Pilih bahasa anda

Language

UMS Perkaya Kompetensi Graduan Melalui Rehabilitasi Dadah di Bogor, Indonesia


 
Universiti Malaysia Sabah (UMS) memperkaya pengalaman pembelajaran antarabangsa pelajar menerusi Program Integrasi Anti Dadah Dua Negara 2026 yang memberi pendedahan kepada amalan terbaik dalam pencegahan, rawatan dan rehabilitasi penyalahgunaan dadah di Indonesia.
 
Inisiatif anjuran Specialized Program for Alcohol and Drug Abuse (SPADA), Fakulti Psikologi dan Kerja Sosial (FPKS) UMS, dengan kerjasama Universitas Mercu Buana (UMB) tersebut memberi peluang kepada pensyarah dan pelajar mendalami sistem rehabilitasi yang diamalkan di Balai Besar Rehabilitasi Badan Narkotika Nasional (BNN) Lido dan Yayasan Harapan Permata Hati Kita (YAKITA), Bogor.
 
Menurut Ketua Pentadbiran FPKS, Nurhani Sugianto, pengalaman itu memperkukuh kompetensi peserta dalam bidang psikologi, kaunseling dan intervensi penyalahgunaan dadah melalui pemahaman terhadap amalan rehabilitasi berasaskan bukti serta aplikasi sebenar di lapangan, sekali gus menyokong pembangunan modal insan yang lebih berdaya saing.
 
“Di Balai Besar Rehabilitasi BNN Lido, peserta didedahkan kepada sistem rehabilitasi nasional Indonesia yang menggabungkan kepakaran pelbagai disiplin, termasuk kaunselor adiksi, ahli psikologi, doktor, jururawat, ahli fisioterapi, ahli farmasi dan ahli nutrisi dalam menyediakan intervensi yang komprehensif mengikut keperluan setiap klien.
 
“Delegasi UMS turut meneliti proses saringan awal, penilaian klinikal dan psikososial, penyediaan pelan rawatan serta pelaksanaan pendekatan Therapeutic Community (TC) yang menitikberatkan disiplin diri, perubahan tingkah laku, sokongan komuniti dan pembentukan nilai positif sebagai teras pemulihan.
 
“Di Yayasan Harapan Permata Hati Kita (YAKITA), peserta berpeluang memahami pendekatan rehabilitasi berasaskan komuniti menerusi perkongsian pengalaman pengasas, penghuni dan bekas penagih yang berjaya membina semula kehidupan selepas melalui proses pemulihan,” katanya.
 
Sementara itu, menurut Penyelaras Program SPADA UMS, Dr. Patricia Joseph Kimong, peserta turut diperkenalkan kepada Program 12 Langkah (12 Steps Program), iaitu pendekatan pemulihan yang menekankan kesedaran kendiri, pembangunan kerohanian dan sokongan komuniti sebagai elemen penting dalam membantu individu mengekalkan kepulihan secara berterusan.
 
“Interaksi bersama pengamal profesional dan penghuni pusat rehabilitasi memberi gambaran menyeluruh mengenai cabaran sebenar dalam pengurusan penagihan dadah, sekali gus menghubungkan teori yang dipelajari di bilik kuliah dengan amalan profesional di lapangan.
 
“Inisiatif ini turut menjadi platform perkongsian kepakaran antara UMS, UMB, BNN Lido dan YAKITA, sekali gus memperluaskan jaringan kerjasama akademik dan profesional serta membuka ruang kepada penerapan amalan terbaik dalam usaha meningkatkan keberkesanan pencegahan, rawatan dan rehabilitasi penyalahgunaan dadah di peringkat serantau.
 
“Program Integrasi Anti Dadah Dua Negara 2026 mencerminkan komitmen berterusan UMS dalam melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing dan bersedia menyumbang kepada pembangunan masyarakat menerusi pendekatan intervensi berasaskan bukti yang memenuhi keperluan semasa,” ujar beliau.
 
Hadir sama dalam program berkenaan adalah barisan Penyelaras SPADA, Profesor Madya Dr. Getrude Cosmas, Dr. Norzihan Ayub serta Pengarah Program Integrasi Anti Dadah Dua Negara 2026, Mohd. Nazri Musa.

SUMBER

PAUTAN PANTAS

PELAJAR

PAUTAN LAIN

KAMPUS INDUK UMS

Universiti Malaysia Sabah
Jalan UMS, 88400 Kota Kinabalu
Sabah, Malaysia
Tel: +(60)88 320000
Emel: ccc@ums.edu.my

UMS KAMPUS LABUAN

UMS Kampus Antarabangsa Labuan
Jalan Sungai Pagar, 87000 WP Labuan
Tel: +(60)87 - 503000
Emel: adminkal@ums.edu.my

Image
ums brain of borneo
#UMStheBrainofBorneo
#BrainofBorneo

Pilih bahasa anda