Pilih bahasa anda

Language

UMS Anjur PDPA Connect Sabah 2026, Tumpu Perlindungan Data dalam Sektor Kesihatan

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Hospital UMS (HUMS) menganjurkan PDPA Connect Sabah 2026: Towards a Smart and Safe Healthcare Data Ecosystem baru-baru ini bagi membincangkan kepentingan perlindungan data peribadi serta tadbir urus data yang selamat ke arah pembentukan ekosistem data kesihatan yang pintar dan dipercayai.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, penganjuran program dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) itu amat bertepatan dengan keperluan semasa ketika teknologi, data dan inovasi menjadi pemacu utama perubahan dalam pelbagai sektor, termasuk penjagaan kesihatan.

Katanya, agenda pendigitalan di Sabah bukan lagi satu pilihan, sebaliknya merupakan keperluan strategik bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat menjadi lebih cekap, inklusif dan berdaya tahan.

"Namun, kemajuan digital ini perlu bergerak seiring dengan tadbir urus data yang baik, keselamatan maklumat yang kukuh dan perlindungan data peribadi yang berkesan.

"Tema program pada hari ini, iaitu “Towards a Smart and Safe Healthcare Data Ecosystem” mengingatkan kita bahawa masa depan sektor kesihatan bukan sahaja bergantung kepada keupayaan untuk menjadi lebih pintar melalui teknologi, tetapi juga kepada keupayaan untuk memastikan data yang digunakan dalam sistem kesihatan diurus secara selamat, bertanggungjawab dan dipercayai,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena perasmian majlis berkenaan yang berlangsung di Bankuasi Dewan Canselori UMS.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Jordan Jude Ellron.

James berkata, data memainkan peranan penting dalam membantu doktor dan pengamal kesihatan membuat keputusan yang lebih tepat, sekali gus meningkatkan kecekapan operasi hospital serta menyokong penyelidikan, pembangunan dasar dan inovasi dalam sektor kesihatan.

Menurut beliau, keyakinan masyarakat terhadap perkhidmatan kesihatan digital bergantung kepada sejauh mana maklumat peribadi mereka diurus secara telus, selamat dan bertanggungjawab.

“Setiap organisasi yang mengurus data kesihatan perlu mempunyai tadbir urus yang jelas bagi memastikan data digunakan secara berhemah, dilindungi dengan sewajarnya serta risiko berkaitan dapat dikawal dengan berkesan.

"Kita perlu melihat perlindungan data bukan sebagai beban tambahan, sebaliknya sebagai pelaburan dalam membina kepercayaan masyarakat,” tegasnya.

James turut menyifatkan program tersebut sebagai platform penting yang menghimpunkan pihak kawal selia, institusi kesihatan, universiti, industri, penyelia teknologi dan masyarakat bagi memperkukuh ekosistem data kesihatan yang lebih selamat dan dipercayai.

Beliau berkata, institusi seperti UMS dan HUMS mempunyai peranan penting sebagai pemangkin kepada pembudayaan amalan tadbir urus data yang baik selain melahirkan modal insan yang memahami kepentingan perlindungan data serta keselamatan maklumat.

Sehubungan itu, beliau berharap program tersebut menjadi pemangkin kepada kerjasama lebih erat antara JPDP, Kerajaan Negeri Sabah, UMS, HUMS dan pihak industri dalam memperkukuh agenda kepercayaan digital serta pembangunan ekosistem kesihatan digital yang inklusif, pintar dan selamat di Sabah.

Sementara itu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj Mansor berkata, pihak UMS berbangga apabila HUMS diberi kepercayaan sebagai rakan strategik dan penganjur bersama JPDP dalam menjayakan program itu.

Beliau berkata, tema program tersebut amat bertepatan dengan perkembangan semasa yang menyaksikan sektor kesihatan semakin bergantung kepada teknologi digital, pemprosesan data peribadi, integrasi sistem maklumat kesihatan serta perkongsian data merentas organisasi.

Menurut beliau, perkembangan berkenaan turut membawa tanggungjawab besar kepada semua pihak untuk memastikan aspek perlindungan data dan privasi pesakit diberi perhatian sewajarnya.

“Seminar ini merupakan satu platform untuk memperkukuh pemahaman dan kesedaran dalam kalangan Pengawal Data sektor kesihatan mengenai tanggungjawab serta keperluan pematuhan di bawah Akta 709, atau lebih dikenali sebagai Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (APDP).

"Sebagai sebuah institusi menara gading yang memiliki hospital pengajarnya sendiri, UMS sentiasa komited dalam memastikan amalan terbaik pengurusan data diaplikasikan secara holistik dalam operasi harian,” katanya dalam ucapan yang disampaikan oleh Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar.

Beliau turut berharap program tersebut dapat membuka ruang perkongsian ilmu, membina jaringan kerjasama serta meningkatkan komitmen semua pihak dalam memastikan standard perlindungan data peribadi terus dipelihara.

Hadir sama pada majlis tersebut Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi, Shariffah Rashidah Syed Othman; Pengarah HUMS, Prof. Madya Dr. Malehah Mohd. Noh; dan Pengarah Jabatan Digital UMS, Ts. Effendy Hadis

SUMBER

PAUTAN PANTAS

PELAJAR

PAUTAN LAIN

KAMPUS INDUK UMS

Universiti Malaysia Sabah
Jalan UMS, 88400 Kota Kinabalu
Sabah, Malaysia
Tel: +(60)88 320000
Emel: ccc@ums.edu.my

UMS KAMPUS LABUAN

UMS Kampus Antarabangsa Labuan
Jalan Sungai Pagar, 87000 WP Labuan
Tel: +(60)87 - 503000
Emel: adminkal@ums.edu.my

Image
ums brain of borneo
#UMStheBrainofBorneo
#BrainofBorneo

Pilih bahasa anda