RABU, 10 OGOS - Universiti Malaysia Sabah (UMS) sedia untuk menjadi ‘focal point’ kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) khususnya dalam membantu masyarakat dalam bidang pengkomputeran dan siber.

Timbalan Naib Canselor UMS (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Dr Shahril Yusof berkata, ia adalah berdasarkan kemudahan dan infrastuktur  selain sumber manusia yang mencukupi bagi membantu usaha untuk memastikan masyarakat di negeri ini celik komputer seiring dengan tuntutan peredaran masa kini.

"Sebagai sebuah Universiti Awam (UA) di Sabah dan berdasarkan konsep Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), UMS sedia untuk bekerjasama selain menjadi 'focal point' kepada pihak MOSTI.

"Universiti ini mempunyai infrastuktur, fasiliti, pelajar, pensyarah selain kampus-kampus UMS di Sandakan, Labuan dan Sikuati Kudat yang sangat memenuhi keperluan mencukupi untuk melaksanakan misi ini," katanya selepas merasmikan Ops Jelajah Siber 2.0 Edisi Sabah di Kompleks Dewan Kuliah Pusat hari ini.

Hadir sama, Naib Presiden Kanan Bahagian Perkhidmatan Korporat CyberSecurity Malaysia (CSM) Mohd Roslan Ahmad dan Ketua Jabatan Pembangunan Industri dan Perniagaan CSM Anwer Yusoff.

SELASA, 09 OGOS - CyberSecurity Malaysia dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS)

akan menganjurkan Ops Jelajah Cyber 2.0  bermula esok sehingga Khamis.

Program yang dianjurkan dibawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bertujuan untuk meningkatkan kesedaran keselamatan siber dan maklumat dalam kalangan masyarakat tempatan.

Ia juga bagi membantu masyarakat setempat ke arah meningkatkan kesejahteraan ekonomi melalui pelaksanaan perkhidmatan, peningkatan kemahiran atau inovasi yang boleh dilaksanakan dalam cara yang mampan. 

Dikenali sebagai Inovasi Sosial MOSTI (MSI), program tersebut akan diadakan di Dewan Kuliah Pusat 2 UMS.

Kira-kira 30 peserta yang terdiri daripada usahawan, wakil agensi dan badan kerajaan, badan-badan bukan kerajaan serta persatuan akan menyertai program berkenaan.

Program latihan itu akan memberi pendedahan kepada peserta berkaitan pelbagai perkhidmatan yang disediakan oleh CyberSecurity Malaysia, seperti Pusat Bantuan Cyber999 serta perkhidmatan baik pulih dan sanitasi data.

ISNIN, 8 OGOS - Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Pusat Minda Lestari (PML)  bersama  Ahli  Jawatankuasa  Silibus dan Modul PML telah menjalankan lawatan penanda aras di Sekolah Kebangsaan Cina Anglo Chinese Kota Kinabalu baru-baru ini.

Rombongan yang diketuai  oleh Pengerusi Jawatankuasa Silibus dan Modul PML, Dr. Connie Shin @ Connie Cassie Ompok, turut disertai oleh beberapa orang pensyarah Fakulti Psikologi dan Pendidikan, Penyelia Program Tadika, Taska, Daycare dan Transit serta Pengarah PML, Aidah Noordin dan Ketua Bahagian Pentadbiran PML, Faddili Kasin.

Rombongan UMS disambut mesra oleh Guru Besar, Penolong Kanan, guru- Pengerusi PIBG dan murid-murid sekolah tersebut, yang kemudiannya dibawa melawat sudut-sudut ceria, Bilik Sumber, Bilik Rakaman, Dewan Mini dan juga kelas pra sekolah sebelum diberi taklimat.

Terdahulu, Aidah dalam ucapannya berkata tujuan lawatan tersebut adalah untuk membuat penanda aras bagi pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Pra sekolah yang berkesan di sekolah berkenaan di samping mengetahui amalan terbaik dalam tadbir urus pra sekolah.

 Beliau menambah, rombongan UMS menaruh harapan agar lawatan ini mampu menghasilkan sesuatu yang bermakna, berkesinambungan serta dapat dijadikan sebagai titik permulaan kepada pembentukan jalinan kerjasama kedua-dua pihak terutama dalam bidang pendidikan pra sekolah.

Ahli  rombongan turut  berpeluang melihat sendiri pelaksanaan sesi pengajaran dan  pembelajaran Pra sekolah yang dijalankan oleh seorang guru dengan menggunakan penerapan pembelajaran menggunakan teknologi terkini iaitu  Interactive Whiteboard. 

Lawatan tersebut juga telah membuka ruang perkongsian idea dalam proses pembentukan silibus dan modul yang relevan dengan keperluan semasa.  Sumber: Pusat Minda Lestari UMS

ISNIN, 8 OGOS – Usaha Universiti Malaysia Sabah (UMS) membangunkan Pusat Penyelidikan Makanan Ternakan di Apin-Apin, Keningau disokong penuh oleh Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Hj. Sairin Hj. Karno.

Bercakap ketika merasmikan Program Keusahawanan Tani dan Kemasyarakatan UMS di SMK Apin-Apin baru-baru ini, beliau menegaskan industry ternakan di Sabah mempunyai potensi yang besar untuk dibangunkan.

“Kedudukan Sabah yang strategic dan bebas daripada penyakit major ternakan memberikan kita kelebihan untuk membangunkan industry ternakan. Bagaimanapun, kos makanan ternakan merupakan penghalang utama kerana kos makanan ternakan yang tinggi menyebabkan kos operasi juga meningkat,” katanya.

Datuk Sairin turut mengharapkan agar penubuhan pusat ini dapat membantu kerajaan negeri dalam memformulasikan makanan ternakan yang berkhasiat dengan kos yang lebih munasabah serta menggunakan sumber-sumber makanan yang ada di Sabah.

Beliau turut menambah, kerajaan negeri menerusi Dasar Pertanian Negeri Sabah lebih memfokuskan kepada pembangunan food security dan food production di Sabah.

“Dengan adanya pusat sebegini, program keusahawanan ini serta sokongan padu daripada UMS, kerajaan negeri mengharapkan lebih ramai lagi usahawan muda khususnya para belia yang dapat menjadi usahawan Berjaya dan ternama, dan seterusnya membantu dalam pembangunan industri pertanian di Sabah,” katanya.

Turut hadir memeriahkan program selama sehari itu ialah Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UMS, Prof. Dr. D Kamarudin D Mudin, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof, Pendaftar UMS, No’man Datuk Ahmad, Pegawai-pegawai Kanan UMS, pelajar SMK Apin-Apin dan penduduk kampong berdekatan. -CD-

Foto: Musaab Umair

JUMAAT, 5 OGOS – Makmal Haemostasis Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) diiktiraf menepati piawaian antarabangsa apabila menerima penganugerahan Sijil Akreditasi MS ISO 15189 oleh Jabatan Standard Malaysia.

Penganugerahan sijil tersebut disampaikan oleh Pengarah Jabatan Standard Malaysia, Shaharul Sadri Alwi kepada Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah dalam satu majlis di Galeri Majlis, pagi tadi.

Melalui akreditasi tersebut, Makmal Haemostasis UMS kini mampu memberikan perkhidmatan secara bertauliah dari segi ujian sampel kepada pengguna akhir, sama ada dari hospital kerajaan mahupun pesakit sendiri.

Terdahulu, Datuk Harun dalam ucapannya berkata,  pencapaian ini adalah satu peristiwa penting dalam sejarah UMS dengan satu daripada 100 buah makmal yang terdapat di kampus UMS mendapat pengiktirafan tersebut.

“Usaha ini telah dimulakan pada tahun 2013 dan setelah hampir dua setengah tahun, akhirnya Makmal Haemostasis UMS mendapat pengiktirafan  akreditasi tersebut, sekali gus menyaksikan kejayaan FPSK mencapai aspirasi  dengan pengurniaan “Sijil Akreditasi dalam bidang Ujian Perubatan: Hematologi", katanya.

Ujar beliau, dengan pencapaian ini juga telah melonjakkan nama UMS sebagai salah satu pusat kecemerlangan akademik yang terbaik di rantau ini.

Turut hadir pada majlis tersebut Dekan FPSK UMS, Prof Dr Zainal Arifin Mustapha dan Pengarah Makmal Haemostasis FPSK Prof. Madya Dr Thiruchelvam Ayadurai. -MA-

Foto: Ernest Berinus