
Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus menunjukkan komitmennya dalam memartabatkan warisan budaya Melayu menerusi penyertaan warga universiti dalam Pesta Pantun Negeri Sabah (PESANTUN) Tahun 2026 baru-baru ini.
Pasukan Putera Kencana yang dianggotai kakitangan, pelajar dan alumni UMS meraih tempat keempat selepas bersaing dengan lapan pasukan sepanjang pertandingan anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Sabah itu.
Pasukan tersebut diwakili oleh Norhana Nordin dari Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS, Zek Jas dari Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) UMS, wartawan TV3 merangkap alumni UMS, Safwan Sawi, serta dua pelajar UMS iaitu Amuddin Saifudin Zulkurnain dari Fakulti Pengajian Islam (FIS) dan Mohd Haizi Jondly dari Fakulti Perniagaan dan Ekonomi (FPEP).
Pertandingan yang berlangsung selama dua hari di Auditorium Kompleks JKKN Sabah itu menyaksikan Pasukan Putera Kencana menampilkan persembahan cemerlang dalam peringkat saringan, sebelum kemaraan mereka terhenti di peringkat separuh akhir selepas berdepan pasukan Semendarasa yang merupakan gabungan Institut Pendidikan Guru (IPG).
Pencapaian tersebut membolehkan pasukan berkenaan membawa pulang wang tunai RM500 berserta sijil penyertaan yang disampaikan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Raime Unggi, yang mewakili menteri.
Dalam pada itu, Pengurus pasukan, Norhana berkata, kejayaan tersebut merupakan hasil kerjasama dan komitmen semua ahli pasukan sepanjang pertandingan berlangsung.
“Penyertaan dalam pertandingan ini bukan sahaja membuka ruang untuk mengembangkan bakat dan kreativiti, malah menjadi platform memartabatkan warisan budaya Melayu melalui seni berpantun sebagai medium komunikasi yang berilmu, beradab dan berhemah, di samping membawa nama UMS ke peringkat tertinggi,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memberikan sokongan kepada pasukan serta berharap lebih ramai pelajar, alumni dan kakitangan UMS menyertai pertandingan seumpama itu pada masa hadapan.


