
Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkasa wacana dasar luar serantau menerusi penganjuran Pre-Forum ASEAN Foreign Policy Forum 2026 yang menghimpunkan pelbagai perspektif dalam membincangkan perkembangan geopolitik, geoekonomi dan isu keselamatan serantau serta global.
Program anjuran Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) UMS itu berlangsung di Dewan Bankuasi UMS, sebagai platform untuk bertukar pandangan, memperkukuh hubungan diplomatik serta membina visi bersama ke arah kerjasama serantau yang lebih mampan.
Dekan FSSK UMS, Profesor Dr Asmady Idris berkata program itu penting dalam menghubungkan idea, perspektif dan visi pelbagai pihak bagi memperkukuh dasar luar serantau.
“Forum ini turut menyediakan ruang inklusif untuk membincangkan cabaran ekonomi serta isu keselamatan yang semakin kompleks, selain menggalakkan pengukuhan hubungan dua hala dan pelbagai hala.
“Di samping itu, program ini turut menggalakkan penglibatan akademik dan membina visi serantau bersama,” katanya dalam ucapan ketika merasmikan program tersebut.
Asmady berkata penganjuran program itu mampu memberi manfaat kepada mahasiswa UMS menerusi pertukaran ilmu, pengukuhan hubungan akademik dan pembukaan peluang kerjasama rentas sempadan.
Beliau turut berharap Pre-Forum ASEAN Foreign Policy Forum 2026 dapat menjadi platform dinamik dalam menghasilkan cadangan dasar yang konkrit dan berpandangan jauh, selain memberikan manfaat kepada pelajar.
Hadir sama pada majlis tersebut mantan Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Abdul Rahim Bakri; mantan Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Hj Mansor; Konsul Hal Ehwal Ekonomi II Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Kota Kinabalu, Ibu Ari Adiati; Pengarah Jabatan Pejabat Perwakilan HSE University – St. Petersburg, Rusia, Svyatoslav Kvartalnov; serta Pengarah Pejabat Wilayah Sabah, Kementerian Luar Negeri, Clara Soon May Lynn.


