Pilih bahasa anda

Language

UMS Teroka Kerjasama Pendidikan dan Penyelidikan dengan Australia

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) meneroka peluang memperluas jaringan pendidikan dan penyelidikan bersama Australia menerusi kunjungan delegasi UMS dan Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) ke Konsulat Jeneral Malaysia di Perth, baru-baru ini.

Delegasi UMS diketuai Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, bersama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Ir. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly, manakala Sekretariat SMJ diwakili Ketua Pegawai Penyelarasnya, Datuk (Datu) Rosmadi Datu Sulai.

UMS dalam satu kenyataan memaklumkan rombongan tersebut turut mengadakan pertemuan bersama Konsul Jeneral Malaysia di Perth, Nur Eliza Jemal Zainal bagi membincangkan potensi kerjasama pendidikan dan penyelidikan yang dapat memberi manfaat kepada pembangunan Sabah.

“Antara perkara yang dibincangkan ialah potensi kerjasama antara UMS dan Murdoch University, termasuk pelaksanaan program dwiijazah serta peluang mobiliti pelajar yang membolehkan pelajar mengikuti sebahagian pengajian di luar negara.

"Perbincangan turut memberi tumpuan kepada pembangunan kepakaran dalam bidang yang berkaitan dengan keperluan masa depan Sabah, termasuk perlombongan, tenaga boleh baharu, ekonomi biru, minyak dan gas, geologi, kejuruteraan, sains marin serta kesihatan tropika dan penyakit berjangkit,” menurut kenyataan itu.

Tambah Kasim, selain itu pendekatan Australia dalam bidang perakaunan lautan dan pengurusan sumber secara lestari turut dibincangkan, termasuk potensi kerjasama penyelidikan yang melibatkan UMS, Sekretariat SMJ dan agensi berkaitan di Sabah.

Kunjungan tersebut membuka ruang kepada usaha memperluas jaringan Sabah dalam bidang pendidikan dan penyelidikan di peringkat antarabangsa, khususnya dalam membangunkan kepakaran tempatan, memenuhi keperluan tenaga kerja jangka panjang serta menyokong agenda pembangunan SMJ.

SUMBER

PAUTAN PANTAS

PELAJAR

PAUTAN LAIN

KAMPUS INDUK UMS

Universiti Malaysia Sabah
Jalan UMS, 88400 Kota Kinabalu
Sabah, Malaysia
Tel: +(60)88 320000
Emel: ccc@ums.edu.my

UMS KAMPUS LABUAN

UMS Kampus Antarabangsa Labuan
Jalan Sungai Pagar, 87000 WP Labuan
Tel: +(60)87 - 503000
Emel: adminkal@ums.edu.my

Image
ums brain of borneo
#UMStheBrainofBorneo
#BrainofBorneo

Pilih bahasa anda