Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Universiti Malaysia Sabah (UMS) memeterai surat hasrat (Letter of Intent – LOI) dengan IKEBS, sebuah entiti di bawah Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah (KBSK), bagi memperluas kerjasama dalam bidang pendidikan, pembangunan belia, mobiliti antarabangsa dan pertukaran ilmu.
Majlis pemeteraian yang berlangsung di Bangunan Canselori UMS itu menyaksikan LOI berkenaan ditandatangani oleh Dekan FST UMS, Profesor Ts. Gs. Dr. Rodeano Roslee, bagi pihak universiti, manakala IKEBS diwakili Pengarahnya, Tuan Abqaree Fawwaz Abekan.
Majlis tersebut disaksikan oleh Setiausaha Tetap KBSK, Datuk Mansur Haji Asun dan Pendaftar UMS, Encik Luqman Ridha Anwar.
Majlis berkenaan turut menyaksikan penyerahan cek replika bernilai RM219,000 daripada KBSK kepada UMS sebagai tajaan penuh bagi pelaksanaan program mobiliti antarabangsa delegasi FST UMS ke Seoul, Korea Selatan, pada 9 hingga 13 November 2026.
Program itu merupakan inisiatif pertama di bawah kerjasama berkenaan yang bertujuan memberikan pendedahan antarabangsa kepada delegasi melalui interaksi akademik, pertukaran idea, perkongsian pengetahuan serta penerokaan peluang kerjasama dengan institusi di Korea Selatan.
Tajaan tersebut mencerminkan komitmen KBSK dalam menyokong pembangunan modal insan dan memperluas peluang warga universiti memperoleh pengalaman antarabangsa, sekali gus menghubungkan agenda pembangunan belia dengan pendidikan tinggi.
Melalui kerjasama itu, FST UMS dan IKEBS berhasrat meneroka pelbagai inisiatif bersama, termasuk program mobiliti, pertukaran ilmu, pembangunan kepimpinan belia, perkongsian kepakaran dan aktiviti akademik yang memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak.
Kerjasama berkenaan juga selari dengan usaha UMS memperluas jaringan antarabangsa serta meningkatkan peluang pembelajaran berasaskan pengalaman dalam kalangan pelajar dan warga universiti.
Pemeteraian LOI itu diharap menjadi asas kepada kerjasama jangka panjang yang mampan, khususnya dalam memperluas peluang pendidikan dan pembangunan belia serta melahirkan generasi muda Sabah yang berpengetahuan, berdaya saing dan berpandangan global.



