
Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) terus mempergiatkan usaha untuk meningkatkan kesedaran kesihatan dalam kalangan murid sekolah menerusi pelbagai aktiviti pendidikan kesihatan dan imunisasi.
Terbaru, Pelajar Diploma Kejururawatan fakulti berkenaan telah menjayakan Program Kesihatan Sekolah selama empat minggu di lima buah sekolah sekitar Pantai Barat Sabah bagi mencapai matlamat tersebut.
Lima sekolah yang terlibat adalah SK St. Francis Convent, Kota Kinabalu, SJK (C) St. Peter, Telipok, SRS Datuk Simon Fung, SK Pengiran Siti Hafsah dan SJK (C) Lok Yuk, Menggatal.
Ketua Jabatan Kejururawatan FPSK UMS, Dr. Deena Clare Thomas berkata, program di bawah Modul Kejururawatan Kesihatan Komuniti itu memberi peluang kepada pelajar mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari menerusi pengalaman lapangan bersama murid, guru dan pasukan kesihatan.
“Program yang dijalankan merangkumi pendidikan kesihatan, pemeriksaan fizikal, saringan penglihatan menggunakan Rapid Assessment Visual Acuity Chart (RAVAC) serta membantu pelaksanaan prosedur imunisasi,” katanya.
Dalam pada itu, Penyelaras Modul Kejururawatan Kesihatan Komuniti, Clarice Duasin menjelaskan, pelajar yang terlibat menjalani latihan bersama Pasukan Perkhidmatan Kesihatan Sekolah (PKS) dari Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu dengan bimbingan anggota kesihatan serta kerjasama pihak pengurusan sekolah dan guru.
Menurut beliau, pengalaman tersebut membantu pelajar meningkatkan keyakinan diri, kemahiran komunikasi dan kerja berpasukan, di samping memahami kepentingan promosi kesihatan, pengesanan awal serta pencegahan penyakit dalam kalangan kanak-kanak.
“Setinggi penghargaan kepada Pasukan PKS, pihak sekolah, guru serta semua pihak yang telah memberikan bimbingan, sokongan dan kerjasama sepanjang program ini dilaksanakan.
“Diharapkan program seperti ini dapat terus diperkasakan bagi melahirkan jururawat yang kompeten, prihatin dan bersedia memberikan perkhidmatan kesihatan berkualiti kepada masyarakat,” ujarnya.


