JUMAAT, 8 SEPTEMBER - Seramai 15 peserta daripada enam buah negara menyertai program pembangunan mampan Pemuliharaan Ekosistem dan Biodiversiti menerusi Program Latihan Negara Ketiga (TCTP) 2017 yang bermula kelmarin.
Enam negara tersebut adalah Sri Lanka, Filipina, Vietnam, Kemboja, Thailand dan Botswana.
Sejak mula dianjurkan pada tahun 2009, program tahunan anjuran bersama Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) dan beberapa agensi kerajaan negeri Sabah tersebut telah memberi manfaat kepada lebih sepuluh negara yang terlibat.
“Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran kepada para peserta yang terdiri daripada pegawai kerajaan negara masing-masing berkenaan aspek pemuliharaan biodiversiti, melalui perkongsian ilmu serta perlaksanaan strategi yang berkesan,” ujar Naib Canselor UMS, Profesor Dr. D Kamarudin D Mudin.
Tambah beliau, lebih menarik TCTP tahun ini akan menyelitkan pendekatan Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0) dengan penerapan ilmu pengetahuan dan kemahiran holistik daripada pembelajaran formal serta pengalaman unik yang akan dialami sendiri oleh para peserta.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Shahril Yusof pada Majlis Perasmian Sabah TCTP 2017 bertempat di IBTP.
Sebelum ini TCTP turut menerima peserta daripada negara-negara seperti Brunei, Indonesia, Papua New Guinea, Laos, India, Mali, Uganda, Kenya dan Tanzania.
Peserta TCTP 2017 akan mengikuti program selama empat minggu di UMS, selain melawat beberapa tempat berkaitan termasuk Taman Negara Kinabalu, Taman Hidupan Liar Lok Kawi, Kota Kinabalu Wetlands dan Hutan Simpan Padas Damit Beaufort.
Turut Hadir pada majlis perasmian tersebut, wakil Japan International Cooperation Agency (JICA), Tomoko Miyagawa dan Pengarah Kementerian Luar Negeri (Cawangan Sabah), Ahmad Amiri Abu Bakar.
Foto : Musaab Umair



KHAMIS, 7 SEPTEMBER - Kewujudan Universiti Malaysia Sabah (UMS) sejak 23 tahun lalu telah menjana satu transformasi pembangunan pesat di negeri Sabah dalam tempoh yang sangat pantas.
RABU, 6 SEPTEMBER - Mahasiswa dinasihatkan agar tidak bergantung kepada apa yang diberikan pensyarah semasa dalam kelas atau kuliah, tetapi sentiasa menerokai ilmu yang berada di luar menerusi pembacaan, agar mampu menempatkan diri dalam pendidikan global.
RABU, 6 SEPTEMBER – Dalam kesibukan siswa-siswi baharu Universiti Malaysia Sabah (UMS) sesi 2017/2018 melalui program Minggu Suai Mesra sepanjang minggu ini, mereka turut berkesempatan menyampaikan idea dan pendapat dalam merealisasikan aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50) bersama Duta Belia TN50, Arthur Joseph Kurup dan Benreza Hezery Uzair dalam satu program Ceramah TN50 di Dewan Canselor, semalam.
SELASA, 5 SEPTEMBER - Para pelajar universiti perlu fokus kepada tugasan atau tanggungjawab utama iaitu menimba ilmu pengetahuan kata Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Datuk Dr. Mary Yap Kain Ching.