Pilih bahasa anda

Language

Program “Bah STEM Dulu!” Perkasa Minat STEM Melalui Kolaborasi UMS–UPM

Unit Penyelidikan dan Pendidikan Luar Bandar, Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan (FPPS), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Kelab MySTEM Ambassador Universiti Putra Malaysia (UPM) serta Persatuan Mahasiswa Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan (MAPENSU) telah menganjurkan Program “Bah STEM Dulu!” di beberapa sekolah sekitar Tuaran, Kota Kinabalu dan Ranau.

Program tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada murid terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui pelbagai aktiviti interaktif berasaskan pendekatan pembelajaran melalui permainan.

Dekan Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan, Profesor Madya Dr. Soon Singh Bikar Singh berkata, penganjuran program seumpama ini selari dengan usaha universiti dalam memperkukuh pendidikan STEM bermula dari peringkat awal pendidikan sehingga ke sekolah menengah.

“Program kolaboratif antara universiti dan sekolah ini bukan sahaja memberi manfaat kepada murid, malah turut membuka ruang kepada perkongsian ilmu dan pengalaman antara institusi pendidikan tinggi dan komuniti sekolah.

“Inisiatif seperti ini mampu memberi inspirasi kepada murid untuk terus meneroka bidang STEM di samping menyokong usaha memperkukuh pendidikan STEM khususnya di kawasan luar bandar,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Unit Penyelidikan Pendidikan Luar Bandar merangkap Penasihat Program, Profesor Madya Dr. Connie Shin @ Connie Cassy Ompok berkata, inisiatif tersebut dilaksanakan bagi meningkatkan minat serta kefahaman murid terhadap bidang STEM melalui pendekatan pembelajaran yang kreatif dan menyeronokkan.

Menurut beliau, pendedahan awal kepada konsep sains dan teknologi amat penting dalam menyemai minat murid untuk terus meneroka bidang STEM di samping membina asas pemikiran saintifik sejak peringkat awal pendidikan.

“Program ini melibatkan beberapa institusi pendidikan iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Rungus, Tuaran, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandaraya, Kota Kinabalu, Prasekolah SK Rampayan Menggatal, SK Pekan Ranau, Tabika KEMAS Pekan Ranau serta SK Lohan, Ranau.

“Antara aktiviti yang dijalankan termasuk I-Shape by Shape yang memberi pendedahan kepada konsep geometri melalui aktiviti reka cipta, serta aktiviti ‘Menjelajah Dunia’ melalui Apps: Learning About Animals to Learn About the World yang membantu murid mengenali dunia melalui tema haiwan.

“STEM Race yang merangkumi enam stesen cabaran turut dilaksanakan bagi menguji pemahaman peserta terhadap konsep matematik, pusat graviti, tekanan, elektronik, prinsip Bernoulli serta daya memusat melalui aktiviti berkumpulan,” katanya.

Tambah beliau, peserta turut mengikuti aktiviti STEMTech di Taman Negara Kinabalu dan STEMTrails di Canopy Walkway, Poring Hot Spring yang memberi pendedahan kepada kepelbagaian biodiversiti serta kepentingan pemeliharaan alam sekitar.

“Program ini juga membawa peserta meneroka aplikasi sains dan teknologi dalam sektor penternakan melalui eksplorasi STEMLife di Desa Cattle Dairy Farm, selain aktiviti STEMTech di Kundasang War Memorial yang menggabungkan elemen teknologi dan sejarah,” katanya lagi.

Majlis perasmian program disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.38 Paginatan merangkap Pengerusi Perbadanan Pinjaman Sabah, Datuk Rusdin Riman yang menyatakan sokongan terhadap inisiatif tersebut dalam memperkasa pendidikan dan pembangunan generasi muda.

SUMBER

PAUTAN PANTAS

PELAJAR

PAUTAN LAIN

KAMPUS INDUK UMS

Universiti Malaysia Sabah
Jalan UMS, 88400 Kota Kinabalu
Sabah, Malaysia
Tel: +(60)88 320000
Emel: ccc@ums.edu.my

UMS KAMPUS LABUAN

UMS Kampus Antarabangsa Labuan
Jalan Sungai Pagar, 87000 WP Labuan
Tel: +(60)87 - 503000
Emel: adminkal@ums.edu.my

Image
ums brain of borneo
#UMStheBrainofBorneo
#BrainofBorneo

Pilih bahasa anda