Pilih bahasa anda

Language

UMS Perluas Jaringan Kerjasama Akademik dan Industri Menerusi BICEST 2026

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperluas jaringan kerjasama akademik, industri dan antarabangsa menerusi penganjuran 1st Borneo International Conference on Engineering, Science and Technology (BICEST) 2026 yang berlangsung di Sabah International Convention Centre (SICC), baru-baru ini.

Persidangan bertemakan “Sustainable Innovation: Engineering for Complex Challenges” itu menghimpunkan para penyelidik, ahli akademik, penggubal dasar, wakil industri serta peserta dari dalam dan luar negara bagi membincangkan cabaran kejuruteraan, sains dan teknologi.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata penganjuran BICEST 2026 merupakan sebahagian daripada usaha UMS memperkukuh identitinya sebagai The Brain of Borneo.

“Aspirasi ini kami usahakan melalui penyelidikan yang relevan, graduan berkemahiran serta kerjasama yang baik dengan industri dan kerajaan dalam menangani keperluan rantau ini.

“Sepanjang lebih tiga dekad, UMS telah membangunkan kapasiti penyelidikan yang diperlukan bagi menganjurkan persidangan seperti ini.

“Platform seperti BICEST penting kerana apabila jurutera, pakar tenaga, saintis alam sekitar dan penggubal dasar duduk bersama, perbincangan dapat bergerak daripada perbincangan akademik kepada penyelesaian yang boleh dilaksanakan,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah (Tugas-Tugas Khas), Datuk Mohd. Hanafiah Mohd. Kassim dalam ucapannya ketika merasmikan persidangan tersebut berkata, penganjuran BICEST 2026 amat relevan dengan aspirasi pembangunan Sabah yang menekankan pertumbuhan ekonomi secara mampan, di samping memelihara alam sekitar dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

“Dengan sumber semula jadi yang kaya, kawasan pesisir yang luas, biodiversiti dan keperluan pembangunan yang semakin meningkat, Sabah berdepan pelbagai cabaran, daripada daya tahan iklim, peralihan tenaga dan infrastruktur mampan kepada keselamatan air, pengurusan sisa dan kesiapsiagaan bencana.

“Cabaran tersebut memerlukan lebih daripada penyelesaian konvensional, sebaliknya menuntut inovasi kejuruteraan, penyelidikan, teknologi serta kerjasama kukuh antara kerajaan, industri, akademia dan komuniti tempatan,” katanya.

Persidangan BICEST 2026 yang julung kali diadakan itu merangkumi lima subpersidangan yang meliputi bidang kejuruteraan awam, kejuruteraan kimia dan bioproses, alam bina, sistem mekanikal dan elektrik serta kejuruteraan minyak dan gas.

Persidangan berkenaan turut melibatkan penyertaan dan kerjasama dari United Kingdom, Rusia, Indonesia dan negara lain, termasuk Almetyevsk State Technological University (AUKU), Rusia sebagai penganjur bersama.

Selain persidangan, BICEST 2026 turut menyaksikan pemeteraian dua kerjasama strategik melibatkan UMS, PETRONAS Carigali Sdn. Bhd. (PCSB) Sabah Asset dan Universitas Andalas (UNAND), Indonesia.

Kedua-dua perjanjian tersebut merupakan komitmen konkrit dalam bidang kerjasama penyelidikan, pembangunan modal insan dan perkongsian ilmu yang diharap dapat menghasilkan manfaat berterusan.

Memorandum Perjanjian (MoA) antara UMS dan PCSB Sabah Asset memberi tumpuan kepada pembangunan bakat kejuruteraan melalui pembelajaran berasaskan industri, termasuk penempatan latihan industri selama tiga bulan dan pelaksanaan projek tahun akhir berasaskan cabaran sebenar industri.

MoA tersebut merupakan kesinambungan daripada Memorandum Persefahaman (MoU) antara PETRONAS dan UMS yang ditandatangani pada 1 Februari 2025 sebagai asas kerjasama strategik antara universiti dan industri.

Sementara itu, Surat Niat (LoI) antara Fakulti Kejuruteraan (FKJ) UMS dan Fakulti Kejuruteraan (FKJ) UNAND, Indonesia membuka ruang kepada kerjasama penyelidikan, permohonan geran dan penerbitan bersama.

SUMBER

PAUTAN PANTAS

PELAJAR

PAUTAN LAIN

KAMPUS INDUK UMS

Universiti Malaysia Sabah
Jalan UMS, 88400 Kota Kinabalu
Sabah, Malaysia
Tel: +(60)88 320000
Emel: ccc@ums.edu.my

UMS KAMPUS LABUAN

UMS Kampus Antarabangsa Labuan
Jalan Sungai Pagar, 87000 WP Labuan
Tel: +(60)87 - 503000
Emel: adminkal@ums.edu.my

Image
ums brain of borneo
#UMStheBrainofBorneo
#BrainofBorneo

Pilih bahasa anda