KHAMIS, 2 FEBRUARI - Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah (UMS) melaksanakan program Misi Kemanusiaan ke Aceh baru-baru ini bersama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Zon Sabah dan Majlis Belia Sabah (MBS).

Menurut kenyataan Pusat Islam UMS, misi tersebut bagi menyampaikan sumbangan kepada  tiga masjid yang runtuh akibat gempa bumi berukuran 6.5 skala ritcher yang melanda kota yang dikenali Serambi Mekah itu pada Disember lalu.

Misi tersebut juga turut menyampaikan sumbangan kepada tapak penempatan mangsa gempa yang menyaksikan lebih 100 orang terkorban di samping puluhan ribu yang lain kehilangan tempat tinggal.

Kesemua sumbangan merupakan bantuan daripada orang ramai dalam bentuk kewangan dan makanan melalui kutipan di masjid-masjid sekitar Sabah termasuk Masjid UMS selain sumbangan daripada agensi kerajaan dan swasta.

Ahli-ahli rombongan turut berkesempatan melawat dan memberi bantuan terhadap tiga rumah anak yatim mangsa Tsunami 2004, iaitu Rumah Anak Yatim Dayah Nurul Huda, Rumah Anak Yatim Serambi Melaka dan Rumah Anak Yatim Makanul Ubudiyyah.

Misi kemanusian itu turut melibatkan beberapa agensi agama sebagai tanda menyokong kepada konsep Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Turut serta pada misi ini ialah Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Sohibus Samahah Datuk Bungsu Aziz Jaafar; Pengarah Pusat Islam UMS, Prof. Madya Dr. Muhamad Suhaimi Taat dan Pengarah YADIM Zon Sabah, Haji Samin Ongki.

RABU, 1 FEBRUARI – Seramai 30  peserta  menghadiri program bicara ilmu sesi pertama yang dianjurkan oleh Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah (PIUMS) di Masjid UMS hari ini.

Bicara Ilmu yang disampaikan Pengurus Hidayah Centre Kota Kinabalu, Joannes Lukas, telah mengupas topik menarik yang bertajuk ‘Manusia Sebaik Ciptaan Allah’.

Pada sesi tersebut, Joannes berkata manusia adalah makhluk ciptaan Allah yang paling mulia selagi mereka memanfaatkan anugerah dan keistimewaan yang diberikan.

“Kelebihan intelek, emosi dan rohani yang ada pada manusia seharusnya dijadikan panduan dalam menjalankan amanah sebagai hamba di muka bumi ini, sesuai dengan misi dan visi ciptaan manusia,” ujarnya.

Tambah beliau, setiap individu harus bijak mengawal diri dengan berpegang kepada ajaran agama agar tidak mudah tunduk dengan hasutan syaitan dan iblis.

“Walau bagaimanapun, meskipun manusia adalah ciptaan sebaik-baik makhluk Tuhan, kita harus sentiasa bersyukur dan tidak bangga diri kerana tiada yang lebih tinggi daripada sifat Allah S.W.T,” katanya. 

Dalam pada itu, penyelaras program, Ainah Ramlan Angusa berkata, program yang diadakan pada minggu pertama dan ketiga setiap bulan itu bertujuan meningkatkan ilmu pengetahuan dalam kalangan kakitangan dan pelajar UMS serta masyarakat sekitar.

SELASA, 31 JANUARI -  Jabatan Canselori Universiti Malaysia Sabah (UMS) menghargai kakitangan yang berpindah ke jabatan lain dalam universiti pada Majlis Apresiasi yang berlangsung tengahari tadi.

Bertempat di Cafe D’Sireh, Bangunan Canselori UMS, majlis itu juga sekali gus mengalu-alukan kehadiran kakitangan dari beberapa jabatan yang berpindah ke Jabatan Canselori.    

Majlis yang dihadiri seluruh kakitangan jabatan berkenaan turut menyaksikan penyerahan Nota Serah Tugas daripada bekas Ketua Bahagian Perhubungan Korporat UMS, Vina Zahriani Yusof yang kini adalah Ketua Bahagian Perkhidmatan Akademik UMS kepada Ketua Jabatan Canselori, Darwis Manainus Awang Kangit.

Terdahulu, dalam ucapannya, Darwis berpesan agar setiap kakitangan yang mengalami perpindahan meneruskan kecemerlangan dan dapat menyesuaikan diri dengan sikap yang positif di tempat kerja yang baru.

“Perpindahan itu adalah satu peluang untuk meneruskan perkembangan karier dan meningkatkan pengalaman kerja khususnya dalam menyumbang bakti kepada universiti,” katanya.

Selain Vina, empat kakitangan yang berpindah ialah Norlina Kamis, Juliana Affendy, Mohammad Norazmi Haris dan Nik Faizal Nik Yusoff.

Sementara itu, Jabatan Canselori menerima kemasukan empat kakitangan iaitu Mohammad Wazir Shafie Aliasah, Razeki Rashid, Noor Kasyfe Aidi dan Nur Afika Taraji Fauzi.

JUMAAT, 27 JANUARI - Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB), Universiti Malaysia Sabah  (UMS) melalui Jawatankuasa Kebajikan, Rekreasi dan Libatsama Masyarakat telah melancarkan tabung bantuan mangsa yang terjejas banjir di Kota Marudu dan Pitas.

Menurut kenyataan pusat itu, antara jenis bantuan yang diperlukan adalah beras, minyak masak serta makanan tin seperti sardin selain makanan segera seperti roti, biskut dan mi segera.

Derma berupa wang ringgit juga diperlukan untuk membeli barangan keperluan lain penduduk yang terjejas banjir.

Mereka yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berhubung dengan Veronica di talian 011-26857017, Eveny (014-9580273),  Nelson (019-5846520) atau Erwin (014-3335392).

Sumbangan akan dikumpulkan sehingga 3 Februari 2017.

 

 

JUMAAT, 27 JANUARI - Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan ditutup bermula esok  sehingga  30 Januari 2017.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Perpustakaan, penutupan itu sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina yang diraikan bermula esok dan Ahad selain cuti gantian pada Isnin.

Walau bagaimanapun kenyataan itu memberitahu, warga UMS masih boleh mengakses pangkalan data perpustakaan melalui http://library.ums.edu.my.

Perpustakaan UMS akan beroperasi semula pada Selasa, 31 Januari 2017.