Pilih bahasa anda

Language

UMS, Universiti Yuhan Meterai Hasrat Kerjasama, Buka Peluang Pembelajaran Bertaraf Global

 

 

Fakulti Peniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Universiti Malaysia Sabah (UMS), dan Universiti Yuhan, Korea Selatan telah menandatangani Surat Hasrat (LoI) dalam satu acara di sini, baru-baru ini sebagai langkah awal ke arah pembentukan kerjasama strategik yang akan dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU).

Dekan FPEP UMS, Profesor Madya Dr. Mohd. Rahimie Abd. Karim mewakili FPEP UMS menandatangani dokumen LoI tersebut, manakala Universiti Yuhan diwakili oleh Dekan Jabatan Kesihatan, Kesejahteraan dan Kebajikan Sosial, Universiti Yuhan, Profesor Madya Dr. Kim Yuna.

Melalui LoI tersebut, kedua-dua institusi bersetuju untuk meneroka pelbagai bentuk kerjasama dalam mobiliti pelajar, termasuk program jangka pendek seperti kem musim panas dan musim sejuk, program penghayatan budaya, serta lawatan akademik.

Kerjasama itu turut melibatkan program jangka panjang yang merangkumi pertukaran pelajar, pemindahan kredit, dan potensi program dwi-ijazah.

Selain itu, kerjasama yang dicadangkan juga merangkumi pertukaran pensyarah dan sarjana, penyelidikan bersama, Collaborative Online International Learning (COIL), persidangan akademik, seminar, serta program pertukaran budaya.

Dalam perbincangan yang diadakan, kedua-dua institusi turut meneliti cadangan penubuhan Pusat Bahasa dan Kebudayaan Korea di UMS, pengembangan pendidikan bahasa Korea, pelaksanaan program K-Culture, serta kerjasama dalam bidang hospitaliti, pelancongan, fesyen dan pendidikan perniagaan antarabangsa.

Universiti Yuhan turut memperkenalkan peluang biasiswa yang berpotensi ditawarkan kepada pelajar institusi rakan strategik.

Sebagai langkah susulan, kedua-dua universiti akan meneruskan perbincangan berkaitan program dwi-ijazah, kerjasama penyelidikan, pembangunan rangka kerja mobiliti pelajar, serta penyediaan pelan hala tuju kerjasama bagi tempoh 2026-2029.

Kerjasama itu mencerminkan komitmen bersama UMS dan Universiti Yuhan dalam memperkukuh jaringan akademik antarabangsa serta menyediakan lebih banyak peluang pembelajaran bertaraf global kepada pelajar serta ahli akademik kedua-dua institusi. 

SUMBER

PAUTAN PANTAS

PELAJAR

PAUTAN LAIN

KAMPUS INDUK UMS

Universiti Malaysia Sabah
Jalan UMS, 88400 Kota Kinabalu
Sabah, Malaysia
Tel: +(60)88 320000
Emel: ccc@ums.edu.my

UMS KAMPUS LABUAN

UMS Kampus Antarabangsa Labuan
Jalan Sungai Pagar, 87000 WP Labuan
Tel: +(60)87 - 503000
Emel: adminkal@ums.edu.my

Image
ums brain of borneo
#UMStheBrainofBorneo
#BrainofBorneo

Pilih bahasa anda