Pilih bahasa anda

Language

Syarahan Naib Canselor UMS Perkukuh Kerjasama Akademik Dengan Victoria University of Wellington

 

Hasrat Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Victoria University of Wellington (VUW) untuk memperkukuh kerjasama akademik diterjemah melalui penganjuran Keynote Lecture yang disampaikan oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor di VUW, New Zealand baru-baru ini.

Kasim menyampaikan syarahan bertajuk "Bridging Asia and New Zealand: Trade, Global Disruptions, and the Human Capital Imperative for Future Economic Cooperation" kepada ahli akademik, penyelidik dan warga Fakulti Perniagaan dan Kerajaan VUW.

Dalam syarahan itu, beliau menegaskan universiti berperanan sebagai pemangkin pembangunan bakat, inovasi dan penyelidikan dalam memperkukuh hubungan antara Asia dan New Zealand, khususnya dalam mendepani cabaran ekonomi global.

"Ketidaktentuan ekonomi global, perubahan geopolitik, transformasi digital serta permintaan terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi menuntut institusi pengajian tinggi memperkukuh kerjasama rentas negara.

"Mobiliti pelajar dan pensyarah, penyelidikan bersama serta perkongsian kepakaran merupakan antara pendekatan terbaik untuk melahirkan graduan yang berdaya saing di peringkat antarabangsa," katanya.

Beliau berkata, perkongsian itu menjadi platform penting bagi memperkukuh hubungan akademik Malaysia-New Zealand menerusi pertukaran pandangan mengenai landskap perdagangan antarabangsa, kesan gangguan global terhadap ekonomi dunia serta kepentingan pembangunan modal insan sebagai pemacu kerjasama ekonomi pada masa hadapan.

Kasim turut berkongsi pengalaman UMS dalam memacu kecemerlangan akademik, penyelidikan dan kolaborasi antarabangsa yang menyokong agenda pembangunan mampan serta pengantarabangsaan pendidikan tinggi.

Sesi syarahan itu turut membuka ruang kepada perbincangan dua hala antara delegasi UMS dan warga akademik VUW mengenai potensi kerjasama dalam bidang perniagaan, ekonomi, tadbir urus, inovasi, pembangunan modal insan serta penyelidikan berimpak tinggi.

Perbincangan tersebut mencerminkan komitmen kedua-dua institusi untuk memperkukuh hubungan akademik yang memberi manfaat kepada Malaysia dan New Zealand.

Penganjuran syarahan itu melengkapkan siri lawatan rasmi UMS ke VUW, termasuk pemeteraian Surat Niat (LoI) antara kedua-dua universiti sebagai asas pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik meliputi pertukaran pelajar dan staf akademik, penyelidikan bersama, latihan industri, pembangunan program akademik serta pengukuhan agenda pengantarabangsaan. 

SUMBER

PAUTAN PANTAS

PELAJAR

PAUTAN LAIN

KAMPUS INDUK UMS

Universiti Malaysia Sabah
Jalan UMS, 88400 Kota Kinabalu
Sabah, Malaysia
Tel: +(60)88 320000
Emel: ccc@ums.edu.my

UMS KAMPUS LABUAN

UMS Kampus Antarabangsa Labuan
Jalan Sungai Pagar, 87000 WP Labuan
Tel: +(60)87 - 503000
Emel: adminkal@ums.edu.my

Image
ums brain of borneo
#UMStheBrainofBorneo
#BrainofBorneo

Pilih bahasa anda