RABU, 8 MAC - Universiti Malaysia Sabah (UMS) berusaha melahirkan graduan-graduan yang berkualiti melalui pembentukan sahsiah diri dan mempertingkatkan potensi pelajar berdasarkan Falsafah Pendidikan Negara, kata Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah

Dalam konteks ini katanya, UMS turut mempunyai visi dan misi selaras dengan falsafah itu, dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar akan bertindak lebih aktif khususnya dalam meneruskan program-program kesukarelawan dan kemasyarakatan bagi membentuk keperibadian para pelajar.

“Selain memastikan pelajar memahami kemahiran insaniah, urusan-urusan berkaitan kebajikan pelajar turut dipermudahkan yakni dengan menyediakan penginapan dan kemudahan yang kondusif serta menstruktur program latihan dan kepemimpinan pelajar yang lebih dinamik dan berkesan sebagai persediaan sebelum bergelar graduan,” katanya pada Majlis Amanat Naib Canselor 2017.

Datuk Harun berkata, demi mempertingkatkan kebolehpasaran graduan, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi Lonjakan 1 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) telah mewujudkan satu instrumen yang dipanggil Purata Nilai Gred Purata Kumulatif (iCGPA) bagi mengukur secara holistik tahap dan perkembangan pelajar dari semester satu hingga semester terakhir.

“Sukacita saya umumkan bahawa UMS akan melaksanakan penilaian iCGPA ini bermula pada sesi 2017/2018 yang melibatkan dua  fakulti perintis iaitu Fakulti Kejuruteraan (FKJ) dan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perkaunan (FPEP),” katanya.

Bermula kemasukan sesi 2017/2018 juga katanya, UMS akan menawarkan program akademik prasiswazah baharu iaitu Sarjana Muda Pendarasan Islam dengan Kepujian.

Menurut beliau, seramai 20 pelajar akan ditawarkan tempat bagi mengikuti program ini.

“Dua lagi program prasiswazah yang diluluskan KPT ialah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Sarjana Muda Kejuruteraan Minyak dan Gas,” jelas Datuk Harun.

Beliau turut mengumumkan tentang pelaksanaan program B40 yang akan diteruskan lagi pada tahun ini.

“Program yang telah bermula sejak sesi ambilan 2013/2014 membuka peluang kepada pelajar lepasan Sijil Tinggi Pendidikan Malaysia (STPM) daripada keluarga berpendapatan rendah mengikuti pengajian di UMS.

“Kita telah melihat seramai 67 pelajar B40 ambilan pertama telah bergraduat pada majlis Konvokesyen UMS lalu dan usaha UMS yang memberi peluang kepada mereka turut mendapat sanjungan daripada Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh pada majlis Amanat beliau baru-baru ini,” tambah Datuk Harun.

 

SELASA, 7 MAC -  Universiti Malaysia Sabah (UMS) bertekad untuk terus menyumbang manfaat kepada masyarakat dan mampu berdikari dan lestari dalam pengurusan kewangan.

Ke arah mencapai matlamat itu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah berkata, universiti itu akan meneruskan kecemerlangan dalam bidang akademik melalui penyebaran ilmu sekali gus melahirkan sumber insan bukan saja berilmu, berakhlak mulia tetapi juga memiliki nilai-nilai norma serta mampu menjadi penggerak ekonomi dan kewangan yang lestari.

“Institusi ini akan melakukan penambahbaikan sumber insan secara berterusan agar semua kakitangan yang kita miliki berwibawa serta berintegriti tinggi sesuai dengan peranan dan tanggungjawab masing-masing.

“Sebagai makluman UMS kini mempunyai 2,866 kakitangan iaitu masing-masing seramai 1,084 bagi kakitangan akademik dan 1,782 bagi kakitangan pentadbiran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat Naib Canselor yang berlangsung di Dewan Kuliah Pusat 2, hari ini.

Menurut Datuk Harun, tidak dinafikan cabaran-cabaran semasa yang dihadapi dalam pekerjaan mahupun kehidupan, secara tidak langsung turut memberi kesan kepada kualiti dan produktiviti organisasi.

Katanya, ia serba sedikit telah memberi kesan terhadap segelintir kakitangan awam sehingga diklasifikasikan sebagai berprestasi rendah.

“Bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam di UMS tidak terjejas, satu garis panduan pelaksanaan Dasar Pemisah (Exit Policy) bagi pegawai yang berprestasi rendah diwujudkan membolehkan pengurusan sumber manusia dan pegawai psikologi melaksanakannya secara sistematik dan seragam bersandarkan pekeliling Perkhidmatan Bilangan 7, 2015.

“Dasar ini adalah untuk menamatkan perkhidmatan dan membersarakan kakitangan yang berprestasi rendah namun masih menikmati kemudahan-kemudahan seperti persaraan biasa iaitu pencen bulanan, ganjaran, pemberian wang tunai gantian cuti, kemudahan perubatan dan kad pesara,” katanya sambil memaklumkan dasar itu akan berkuatkuasa tahun ini untuk penilaian Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) bagi tahun 2016.

Datuk Harun berkata, bagi mereka yang telah memilih Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), mereka akan menerima caruman KWSP dan dividen serta kemudahan lain kecuali ganjaran.

“Kakitangan yang berprestasi rendah diklasifikasikan sebagai kakitangan yang memperoleh markah LNPT 60% dan ke bawah dan tidak mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang telah ditetapkan.

“Pelaksanaannya melibatkan semua peringkat kumpulan termasuklah pengurusan tertinggi universiti dan bagi dasar ini dilaksanakan dengan telus, sebuah Panel Intervensi Psikologi (PIPs) ditubuhkan bagi menentukan program intervensi yang sesuai bagi tempoh pemerhatian kepada kakitangan berprestasi rendah yang terlibat,” tambah beliau lagi.

Walau bagaimanapun katanya,  Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) turut diwujudkan sebagai rakan pembimbing dan membantu kakitangan dalam golongan itu  meningkatkan potensi dan kecemerlangan bagi yang ingin berubah.

“Ini membuktikan kita komited dalam usaha  mewujudkan perkhidmatan awam yang berprestasi tinggi dan berintegriti sejajar dengan autonomi yang diperoleh UMS pada bulan Julai tahun lalu.

“Lantaran itu, demi meneruskan kecemerlangan yang kita usahakan bersama, penambahbaikan menerusi pengoptimuman sumber manusia yang ada terdiri daripada akademik dan pentadbiran akan terus diperkasakan,” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Harun turut memaklumkan pengambilan dan penyambungan kakitangan kontrak akan diperketat dengan mengambil kira keperluan strategik universiti dan prestasi individu.

“Ini bermakna, bilangan kakitangan kontrak baharu akan terhad, manakala kakitangan kontrak sedia ada, mungkin ada yang tidak akan disambung kontrak.

“Inisiatif ini diambil bagi mengoptimumkan perbelanjaan bagi menghadapi situasi ekonomi yang kian mencabar,” katanya.

 

ISNIN, 6 MAC - – Kursus ‘Train The Trainer’ ” yang dianjurkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) di Hyatt Regency, Kota Kinabalu baru-baru ini mampu melahirkan pakar perunding Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang bertauliah di Malaysia.

Kursus selama lima hari yang turut disertai oleh beberapa pensyarah Fakulti Kejuruteraan (FKJ) antara lain bertujuan untuk melatih tenaga pengajar dan jurulatih yang akan menggunakan modul yang diperkenalkan oleh Pusat IBS CIDB secara intensif dan komprehensif.

Pensyarah FKJ, Asmawan Mohd Sarman berkata, pemain industri pembinaan kini perlu diberi pendedahan secara sistematik dan terperinci berkaitan pembinaan menggunakan teknologi IBS.

“Ini dapat direalisasikan melalui kursus dan latihan teknikal yang bakal dikendalikan oleh pakar perunding IBS bertauliah yang dilantik oleh CIDB,” katanya.

Dalam kursus tersebut, Pakar IBS dari CIDB, Yuanti Mohamed dan Saiful Adli Abdul Karim menyampaikan lima modul berkaitan IBS merangkumi Pengenalan Kepada Sistem Binaan Berindustri (IBS) Untuk Bangunan, Sistem Koordinasi Modular, IBS Score Manual dan IBS Score Software Smart Calculator, Konsep Reka Bentuk Sistem Konkrit Pra-Tuang, dan Pengurusan Projek.

Modul-modul ini diperkenalkan sebagai salah satu inisiatif dari Pusat IBS CIDB dalam usaha merealisasikan aspirasi kerajaan untuk menggalakkan penggunaan teknologi IBS secara komersial dan meluas dalam industri pembinaan di Malaysia.

Selepas tamat kursus ini, semua peserta yang terlibat akan ditauliahkan sebagai pakar perunding sistem binaan berindustri (IBS) yang diiktiraf oleh CIDB.

Seramai 34 orang peserta yang terdiri daripada pensyarah institusi pendidikan tinggi awam dan swasta, serta pemain industri pembinaan mengikuti kursus tersebut.

Sumber: Farah Adlin, Pelajar Fakulti Kejuruteraan

ISNIN, 6 MAC - Bagi merealisasikan gaya hidup sihat kakitangan secara berterusan, program berbentuk riadah perlu dianjurkan dengan lebih kerap dalam kalangan warga Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah berkata, penting bagi warga universiti khususnya untuk mengetahui tahap kecergasan dan kemampuan diri, selain menjaga pemakanan dan cara hidup bagi menghindari daripada diserang penyakit-penyakit kronik.

“Kakitangan seharusnya memberi ruang kepada diri sendiri untuk hadir dalam program-program berbentuk riadah yang dianjurkan, seterusnya membiasakan diri melakukan aktiviti riadah sekurang-kurangnya dua hingga tiga kali seminggu.

“Saya menyokong peranan yang dimainkan Pusat Sukan UMS yang mengadakan aktiviti riadah pada setiap petang hari rabu minggu kedua sebanyak sebulan sekali serta mempelbagaikan aktiviti yang dianjurkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Larian Staf UMS “Yuk Cergas Staf Ceria” 2017 di Dataran Dewan Canselor baru-baru ini.

Menurutnya lagi, program larian sebegini memberi manfaat kepada kakitangan bagi mengeluarkan peluh, meningkatkan tahap kecergasan serta kesedaran akan kepentingan bersukan dalam aktiviti seharian.

“Ini sesuatu yang positif melihat kepada kategori larian pada kali ini diperbanyakkan khususnya acara Veteran agar memberi peluang kepada ramai peserta veteran menyertai dan mampu bersaing secara sihat dalam kategori umur yang ditetapkan,” ujar beliau.

Lebih 150 kakitangan UMS daripada lima kategori umur menyertai larian tersebut.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Ismail Ali dan Pengarah Pusat Sukan UMS, Mohd Asyraaf Abdullah.

KHAMIS, 2 MAC - Pihak Berkuasa Tatatertib Universiti Malaysia Sabah (UMS) kelmarin mengadakan Prosiding Tatatertib Pelajar terhadap pelajar tahun 3 Program Pengajian Seni Kreatif, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, Mukmin Nantang, serta pelajar tahun akhir Program Kewangan Islam, Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan, Nur Aqilah Mohd Zainuzi.

 

Menurut Ketua Bahagian Perundangan dan Integriti, Jabatan Pendaftar, Awang Suhaizam Bungso, prosiding tatatertib yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Lembaga UMS, menyaksikan pertuduhan dibacakan terhadap kedua-dua pelajar tersebut kerana melanggar peraturan 3(a)(ii) Kaedah-kaedah Universiti Malaysia Sabah (Tatatertib Pelajar-Pelajar) 1999.

 

"Mereka didapati terlibat dalam perhimpunan Bersih 5.0 di Taman Ujana Rimba Tropika, Kota Kinabalu pada 19 November 2016, sekali gus melanggar Pekeliling Khas Naib Canselor Bil.1/2015 bernombor rujukan UMS/NC1.1/100-1/7/1 yang bertajuk “Larangan Penglibatan Pelajar UMS Dalam Perhimpunan Haram”, katanya dalam satu kenyataan selepas prosiding.

 

Jelas beliau, perhimpunan Bersih 5.0 diklasifikasikan sebagai perhimpunan haram oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam satu kenyataan pada 17 November 2016, kerana ia gagal mematuhi peruntukan undang-undang di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736).

 

"Walau bagaimanapun, Mukmin dan Nur Aqilah membuat pengakuan tidak bersalah selepas fakta kesalahan berkenaan dibacakan," kata Awang Suhaizam.

 

Prosiding kemudiannya ditangguhkan dan menetapkan proses perbicaraan pada tarikh 8 Mac 2017.