
Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh jaringan kerjasama akademik antarabangsa menerusi program perkongsian ilmu dalam bidang psikologi dan kaunseling bersama Universitas Mercu Buana (UMB) Indonesia baru-baru ini.
Program tersebut dilaksanakan menerusi jemputan Dekan Fakultas Psikologi UMB, Profesor Madya Dr. Laila Meiliyandrie Indah Wardani, yang membuka peluang kepada tiga pensyarah daripada Fakulti Psikologi dan Kerja Sosial (FPKS) UMS untuk berkongsi kepakaran bersama pelajar Program Psikologi UMB di universiti tersebut.
Pensyarah FPKS, Profesor Madya Dr. Getrude Cosmas berkata program tersebut menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan akademik antara UMS dan UMB, selain memperkaya pengalaman pembelajaran melalui perkongsian ilmu dan perspektif rentas budaya.
"Kerjasama ini bukan sahaja memberi peluang kepada pensyarah UMS berkongsi kepakaran dalam bidang psikologi dan kaunseling, malah berkongsi pengalaman yang mampu memperluas pemahaman pelajar terhadap mengaplikasi ilmu mengikut konteks budaya yang berbeza.
"Interaksi secara langsung dengan pelajar UMB turut memberikan pengalaman yang amat bermakna kepada kami sebagai pendidik dan menyokong agenda pengantarabangsaan UMS melalui jaringan akademik yang memberi manfaat kepada kedua-dua institusi," katanya.
Antara pengisian program ialah sesi perkongsian mengenai Empowerment and Citizenship Engagement yang disampaikan oleh Getrude.
Sesi perkongsian tersebut adalah bagi kursus Psikologi Komuniti yang memperkenalkan pendekatan Service Learning Malaysia–University for Society (SULAM) dan Model Yale sebagai panduan pelaksanaan program komuniti berimpak.
Sementara itu, dua lagi pensyarah FPKS yang terlibat, iaitu Dr. Patricia Joseph Kimong dan Dr. Nurzihan Ayub turut menyumbang kepakaran menerusi pengendalian kuliah bagi kursus Kesihatan Mental, Personaliti dan Perkembangan Kanak-Kanak.
Menerusi program itu, para pensyarah UMS berpeluang berkongsi teori dan perkembangan terkini dalam bidang psikologi, seterusnya memperkayakan pemahaman pelajar terhadap amalan psikologi dalam persekitaran masyarakat yang berbeza.
Inisiatif tersebut juga adalah usaha UMS dalam memperkasakan pengantarabangsaan pendidikan tinggi melalui perkongsian kepakaran, mobiliti akademik dan kerjasama strategik yang menyumbang kepada pembangunan ilmu serta pengukuhan hubungan antara institusi pendidikan tinggi di rantau ini.


