Pilih bahasa anda

Language

UMS Luas Manfaat Kepakaran Psikologi Menerusi Program Komuniti di Jakarta

Universiti Malaysia Sabah (UMS) memperluaskan manfaat kepakaran dalam bidang psikologi, kaunseling dan intervensi sosial menerusi pelaksanaan program komuniti serta akademik di Komunitas Rumah Belajar (eRBe), Pondok Kopi dan Universitas Mercu Buana (UMB), Indonesia.

Dekan Fakultas Psikologi UMB, Profesor Madya Dr. Laila Meillyandrie Indah Wardani berkata, kerjasama antarabangsa bukan sahaja membuka ruang perkongsian ilmu dan kepakaran antara kedua-dua institusi, malah memberi manfaat secara langsung kepada komuniti melalui pelaksanaan program yang berteraskan pendidikan dan kesejahteraan sosial.

“Inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh hubungan akademik antara UMS dan UMB malah menjadi platform penting dalam memperluas jaringan antarabangsa serta memberi nilai tambah kepada pembangunan modal insan yang mampu mengaplikasikan ilmu psikologi dan kaunseling dalam menangani cabaran masyarakat secara lebih berkesan,” katanya.

Sementara itu, menurut Penyelaras Program Specialized Program for Alcohol and Drug Abuse (SPADA) UMS, Dr. Patricia Joseph Kimong, pelaksanaan kedua-dua inisiatif tersebut memberi impak secara langsung kepada komuniti menerusi pendidikan keselamatan diri kepada kanak-kanak dan remaja.

Katanya, ia juga memberi pengalaman pembelajaran kepada pelajar serta pensyarah melalui perkongsian kepakaran dan amalan profesional dalam bidang psikologi dan intervensi penyalahgunaan dadah.

“Di eRBe kanak-kanak dan remaja didedahkan dengan pengetahuan mengenai keselamatan diri serta pencegahan gangguan seksual melalui pendekatan pembelajaran interaktif yang disesuaikan mengikut peringkat umur.

“Aktiviti berasaskan simulasi, permainan pendidikan dan latihan berkumpulan membantu peserta memahami hak terhadap tubuh badan sendiri, mengenal pasti situasi berisiko, keberanian berkata “tidak” serta membina keyakinan untuk mendapatkan bantuan daripada individu dewasa yang dipercayai apabila berhadapan dengan ancaman atau gangguan,” katanya 

Dalam pada itu, di Fakultas Psikologi UMB, delegasi UMS mengikuti siri perkongsian akademik yang memberi fokus kepada bidang psikologi, kaunseling dan intervensi penyalahgunaan dadah.

Tambah Patricia, kemuncak pengisian program tersebut diserikan menerusi sesi Psychobridge 2026: Beyond Addiction – Empowering Communities Through Counselling and SPADA Intervention yang menjadi platform kepada pelajar Sarjana SPADA UMS berkongsi kepakaran pengetahuan berkaitan jenis-jenis dadah, kesan penyalahgunaan bahan terhadap individu dan masyarakat.

“Sesi ini memperkenalkan pendekatan rawatan menggunakan Terapi Kognitif Tingkah Laku (Cognitive Behavioural Therapy, CBT) serta strategi pencegahan penyalahgunaan dadah, sekali gus memperluaskan pemahaman terhadap amalan intervensi berasaskan komuniti dan kaunseling dalam usaha memperkasakan pencegahan serta pemulihan pencegahan dadah.

“Delegasi UMS turut berpeluang meninjau kemudahan makmal psikologi UMB dan mengikuti aktiviti pembelajaran gunaan yang memperlihatkan aplikasi instrumen penilaian psikologi serta pendekatan intervensi dalam situasi sebenar.

“Pelaksanaan kedua-dua program ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran komuniti terhadap isu keselamatan diri dan penyalahgunaan dadah, malah memperluaskan pemindahan ilmu serta amalan terbaik antara ahli akademik dan pelajar kedua-dua institusi,” tambah Patricia.

SUMBER

PAUTAN PANTAS

PELAJAR

PAUTAN LAIN

KAMPUS INDUK UMS

Universiti Malaysia Sabah
Jalan UMS, 88400 Kota Kinabalu
Sabah, Malaysia
Tel: +(60)88 320000
Emel: ccc@ums.edu.my

UMS KAMPUS LABUAN

UMS Kampus Antarabangsa Labuan
Jalan Sungai Pagar, 87000 WP Labuan
Tel: +(60)87 - 503000
Emel: adminkal@ums.edu.my

Image
ums brain of borneo
#UMStheBrainofBorneo
#BrainofBorneo

Pilih bahasa anda