Pilih bahasa anda

Language

UMS Raikan Alumni, Gerakkan Semangat Kembali Berbakti

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) meraikan alumninya menerusi Alumni Homecoming & Fundraising Dinner 2026 bagi menggerakkan semangat kembali berbakti serta menyumbang kepada pembangunan universiti dan generasi baharu, baru-baru ini.

Majlis bertemakan “Kembali Berhubung, Kembali Menyumbang, Kembali Membina Legasi” itu dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, yang juga alumni UMS daripada Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) dan bergraduat pada 2019.

Pada majlis berkenaan, Armizan turut menyerahkan Geran Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB) berjumlah RM30,000 kepada Gerakan Pengguna Siswa (GPS) UMS bagi menyokong usaha kebajikan mahasiswa.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Profesor Dr. Raman Noordin berkata, hubungan antara universiti dan alumni tidak seharusnya terputus selepas tamat pengajian, sebaliknya terus berkembang dan matang seiring dengan perjalanan kehidupan.

“Kita kembali berhubung kerana pernah berkongsi suka dan duka di denai ilmu yang sama. Kita kembali menyumbang kerana kita benar-benar memahami dan menghayati nilai serta bakti yang pernah kita terima suatu ketika dahulu.

“Dan yang paling utama, kita kembali membina legasi kerana mahu meletakkan batu asas yang lebih kukuh agar generasi mendatang dapat menikmati peluang yang jauh lebih luas dan cerah,” ujarnya.

Tambah Raman, sumbangan alumni tidak semestinya dalam bentuk kewangan, sebaliknya boleh diterjemahkan melalui masa, perkongsian ilmu, pengalaman dan jaringan yang mampu membuka ruang serta peluang kepada mahasiswa.

“Kadangkala, satu pertemuan singkat bersama alumni mampu menyuntik keyakinan yang luar biasa dalam diri seorang mahasiswa. Satu jaringan perkenalan boleh membuka pintu ruang dan peluang, manakala satu perkongsian pengalaman pula mampu mengubah cara seseorang melihat masa depannya.

“Inilah nilai sebenar ikatan alumni. Ia bukan sahaja memberi manfaat kepada universiti, malah memberikan impak yang mendalam kepada generasi baharu yang sedang berada di dalamnya,” jelasnya.

Dalam pada itu, sumbangan kepada Tabung Dana Endowmen Kinabalu turut mencerminkan komitmen alumni dan penyumbang dalam menyokong usaha pembangunan serta kebajikan warga universiti.

Sumbangan diterima daripada Armizan sebanyak RM30,000, Jingsan Hardware dan Ahli Dewa Undangan Negeri Padang Lalang, Daniel Gooi Zi Sen masing-masing RM15,000, serta Ebiz Creative Solution, Blue Dream Holidays Sdn. Bhd., Nurdiyanahikma Abas dan Chua Yong Wei masing-masing RM5,000.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Azrul Ibrahim serta Pengarah Pusat Alumni UMS, Profesor Madya Dr. Arif @ Kamisan Pusiran.

SUMBER

PAUTAN PANTAS

PELAJAR

PAUTAN LAIN

KAMPUS INDUK UMS

Universiti Malaysia Sabah
Jalan UMS, 88400 Kota Kinabalu
Sabah, Malaysia
Tel: +(60)88 320000
Emel: ccc@ums.edu.my

UMS KAMPUS LABUAN

UMS Kampus Antarabangsa Labuan
Jalan Sungai Pagar, 87000 WP Labuan
Tel: +(60)87 - 503000
Emel: adminkal@ums.edu.my

Image
ums brain of borneo
#UMStheBrainofBorneo
#BrainofBorneo

Pilih bahasa anda