
Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh peranannya sebagai hab penyelidikan tropika dan kelestarian serantau apabila menjadi tuan rumah 8th Borneo Studies Network (BSN) Scientific Committee Meeting yang menghimpunkan 12 universiti serta penyelidik dari Malaysia, Brunei Darussalam dan Indonesia.
Program yang berlangsung selama dua hari tersebut menjadi platform penting dalam memperkukuh jaringan kerjasama saintifik rentas sempadan, menyelaras agenda penyelidikan strategik serta memperkasakan perkongsian ilmu demi masa depan lestari Borneo.
Pengerusi Baharu Jawatankuasa Saintifik BSN, Dr. Haji Abdul Hanif Dato Paduka Haji Mahadi berkata, BSN kini memasuki fasa baharu yang memberi penekanan lebih jelas terhadap penghasilan penyelidikan berimpak dan kerjasama akademik yang lebih substantif.
Menurut beliau, antara fokus utama jaringan tersebut ialah memperkukuh mobiliti penyelidik dan pelajar, memperluas kerjasama antarabangsa serta membangunkan inisiatif penyelidikan rentas institusi yang lebih mampan.
“Mobiliti akademik kekal sebagai antara aspek paling bernilai dalam BSN, namun pelbagai cabaran seperti urusan visa, kos perjalanan dan kekangan geopolitik memerlukan pendekatan kerjasama yang lebih fleksibel dan praktikal.
“Kita perlu meneroka pendekatan baharu termasuk penyeliaan bersama pelajar penyelidikan, permohonan geran bersama, penempatan penyelidikan jangka pendek dan penggunaan platform digital secara lebih berkesan,” katanya.
Tambah Hanif, BSN turut membuka ruang kepada kerjasama antarabangsa yang lebih luas memandangkan isu berkaitan biodiversiti, perubahan iklim dan pembangunan lestari merupakan cabaran global yang memerlukan penglibatan pelbagai pihak.
Sementara itu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Haji Mansor berkata, penyatuan institusi pengajian tinggi di bawah jaringan BSN mencerminkan komitmen bersama dalam melindungi khazanah biodiversiti dan ekosistem Borneo yang diiktiraf sebagai antara yang tertua di dunia.
“Borneo bukan sekadar sebuah pulau, tetapi khazanah global yang memiliki kekayaan biodiversiti, budaya masyarakat peribumi dan ekosistem penting yang memainkan peranan besar terhadap keseimbangan alam sekitar dunia.
“Namun, rantau ini kini berdepan pelbagai cabaran termasuk perubahan iklim, pembangunan infrastruktur dan perubahan landskap ekonomi yang memerlukan kerjasama strategik antara institusi penyelidikan di seluruh Borneo.
“BSN bukan sekadar jaringan akademik biasa, tetapi menjadi keperluan strategik dalam memastikan aliran ilmu, penyelidikan dan inovasi dapat diperkukuh merentasi sempadan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian 8th BSN Scientific Committee Meeting yang berlangsung di Dewan Bankuasi UMS, pada Rabu.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah Institut Biologi Tropika Dan Pemuliharaan UMS, Profesor Madya Dr. Fiffy Hanisdah Saikim.
Tambah Kasim, melalui penglibatan universiti-universiti utama di Borneo, jaringan tersebut berupaya menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi yang mampu membantu kerajaan, industri dan komuniti dalam merangka pembangunan lestari rantau ini.
“Cabaran abad ke-21 menuntut institusi pengajian tinggi memperkukuh kerjasama rentas disiplin melalui pelaksanaan penyelidikan bersama, perkongsian kemudahan makmal, ekspedisi lapangan serta pengukuhan program mobiliti pelajar dan pensyarah secara lebih menyeluruh.
“Kita mahu setiap penyelidikan yang dilaksanakan bukan sahaja menyumbang kepada perkembangan ilmu pengetahuan, malah mampu memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat di Borneo,” ujarnya.
Dalam pada itu, mesyuarat tersebut turut menampilkan pembentangan strategik daripada kumpulan penyelidikan utama BSN melibatkan bidang biodiversiti Borneo, warisan budaya dan etnik, transformasi komuniti lestari, tenaga boleh diperbaharui serta ekonomi dan perniagaan.
Selain sesi perbincangan saintifik, delegasi turut dijadual menyertai lawatan ke BorlIS Living Lab di Sunduan Nabalu, Tuaran sebagai sebahagian daripada program Networking Day yang mengetengahkan inovasi komuniti dan kelestarian berasaskan biodiversiti.


