
Teknologi Penapisan Air WAIG-FILTER yang dibangunkan secara tempatan oleh pasukan penyelidik IPB Institut Penyelidikan Bioteknologi (IPB), Universiti Malaysia Sabah (UMS) menarik perhatian pemain industri dan agensi pembangunan negeri sebagai produk berpotensi tinggi untuk dipasarkan secara meluas.
Potensi tersebut dizahirkan menerusi lawatan delegasi Sabah Marketing Corporation Sdn. Bhd. (SAMA) dan Sabah Economic Development and Investment Authority (SEDIA) ke Makmal Loji Rintis IPB baru-baru ini.
Menurut kenyataan dari IPB UMS, lawatan tersebut adalah bagi meninjau keupayaan teknologi berkenaan serta meneroka peluang kerjasama strategik dalam pembangunan dan pengkomersialannya.
Delegasi diketuai Pengerusi SAMA, Datuk Bernard J. Dalinting, bersama Pengurus SAMA, Sylvester Fung, dan Pengurus Kanan Bahagian Pembangunan Modal Insan SEDIA, Audrey Lin, selain turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Eternity Mode Sdn. Bhd., Gesiri Gambung yang juga merupakan rakan industri kepada penyelidik IPB, Dr. Clarence M. Ongkudon, dalam pembangunan dan pemerkasaan teknologi WAIG-FILTER.
Sepanjang lawatan tersebut, delegasi diberi taklimat berkaitan latar belakang pembangunan teknologi dan keupayaan teknikal sistem WAIG-FILTER yang dibangunkan sebagai penyelesaian penapisan air yang cekap, mampan dan bersesuaian untuk pelbagai aplikasi termasuk komuniti luar bandar, sektor industri serta pengurusan sumber air.
Dr. Clarence dalam taklimatnya menjelaskan, teknologi itu dibangunkan bagi menangani cabaran bekalan air bersih, khususnya di Sabah.
"Projek percubaan penggunaan sistem inovasi ini telah berjaya dilaksanakan di Taman Hidupan Liar Lok Kawi dan Kampung Long Pasia, Sipitang.
“Kedua-dua projek tersebut menunjukkan impak positif terhadap komuniti setempat serta membuktikan keberkesanan teknologi WAIG-FILTER dalam persekitaran sebenar," katanya.
Sementara itu, Datuk Bernard berkata WAIG-FILTER mempunyai prospek komersial yang besar dan berpotensi menjadi antara produk inovasi tempatan yang mampu dipasarkan secara meluas.
"WAIG-FILTER merupakan contoh inovasi yang mempunyai nilai komersial tinggi.
“Dengan sokongan ekosistem yang sesuai, teknologi ini berpotensi dibangunkan di negeri ini sekali gus mampu meningkatkan akses masyarakat terhadap sumber air bersih dan terawat," katanya.
Turut berlangsung dalam program lawatan tersebut satu sesi perbincangan bersama Pengarah IPB, Profesor Dr. Jualang @ Azlan Gansau, yang memberi tumpuan kepada langkah mempercepatkan pengkomersialan WAIG-FILTER melalui kerjasama melibatkan pemindahan teknologi, pembangunan kapasiti, penyelidikan berimpak tinggi dan pelaksanaan inisiatif strategik.
Perbincangan itu turut menekankan kepentingan sinergi antara universiti, industri dan agensi kerajaan dalam memperkukuh ekosistem inovasi berasaskan bioteknologi serta memastikan hasil penyelidikan tempatan dapat diterjemahkan kepada produk bernilai tinggi yang memberi manfaat kepada masyarakat dan pembangunan sosioekonomi Sabah.


