
Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersama Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) terus memacu budaya inovasi dan pengkomersialan dalam kalangan masyarakat menerusi penganjuran Borneo Festival of Ideas (BFOI) 2026 Peringkat Negeri, baru-baru ini.
BFOI 2026 merupakan kesinambungan daripada Sabah Festival of Ideas (SFOI) 2025, sebelum diperluaskan tahun ini ke lima zon di seluruh Sabah bagi membawa agenda inovasi lebih dekat kepada masyarakat serta mencungkil bakat inovasi dan pengkomersialan di peringkat akar umbi.
Majlis Perasmian dan Penyampaian Anugerah BFOI@Kudat disempurnakan oleh Pembantu Menteri Kewangan I, merangkap ADUN Tanjong Kapor N04, Datuk Chong Chen Bin @ Ben Chong.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri Sabah menyokong usaha UMS dan IDS memperluaskan akses kepada inovasi, sejajar dengan aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ 2.0) yang memberi keutamaan kepada pendidikan, sains, teknologi dan inovasi sebagai pemacu pembangunan negeri.
“Inovasi perlu dirakyatkan dan bermula dari peringkat akar umbi agar manfaatnya dapat dirasai semua lapisan masyarakat,” kata Chong semasa merasmikan BFOI 2026,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Ir. Dr. Rosalam Sarbatly berkata program tersebut membuka peluang kepada masyarakat untuk mengenali, mengembangkan serta membawa idea baru ke arah pengkomersialan.
“BFOI mencerminkan komitmen UMS bersama IDS dan pelbagai agensi kerajaan dalam membawa budaya inovasi keluar daripada lingkungan kampus dan mendekatkannya kepada komuniti setempat.
“Kudat merupakan zon keempat siri jelajah program tersebut di Sabah selepas Beaufort, Lahad Datu dan Ranau, sebelum diteruskan ke zon kelima dan terakhir di Tuaran pada 22 Ogos 2026.
“Bertemakan “Cetus Idea, Cipta Masa Depan”, BFOI menjadi platform strategik untuk mengetengahkan idea kreatif, penyelidikan dan inovasi yang berpotensi menyumbang kepada kesejahteraan komuniti, kelestarian alam sekitar serta pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Tambah Rosalam, BFOI 2026 merangkumi tiga pertandingan inovasi iaitu Pertandingan Inovasi Kearifan Borneo, Borneo Solid Waste Management Innovation Challenge dan STEAMQuest Ignite, serta satu pertandingan pitching pengkomersialan iaitu Cabaran Geran Mikro Pengkomersialan.
“Secara keseluruhan, empat zon berkenaan telah merekodkan hampir 450 penyertaan, sekali gus mencerminkan sambutan positif terhadap usaha memperluas ekosistem inovasi dan pengkomersialan di seluruh Sabah.
“Penganjuran program tersebut mendapat kerjasama erat daripada Pejabat Daerah Kudat yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran pelaksanaan program,” ujarnya.
Selesai penganjuran di kesemua lima zon peringkat negeri, BFOI 2026 akan diteruskan ke peringkat antarabangsa menerusi Grand Finale BFOI 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 13 dan 14 Oktober 2026 di UMS.
Turut hadir ialah Pengarah Pusat Pengurusan Inovasi dan Pengkomersialan UMS merangkap Pengerusi Program BFOI 2026, Profesor Madya Dr. Fatimah Ahmedy; Ketua Pusat Pengurusan Projek IDS, Victor Sikain serta Setiausaha Rendah Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Johnny Samson.


