LAWATAN SAMBIL BELAJAR (LASBELA) KELAB KESUMBA KE HO CHI MINH, VIETNAM

Seramai 14 orang ahli KESUMBA termasuk 4 orang ahli keluarga KESUMBA telah mengikuti lawatan sambil belajar ke Ho Chi Minh, Vietnam pada 29 Januari hingga 1 Februari 2015.
Program LASBELA ini bertujuan memberi pendedahan kepada ahli KESUMBA mengenai budaya masyarakat di Ho Chi Minh, Vietnam terutama dalam aspek budaya kerja, pembangunan setempat selain mempromosikan Universiti Malaysia Sabah di peringkat antarabangsa dan untuk mengeratkan hubungan antara ahli-ahli KESUMBA. Rombongan ini telah diketuai oleh Yang Dipertua KESUMBA, Datin Baidah Ibrahim dan dianjurkan oleh Biro Penerangan dan Perhubungan, KESUMBA.
Antara tempat yang dilawati ialah Sungai Mekong dan sekitar pusat Bandar Ho Chi Minh City. Impak dari program ini diharapkan dapat meningkatkan pengetahuan tentang sejarah dan kebudayaan Negara Vietnam di samping meningkatkan lagi semangat kerja berpasukan.



Lawatan sekitar Bandar Ho Chi Minh.
Peserta rombongan KESUMBA seramai 18 orang telah dibawa ke tempat-tempat menarik di sekitar Bandar Ho Chi Minh. Antaranya, Saigon Central Post Office, Reunification Palace, Notre Dame Cathedral dan juga pusat membeli-belah di night market, Taka Plaza, Diamond Plaza dan Pasar Ben Thant di mana jaraknya mengambil masa hanya lima minit berjalan kaki dari hotel penginapan iaitu Hotel Kingston.

Lawatan ke Delta Mekong
Peserta rombongan juga telah dibawa ke Bandar My Tho yang mengambil masa dua jam perjalanan dari Bandar Ho Chi Minh. Dari Jeti My Tho, peserta dibawa pula ke Pulau Thoi Son dengan menaiki bot untuk melawat ladang lebah dan bengkel pembuatan gula-gula kelapa. Para peserta ditunjukkan kaedah pembuatan gula-gula tersebut dan kemudiannya dihiburkan dengan nyanyian tradisional oleh penduduk Vietnam di pulau tersebut sambil dihidang dengan buah-buahan tempatan yang lazat. Tambah menarik apabila peserta dikejutkan dengan lagu popular Sabah iaitu Anak Kampung antara lagu yang didendangkan oleh penyanyi.
Penduduk di Vietnam seramai 90 juta orang dan hanya 2% sahaja yang beragama Islam, namun perkembangan restoran halal di Ho Chi Minh agak mengkagumkan. Peserta juga agak kagum walaupun hanya 2% penduduk Islam di Vietnam namun industri jualan kain, baju kurung, jubah, tudung dan telekung terutamanya di Saigon sungguh luar biasa dan amat mengkagumkan dengan harga yang amat berpatutan.
Makanan yang disajikan di setiap restoran pula amat sedap dan berbaloi, walaupun masih menghidangkan makanan Malaysia namun pada malam terakhir peserta dihidangkan dengan menu Vietnam yang tidak kurang enaknya. Semoga lawatan ini telah memberi pendedahan kepada ahli yang turut serta mengenai budaya dan kehidupan di Vietnam. Yang lebih penting juga, ikatan silaturahim di antara peserta ditingkatkan.