KHAMIS, 9 JUN - Penyelidik Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP), Universiti Malaysia Sabah, Dr. Takashi Kamada meraih anugerah Pingat Emas pada BioMalaysia 2016 dalam kategori Bioteknologi Perubatan.
Berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini, beliau memenangi anugerah itu melalui penyelidikannya yang bertajuk ‘Novel anti-inflammatory drug from Bornean Red Alga Laurencia nangii’’ sekali gus mengetepikan penyelidik dari 12 universiti lain yang bertanding pada kategori berkenaan.
Bercakap kepada pemberita beliau berkata, alam semula jadi sememangnya telah lama menjadi sumber yang sangat baik serta inspirasi untuk pembangunan ubat-ubatan, dan Pulau Borneo sangat bertuah kerana mempunyai sumber biodiversiti yang luas dan sangat diperkaya dengan khazanah alam semula jadi.
“Penyelidikan yang giat dijalankan ini akan membawa kepada penemuan agen anti-radang yang baru,” katanya berhubung kajian tersebut yang dilaksanakan bersama Pengarah IBTP, Professor Dr. Charles S. Vairappan dan Chin-Soon Phan.
Majlis penyampaian anugerah disempurnakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.
UMS turut mencatatkan pencapaian membanggakan apabila berjaya memenangi Anugerah BioPitch di BioMalaysia 2016 melalui dua penyelidik Institut Penyelidikan Bioteknologi (IPB), Prof. Madya Dr. Kenneth Rodrigues dan Dr. Daisy Vanitha John.
Kejayaan itu terhasil melalui produk ‘Lepto-AD’ Kit Pengesanan Antigen Leptospira yang dihasilkan dengan kerjasama pembangunan komersial dan pemasaran oleh syarikat Platcomm Ventures Sdn. Bhd.
Sementara itu, Timbalan Pengarah (Inovasi), Pusat Penyelidikan dan Inovasi UMS, Dr. Azaze @ Azizi Abdul Adis melahirkan rasa bangga atas pencapaian berkenaan.
Beliau berkata, keupayaan penyelidik dari UMS untuk mendapatkan sokongan daripada industri menunjukkan evolusi sinergi baru antara industri dan penyelidik saintifik.
“Pendekatan strategik ini adalah penting bukan sahaja dalam menghasilkan penyelidikan yang berimpak tinggi tetapi dalam masa yang sama untuk memastikan institusi pendidikan dan penyelidikan menggunakan dana awam membangunkan penyelesaian saintifik untuk masalah tempatan dengan berkesan,” katanya. –SS
Sumber: Pusat Penyelidikan dan Inovasi



KHAMIS, 9 JUN - Dua penyelidik Institut Penyelidikan Bioteknologi (IPB), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Kenneth Rodrigues dan Dr. Daisy Vanitha John telah mencatatkan pencapaian membanggakan apabila berjaya memenangi Anugerah BioPitch di BioMalaysia 2016 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini.
RABU, 08 JUN - Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah melahirkan kekecewaan terhadap sebuah akhbar tempatan yang memuatkan tajuk berita yang tidak tepat berhubung insiden bas terbabas yang berlaku di kampus itu di sini semalam.
RABU, 08 JUN – Kolej Kediaman E, Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini mengadakan satu Majlis Makan Malam bertemakan “Aloha, Hakuna Matata” anjuran Exco Kesenian dan Kebudayaan, Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) kolej berkenaan.
SELASA, 7 JUN – Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan program Eco-FPEP yang dianjurkan oleh HE06 Green Team, sebuah kelab yang bernaung di bawah program Pengurusan Kewangan dan Perbankan (HE06) baru-baru ini.