Pilih bahasa anda

Language

Saringan Awal Hepatitis Penting Cegah Komplikasi Hati – Pakar HUMS

 

Orang ramai disaran menjalani saringan awal hepatitis kerana penyakit itu sering tidak menunjukkan gejala pada peringkat awal, sekali gus meningkatkan risiko komplikasi serius seperti sirosis dan kanser hati jika lambat dikesan.

Pakar Perubatan Keluarga di Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS), Profesor Madya Dr. Mohd Nazri Mohd Daud berkata hepatitis ialah keradangan hati yang boleh berpunca daripada jangkitan virus atau faktor lain seperti pengambilan alkohol berlebihan, ubat-ubatan tertentu, sindrom metabolik dan penyakit autoimun.

Menurut beliau, virus hepatitis akan menyerang sel-sel hati yang sihat dan menyebabkan keradangan yang boleh berkembang menjadi fibrosis atau parut pada hati, seterusnya sirosis serta kanser hati jika tidak dirawat.

“Virus hepatitis akan menyerang dan merosakkan sel-sel hati yang sihat, di mana virus ini akan menggandakan diri mereka dan menyebabkan kerosakan pada hati.

“Keradangan itu boleh berkembang kepada fibrosis, diikuti sirosis sekali gus meningkatkan risiko kanser hati yang boleh membawa kepada kegagalan fungsi hati,” katanya dalam satu temu bual sempena Hari Hepatitis Sedunia yang disambut pada 28 Julai setiap tahun.

Mengulas lanjut, Nazri berkata Hepatitis A dan E lazimnya berpunca daripada makanan atau minuman yang tercemar dan kebanyakan pesakit boleh pulih sepenuhnya dengan rawatan, sebaliknya hepatitis B dan C boleh menjadi penyakit kronik jika tidak dikesan serta dirawat pada peringkat awal.

“Hepatitis B dan C boleh merebak melalui darah yang tercemar, perkongsian jarum suntikan, perkongsian barangan peribadi seperti berus gigi dan pisau cukur, hubungan seksual tanpa perlindungan serta daripada ibu yang dijangkiti kepada bayi semasa kehamilan,” katanya.

Beliau berkata kebanyakan pesakit tidak mengalami gejala pada peringkat awal, menyebabkan penyakit itu hanya dikesan selepas komplikasi berlaku.

“Pada kebiasaannya, pesakit hepatitis menunjukkan gejala-gejala seperti keletihan, tiada selera makan, loya, muntah, kencing gelap, najis menjadi pudar, serta kekuningan pada mata dan kulit.

“Namun, perlu diingatkan tanda-tanda ini tidak muncul pada peringkat awal, tetapi biasanya muncul apabila seseorang itu sudah pun mengalami komplikasi penyakit ini.

“Ini bermakna seseorang itu telah menghidap hepatitis selama bertahun-tahun dan hanya dikesan apabila gejala mula muncul,” jelasnya.

Nazri berkata perkembangan rawatan kini memberi harapan kepada pesakit, khususnya bagi hepatitis C yang boleh disembuhkan melalui penggunaan ubat Direct-Acting Antivirals (DAA) jika penyakit dikesan lebih awal.

“Lebih 95 peratus pesakit hepatitis C boleh sembuh sepenuhnya dengan rawatan DAA sekiranya penyakit dikesan dan dirawat pada peringkat awal,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa vaksin hepatitis B kekal sebagai langkah pencegahan paling berkesan dan disyorkan kepada golongan berisiko termasuk petugas kesihatan serta ahli keluarga pesakit hepatitis B.

Pada masa sama, beliau menasihati masyarakat supaya mengamalkan gaya hidup sihat, termasuk mengelakkan pengambilan alkohol, berhenti merokok, menjaga pemakanan dan menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala bagi mengurangkan risiko penyakit hati. 

SUMBER

PAUTAN PANTAS

PELAJAR

PAUTAN LAIN

KAMPUS INDUK UMS

Universiti Malaysia Sabah
Jalan UMS, 88400 Kota Kinabalu
Sabah, Malaysia
Tel: +(60)88 320000
Emel: ccc@ums.edu.my

UMS KAMPUS LABUAN

UMS Kampus Antarabangsa Labuan
Jalan Sungai Pagar, 87000 WP Labuan
Tel: +(60)87 - 503000
Emel: adminkal@ums.edu.my

Image
ums brain of borneo
#UMStheBrainofBorneo
#BrainofBorneo

Pilih bahasa anda