
Pusat Pengantarabangsaan dan Penglibatan Global (PPPG), Universiti Malaysia Sabah (UMS) mewarnai Meet and Greet with International Students in Malaysia (MAGNET) 2026 dengan kepelbagaian budaya menerusi penyertaan kali kelima dalam program berkenaan yang berlangsung di Negeri Sembilan baru-baru ini.
PPPG dalam satu kenyataan memaklumkan, penyertaan tersebut menjadi platform untuk memperluas interaksi dan jaringan dalam kalangan pelajar antarabangsa, selain memberi ruang kepada UMS mengetengahkan budaya serta identiti pelajarnya di peringkat kebangsaan.
Program berkenaan menyediakan ruang kepada pelajar antarabangsa untuk berinteraksi, berkongsi pengalaman serta meraikan kepelbagaian budaya dalam komuniti pendidikan tinggi Malaysia.
“Bagi edisi kali ini, UMS diwakili oleh 10 pelajar antarabangsa dari Timor-Leste yang mengetengahkan budaya, adat dan identiti negara berkenaan menerusi aktiviti kebudayaan serta reruai pameran UMS.
“Reruai pameran UMS turut menerima kunjungan Education Attaché at the Embassy of the Democratic Republic of Timor-Leste in Kuala Lumpur, Mr. Hernani Viterbo da Costa Soares, yang berkesempatan berinteraksi bersama delegasi UMS.
“Selain aktiviti kebudayaan, delegasi UMS turut menyertai lima pertandingan, iaitu pertandingan Congkak, Batu Seremban, Tiger and Goat, nyanyian dan persembahan kebudayaan,” menurut kenyataan itu.
PPPG memaklumkan UMS berjaya meraih tempat ketiga dalam pertandingan Tiger and Goat dan Batu Seremban, selain menjadi finalis dalam pertandingan Lagu Melayu.
“Penyertaan UMS dalam MAGNET 2026 mencerminkan komitmen universiti dalam menyediakan peluang penglibatan bermakna kepada pelajar antarabangsa, di samping mengetengahkan kepelbagaian budaya dalam komuniti UMS.
“Penglibatan tersebut turut memperluas jaringan dan interaksi silang budaya, sekali gus meningkatkan keterlihatan UMS dalam agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi di peringkat kebangsaan,” demikian kenyataan dari PPPG.
Dalam pada itu, MAGNET 2026 turut menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori “Bilangan Tertinggi Kewarganegaraan Bersatu dalam Ikrar Inklusiviti Universiti”.
Program tersebut dianjurkan oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama INTI International University and Colleges menerusi inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sembilan.
Bertemakan “Unity in Diversity: Bridging Cultures, Inspiring Futures,” MAGNET 2026 menghimpunkan lebih 1,500 pelajar antarabangsa dari 66 negara yang melibatkan penyertaan 20 Universiti Awam (UA) dan lebih 50 Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS).


