan moral kepada warga sekolah yang terkesan akibat bencana itu.
Program itu turut mendapat kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah, Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Penampang dan Cawangan Tanjung Aru melalui sumbangan bahan bacaan bagi membantu pembangunan semula perpustakaan sekolah terbabit.


