
Program mobiliti akademik Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke Universitas Diponegoro (UNDIP), Semarang, Indonesia baru baru ini membuka ruang baharu bagi memperluas jaringan kerjasama penyelidikan dan pertukaran kepakaran UMS di peringkat serantau.
Program selama enam hari itu menghimpunkan lima pensyarah dan seorang pelajar pascasiswazah UMS daripada dua fakulti dan sebuah institut, selain memberi peluang peserta berinteraksi dengan wakil Universitas Bengkulu (UNIB) dan Universitas Lampung (UNILA).
Delegasi UMS diketuai Dr. Ismail Ware dari Institut Penyelidikan Bioteknologi dan turut disertai Ts. Hardawati Yahya, Dr. Dayang Nur Sakinah Musa serta Rebecca Mishallyne Afat dari Fakulti Perhutanan Tropika, dan Profesor Madya ChM. Ts. Dr. Zuhair Jamain dari Fakulti Sains dan Teknologi.
Sepanjang program, peserta mengikuti kuliah, aktiviti makmal, perbincangan penyelidikan, sesi perkongsian ilmu, lawatan lapangan dan program kebudayaan, sekali gus mewujudkan ruang pertukaran pengetahuan serta pengalaman akademik rentas negara.
Fokus program turut merangkumi penerokaan tumbuhan berubat, sebatian bioaktif dan pengetahuan tradisional, di samping perkembangan terkini dalam aplikasi perubatan berasaskan sumber semula jadi.
Penglibatan peserta dalam aktiviti makmal dan perbincangan penyelidikan membuka peluang kepada warga akademik UMS untuk bertukar pandangan dengan penyelidik Indonesia serta meneroka potensi kerjasama dalam bidang tumbuhan berubat dan sumber semula jadi.
UMS dalam satu kenyataan berkata program itu menyediakan platform penting untuk pertukaran akademik, pembelajaran kolaboratif dan penglibatan rentas budaya, di samping memperkukuh jaringan akademik serta membina perspektif global dalam kalangan peserta.
Menurut kenyataan itu, pendekatan rentas disiplin yang diterapkan sepanjang program turut memberi peluang kepada peserta memperluas pengetahuan, membina jaringan antarabangsa dan meneroka bidang kerjasama yang berpotensi untuk dikembangkan pada masa hadapan.
“Inisiatif ini mencerminkan komitmen UMS yang kukuh terhadap pengantarabangsaan, meningkatkan keterlihatan institusi serta memperkasa warga akademik untuk meluaskan pengetahuan, membina jaringan antarabangsa yang bermakna dan menyumbang kepada kerjasama serantau dalam pendidikan tinggi,” menurut kenyataan itu.
Kerjasama antara UMS dan institusi pengajian tinggi Indonesia berpotensi diperkukuh menerusi pertukaran kepakaran, penyelidikan bersama, mobiliti akademik serta perkongsian pengetahuan, khususnya dalam bidang biodiversiti, sumber semula jadi, bioteknologi dan aplikasi perubatan.
UMS turut merakamkan penghargaan kepada UNDIP atas sambutan, layanan mesra dan sokongan penajaan yang diberikan sepanjang program berlangsung.
“Kami berharap dapat terus memperkukuh perkongsian ini melalui inisiatif akademik, penyelidikan dan mobiliti pada masa hadapan,” menurut kenyataan itu.


