Pilih bahasa anda

Language

UMS Raikan 2,310 Warga dan Pesara Menerusi AKU 2026

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) meraikan seramai 2,310 kakitangan dan pesara menerusi 10 kategori Anugerah Kecemerlangan UMS (AKU) 2026 sebagai penghargaan terhadap sumbangan, komitmen dan prestasi warga universiti.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata kecemerlangan universiti bukan hanya diukur berdasarkan pencapaian akademik, tetapi turut bergantung kepada kualiti penyampaian perkhidmatan, kelancaran sistem serta kerjasama setiap lapisan warga UMS.

“Universiti bukanlah sekadar gedung ilmu yang statik tetapi sebuah ekosistem tamadun dan denyut nadi kemajuan masyarakat dan di sinilah idea besar dicambahkan, inovasi dilonjakkan dan nilai kemanusiaan ditempa demi memacu keutuhan sosial, ekonomi, serta kelangsungan masa depan negara.

“Pengiktirafan ini adalah bukti nyata terhadap kejituan komitmen, profesionalisme dan daya tahan luhur anda dalam menyempurnakan amanah.

“Daripada jumlah tersebut, 51 pesara menerima Anugerah Jasamu Dikenang, manakala 128 kakitangan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC),” katanya ketika berucap merasmikan AKU 2026.

Selain itu, Kasim berkata 46 kakitangan menerima Anugerah Mutiara atas 30 tahun perkhidmatan, 52 individu menerima Anugerah Sanjungan Budi bagi tempoh perkhidmatan 25 tahun dan 116 kakitangan menerima Anugerah Jasa Setia selepas 20 tahun berkhidmat.

Anugerah Jasa Bakti turut diberikan kepada kakitangan yang telah berkhidmat selama 10 tahun, manakala 91 penerima menerima Anugerah Inovasi UMS sebagai pengiktirafan terhadap usaha menghasilkan pendekatan dan penyelesaian baharu dalam perkhidmatan universiti.

Turut diperkenalkan ialah Anugerah Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan JAFPIB Terbaik serta Anugerah Khas Naib Canselor yang mengiktiraf individu dengan pencapaian dan impak luar biasa di peringkat kebangsaan serta antarabangsa.

Dalam pada itu, 1,720 kakitangan turut menerima sijil Anugerah Perkhidmatan Terpuji selepas memperoleh markah Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) 90 peratus ke atas.

“Kecemerlangan yang kita raikan bukanlah sekadar kejayaan dan kemegahan peribadi tetapi merupakan sebahagian daripada tanggungjawab besar kita dalam usaha mendidik dan melahirkan barisan pembina negara.

“Kita mahukan warga kerja serta graduan kita kelak benar-benar berpaksikan kemanusiaan, dipacu matlamat yang jelas, serta sentiasa mendambakan kesejahteraan holistik, kemakmuran bersama, berdaya tahan, dan mampu menerajui kemampanan.

“UMS turut memberi perhatian terhadap usaha meningkatkan prestasi dan keberkesanan sistem penyampaian melalui pelaksanaan MyPerformance sebagai instrumen penilaian yang lebih menyeluruh, objektif dan berfokus kepada keberhasilan,” katanya.

Kasim turut menyeru warga UMS supaya mengambil langkah proaktif dalam menghadapi cabaran ekonomi dan kekangan peruntukan, termasuk menyusun semula keutamaan perbelanjaan, membudayakan penjimatan serta meningkatkan usaha menjana pendapatan universiti.

Menurutnya, usaha penjanaan pendapatan perlu dipertingkatkan menerusi pengkomersialan hasil penyelidikan, penawaran program akademik premium serta penggunaan aset sedia ada universiti secara optimum bagi memastikan kelestarian kewangan UMS.

Hadir sama pada majlis tersebut Ahli Lembaga Pengarah UMS, Prof. Dr. Rasid Mail; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Datuk Dr. Rossita Shapawi; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Raman Noordin; Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar; Bendahari UMS, Datuk Badrul Hisham Ismail; Penolong Naib Canselor (Strategik); Prof. Dr. Mohamad Saffree Jeffree; Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Prof. Ts. Dr. Rayner Alfred; Ketua Pegawai Digital, Prof. Dr. Ag. Asri Ag. Ibrahim; dan Ketua Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Sirahim Abdullah.

SUMBER

PAUTAN PANTAS

PELAJAR

PAUTAN LAIN

KAMPUS INDUK UMS

Universiti Malaysia Sabah
Jalan UMS, 88400 Kota Kinabalu
Sabah, Malaysia
Tel: +(60)88 320000
Emel: ccc@ums.edu.my

UMS KAMPUS LABUAN

UMS Kampus Antarabangsa Labuan
Jalan Sungai Pagar, 87000 WP Labuan
Tel: +(60)87 - 503000
Emel: adminkal@ums.edu.my

Image
ums brain of borneo
#UMStheBrainofBorneo
#BrainofBorneo

Pilih bahasa anda