
Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah melaksanakan Program STEM Outreach @ SK Kitobu di Sekolah Kebangsaan Kitobu, baru-baru ini.
Program tersebut merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Program STI 100³ Kitaran 2 Tahun 2025, iaitu inisiatif nasional “100 Saintis, 100 Sekolah, 100 Hari” anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Pelaksanaan program turut memperkukuh jalinan kerjasama strategik antara UMS dan SK Kitobu dalam usaha memperkasa pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di peringkat sekolah rendah.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Guru Besar SK Kitobu, Maureen Peter Limpas.
Menurut Maureen, penganjuran program berkenaan bertepatan dengan hala tuju Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Program berimpak tinggi seperti ini berupaya menyokong usaha memperkasa budaya sains dan inovasi dalam kalangan murid luar bandar selain memberi pendedahan awal kepada bidang STEM yang dapat membina keyakinan serta memperluas aspirasi murid,” katanya.
Sementara itu, saintis yang dipadankan dengan SK Kitobu, Dr. Nur Hanisah Azmi berkata, Program STI 100³ merupakan platform signifikan dalam menyemai minat terhadap sains serta membudayakan pemikiran saintifik dalam kehidupan seharian murid.
“Pendekatan interaktif menerusi sesi ceramah, pameran sains dan permainan pendidikan dirangka bagi memperlihatkan bahawa STEM merupakan bidang yang dekat dengan kehidupan harian, termasuk aspek pemakanan dan kesihatan.
“FSMP UMS sentiasa komited untuk terus memperkasa kesedaran terhadap bidang sains dan teknologi melalui pendekatan pembelajaran yang inovatif serta kolaborasi berterusan antara universiti, sekolah dan komuniti,” katanya.
Program tiga hari tersebut melibatkan lebih 190 murid Tahun 1 hingga Tahun 6 dengan pensyarah FSMP, pelajar Kelab Pemakanan UMS, dan U-Science UMS sebagai penggerak.


