
Persatuan Pelajar Satu Kesihatan (OHSC), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Malaysia Sabah (UMS), dengan kerjasama Persatuan Toksikologi Malaysia (MySOT) dan Shangri-La Rasa Ria menyemai minat terhadap sains dalam kalangan murid sekolah rendah menerusi Program Eksplorasi Toksikologi 4.0 di Shangri-La Rasa Ria, baru-baru ini.
Penganjuran program tahun keempat itu melibatkan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pahu dan SK Rangalau Baru bagi meningkatkan kefahaman terhadap sains, khususnya toksikologi dan kaitannya dengan kesihatan manusia, haiwan serta alam sekitar.
Pendedahan tersebut dilaksanakan menerusi aktiviti pembelajaran kreatif dan interaktif bagi membantu murid memahami konsep toksikologi serta kaitannya dengan kehidupan seharian.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) FPSK UMS, Dr. Mohammad Firdaus Bolong @ Mohd Darwis.
Menurut Naib Presiden MySOT, Profesor Madya Ts. Dr. Razinah Sharif, pendidikan toksikologi boleh diperkenalkan sejak peringkat sekolah rendah melalui aktiviti yang berkait rapat dengan kehidupan seharian.
“Melalui program ini, kami mahu murid berani bertanya, meneroka dan memahami bagaimana bahan di sekeliling mereka boleh mempengaruhi kesihatan serta alam sekitar.
“Aktiviti yang menyeronokkan memberi ruang kepada mereka untuk membuat pemerhatian, menilai bukti dan mencadangkan penyelesaian,” katanya.
Dalam pada itu, program tersebut turut menerima tajaan daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi Program STI 100³ Tahun 2026, selain sokongan Shangri-La Rasa Ria dalam penyediaan tempat, kemudahan dan sajian serta bimbingan fasilitator mahasiswa UMS dan guru pengiring.
Turut hadir, Penasihat OHSC UMS, Profesor Madya Dr. Zulkhairul Naim Sidek Ahmad.


