
Kemahiran pengurusan emosi yang berkesan memainkan peranan penting dalam membendung konflik interpersonal daripada meletus menjadi tindakan keganasan, terutamanya apabila tekanan dan emosi negatif gagal ditangani dengan baik.
Pensyarah Kanan Fakulti Psikologi dan Kerja Sosial (FPKS) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Tuan Norbalkish Tuan Abdullah menekankan bahawa tindakan keganasan lazimnya tidak berlaku secara tiba-tiba, sebaliknya berpunca daripada emosi yang terpendam dan diabaikan dalam tempoh yang lama.
Menurut beliau, perasaan marah dan kecewa yang berpanjangan boleh menyebabkan tekanan sebelum berkembang menjadi dendam.
Beliau berkata tekanan akibat masalah pekerjaan, kewangan dan keluarga antara cabaran kehidupan yang boleh mempengaruhi emosi seseorang sekiranya tidak ditangani secara berkesan.
“Apabila keadaan ini tidak diuruskan, perasaan negatif yang bercambah dalam diri akan terkumpul dan boleh meletus,” katanya ketika ditemui sempena Sambutan Hari Tanpa Keganasan Sedunia.
Dalam pada itu, Norbalkish berkata individu yang berdepan konflik boleh menggunakan beberapa kaedah mudah untuk mengawal emosi, termasuk teknik pernafasan dan mengambil jarak daripada situasi yang mencetuskan tekanan.
“Teknik pernafasan yang digunakan dalam sesi kaunseling boleh membantu seseorang menenangkan diri dengan berhenti seketika, mengawal pernafasan dan mengingatkan diri supaya bertenang.
“Selain itu, jarak daripada situasi tegang juga penting bagi membolehkan individu mendapatkan ruang bagi menenangkan diri,” tambahnya.
Mengulas kesan keganasan, beliau berkata implikasinya bukan sahaja melibatkan emosi dan psikologi, malah boleh menyebabkan tubuh berasa letih akibat tekanan yang berpanjangan.
Menurutnya, individu yang mengalami kesan konflik dalam tempoh yang lama juga akan mula berasa tidak selesa untuk berinteraksi dengan orang lain dan cenderung menjauhkan diri daripada persekitaran sosial.
Pada masa sama, beliau menasihati individu yang mengalami kesan konflik secara berterusan sehingga dua minggu wajib mendapatkan bantuan segera daripada kaunselor atau individu yang dipercayai.


