Pilih bahasa anda

Language

UMS Terima Kunjungan UNIVA Medan, Perkukuh Jaringan Akademik Antarabangsa

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperluas jaringan akademik antarabangsa menerusi kunjungan Universitas Alwashliyah Medan (UNIVA Medan), Indonesia, bagi meneroka potensi kerjasama dalam bidang akademik, mobiliti pelajar dan pensyarah serta pengabdian kepada masyarakat.

Kunjungan delegasi UNIVA Medan yang diketuai Rektornya, Prof. Dr. Saiful Akhyar Lubis, M.A. itu berlangsung di Bilik Mesyuarat Lembaga Eksekutif, Bangunan Canselori UMS, baru-baru ini dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Islam Sabah (PERKIS) Bahagian Kota Kinabalu yang diketuai Datuk Haji Jalidar Abd. Rahim.

Naib Canselor UMS Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata hubungan akademik dengan institusi dari Indonesia, khususnya UNIVA Medan, membuka ruang kepada UMS memperkukuh peranannya sebagai pusat ilmu dan pemikiran serantau.

“Sebagai The Brain of Borneo, UMS bukan sahaja berperanan dalam menjana ilmu dan penyelidikan untuk Sabah, tetapi turut berkongsi kepakaran serta membina jaringan dengan institusi pendidikan tinggi di rantau ini.

“Kerjasama dengan UNIVA Medan boleh menjadi platform untuk kita mengembangkan pertukaran ilmu, pengalaman akademik dan penglibatan masyarakat yang memberi manfaat kepada kedua-dua institusi,” katanya.

Beliau berkata kedudukan UMS di Borneo dan UNIVA Medan di Sumatera turut memberi peluang kepada kedua-dua universiti berkongsi perspektif serta pengalaman berkaitan pendidikan, pembangunan masyarakat dan penyelidikan berteraskan keperluan wilayah masing-masing.

“Borneo dan Sumatera mempunyai kekayaan budaya, masyarakat dan sumber semula jadi yang tersendiri. Jaringan seperti ini membolehkan institusi pengajian tinggi memainkan peranan sebagai penghubung ilmu antara wilayah, sekali gus memperkayakan pengalaman mahasiswa dan warga akademik,” katanya.

Pertemuan itu turut memberi ruang kepada UMS dan UNIVA Medan memperkenalkan kekuatan institusi masing-masing serta bertukar pandangan mengenai bentuk kerjasama yang boleh diterokai, termasuk mobiliti pelajar dan pensyarah, kerjasama akademik serta pelaksanaan program pengabdian kepada masyarakat secara bersama.

Kasim berkata kerjasama sedemikian selari dengan aspirasi UMS untuk memperkukuh keterlihatan antarabangsa dan membangunkan bakat yang mampu menyumbang kepada masyarakat di peringkat tempatan, serantau dan global.

“Yang penting, setiap jaringan antarabangsa yang dibina perlu diterjemahkan kepada peluang sebenar untuk mahasiswa, pensyarah dan masyarakat, sama ada melalui mobiliti, penyelidikan, perkongsian kepakaran mahupun program kemasyarakatan,” katanya.

Kunjungan UNIVA Medan ke UMS merupakan sebahagian daripada pengisian delegasi universiti berkenaan yang berada di Sabah bagi mengikuti program Kuliah Kerja Nyata (KKN)/Pengabdian Kepada Masyarakat (PKM) Internasional dari 10 hingga 24 Ogos 2026, melibatkan 15 mahasiswa bersama Ketua KKN, Dedy Suhairi, S.Pd.I., S.H.; Ketua Bahagian Hubungan Masyarakat, Joharsah, S.T., S.H., M.H. serta beberapa pengiring.

Pusat Pengantarabangsaan dan Penglibatan Global (PPPG) UMS menyelaras dan menguruskan kunjungan berkenaan sebagai sebahagian daripada usaha universiti memperluas jaringan dengan institusi antarabangsa, manakala Fakulti Pengajian Islam UMS turut terlibat dalam pertemuan tersebut.

Turut hadir Dekan Fakulti Pengajian Islam, Profesor Dr. Muhamad Suhaimi Taat; Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Dr. Mohd Nur Hidayat Hasbollah Hajimin serta pegawai UMS, selain Ketua Penerangan PERKIS Hajimin H. Maslin bersama barisan kepimpinan dan ahli jawatankuasanya.

SUMBER

PAUTAN PANTAS

PELAJAR

PAUTAN LAIN

KAMPUS INDUK UMS

Universiti Malaysia Sabah
Jalan UMS, 88400 Kota Kinabalu
Sabah, Malaysia
Tel: +(60)88 320000
Emel: ccc@ums.edu.my

UMS KAMPUS LABUAN

UMS Kampus Antarabangsa Labuan
Jalan Sungai Pagar, 87000 WP Labuan
Tel: +(60)87 - 503000
Emel: adminkal@ums.edu.my

Image
ums brain of borneo
#UMStheBrainofBorneo
#BrainofBorneo

Pilih bahasa anda