RABU, 26 JUN 2019 -  Kelab Suri Rumah dan Staf Wanita Universiti Malaysia Sabah (KESUMBA) diharap agar terus mengorak langkah melaksanakan pelbagai aktiviti yang memberi manfaat bukan sahaja kepada ahli malah kepada masyarakat setempat.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, sebagai sebuah kelab yang dipelopori oleh wanita, beliau amat kagum dengan perkembangan kelab itu yang banyak membuat perubahan sejajar dengan perubahan yang dibawa oleh universiti.

”Saya yakin melalui barisan kepimpinan KESUMBA serta ahli jawatankuasa, maka kelab ini akan terus maju dan dapat merealisasikan matlamat kelab yang antara lain berusaha meningkatkan imej dan nama baik universiti melalui hubungan kerjasama serta penganjuran aktiviti yang memberi manfaat kepada ahli.

“Sehubungan dengan itu, bersempena dengan Mesyuarat Agung ini, saya berharap semua ahli KESUMBA dapat mencapai kata sepakat dan objektif yang ingin dicapai.

 “Gunakan peluang dan ruang ini sebaiknya bagi memperkukuh pencapaian dan hala tuju KESUMBA di masa akan datang,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kesumba kali ke-22, di sini hari ini.

Prof. Datuk Dr D Kamarudin turut  mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada warga KESUMBA dan memohon kemaafan sekiranya terkasar bahasa atau terdapat sebarang perbuatan menyinggung perasaan sepanjang memegang jawatan sebagai Naib Canselor.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua atas kerjasama dan sokongan diberikan selama ini, hanya Allah SWT dapat membalasnya,” katanya.

Mesyuarat Agung Tahunan KESUMBA pada kali ini turut menyaksikan pemilihan Ahli Jawatankuasa Tertinggi yang baharu.

Hadir sama Yang Dipertua KESUMBA, Datin Roha Asmara; Pendaftar UMS, Vina Zahriani Yusof; dan Bendahari UMS, Zallifah Shadan.

 

 

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) bertekad untuk menjadi pusat penyebaran ilmu pengajian bagi melahirkan pendidikan tinggi yang berkualiti kepada pelajar dan cendekiawan di peringkat global mahupun setempat.

Menurut Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin, UMS bertekad untuk menyediakan bimbingan dan peluang pembelajaran dalam suasana persekitaran yang menekankan inovasi dan bakat.

“Sejak ditubuhkan, UMS telah memberikan usaha yang konsisten dengan menyediakan ahli akademik yang berkebolehan, membangunkan infrastruktur dan mekanisme moden, dan juga disokong oleh pihak pengurusan yang menyediakan dasar berkesan dalam usaha memupuk pemikiran kritis di kalangan generasi muda,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutupan Minggu Suai Mesra Asasi Sains Sesi 2019/2020 Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST) UMS, kelmarin.

Terdahulu Prof. Dr. D Kamarudin menyeru seluruh warga UMS untuk meletakkan nilai keikhlasan dan menetapkan fikiran yang satu untuk menyempurnakan matlamat agar sentiasa melangkah maju ke hadapan.

“Kita tidak mahu menoleh lagi ke belakang, kita harus bersatu dan menggembleng tenaga bersama-sama agar kita semua berjaya ke destinasi yang dituju tanpa ada seorang yang tertinggal di belakang,” ujarnya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Profesor Dr. Rasid Mail.

Beliau turut menasihatkan agar para pelajar baharu Asasi Sains untuk mengambil peluang dan memanfaatkan sebaiknya kehidupan kampus sebagai bekalan memasuki alam pekerjaan kelak.

“Selain bekalan transkrip akademik yang dibawa untuk memasuki alam pekerjaan, aspek-aspek lain seperti keterlibatan dalam aktiviti universiti dapat meningkatkan tahap keyakinan diri. Saya doakan agar anda semua memperkukuhkan iltizam dan menzahirkan usaha menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh demi melakar masa depan yang lebih terjamin,” tambah beliau.

Sementara itu, Pengarah PPST, Profesor Madya Dr. Sazmal Effendi Arshad menyatakan seramai 240 pelajar yang berasal dari seluruh Malaysia berjaya mengikuti pengajian Asasi Sains UMS pada tahun ini.

Tambah beliau, PPST akan terus memikul tanggungjawab dan amanah untuk sentiasa mendahulukan agenda universiti dalam program asasi sains yang bertujuan memberi pendedahan asas sains yang kukuh kepada para pelajar sejajar dengan kemudahan universiti yang disediakan.

“Harapan kita agar PPST dapat meneruskan misi untuk menyediakan lebih ramai lagi pelajar bagi mengikuti program sains di peringkat prasiswazah pada masa akan datang,” katanya.

RABU, 19 JUN - Universiti Malaysia Sabah (UMS) mencipta sejarah baharu apabila buat pertama kalinya tersenarai dalam QS World University Rankings. Menurut QS World University Rankings 2020 yang telah diumumkan hari ini, UMS disenaraikan pada kedudukan 801-1000 iaitu antara 1000 universiti terbaik di dunia.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin dalam satu kenyataan berkata, pencapaian itu merupakan pencapaian terbaik dan yang amat membanggakan setakat ini.

“Kejayaan bersejarah ini, yang mana telah dicapai semasa ulang tahun ke-25 UMS, adalah hasil kerja keras, dedikasi dan ketabahan semua warga universiti khususnya dalam kalangan staf akademik.

“Ini merupakan satu langkah ke hadapan untuk merealisasikan visi UMS iaitu menjadi sebuah universiti berinovatif yang bertaraf dunia,” katanya.

Menurut Prof. Datuk Dr. D Kamarudin,  kejayaan itu juga sekali gus akan memotivasi serta memberi inspirasi kepada semua warga UMS untuk terus melonjakkan kejayaan dan pencapaian universiti pada masa akan datang.

“Kita akan terus berusaha untuk membangun dan memajukan UMS, antara lain ke arah peningkatan kecemerlangan global, dengan merujuk kepada Pelan Strategik Universiti.

“Tugas ini memerlukan komitmen dan usaha berpasukan dari semua warga UMS, dan setiap sumbangan adalah penting,” ujarnya.

Untuk rekod  QS World University Rankings telah diadakan oleh Quacquarelli Symonds sejak 2004. Universiti yang tersenarai pendek dari seluruh dunia adalah dinilai berdasarkan indikator (kriteria) tertentu iaitu  Reputasi Akademik (40%), Reputasi Majlkan (10%), Nisbah Staf Akademik-Pelajar (20%), Jumlah Sitasi per Staf Akademik (20%), Bilangan Staf Akademik Antarabangsa (5%) dan  Bilangan Pelajar Antarabangsa (5%).

Pencapaian bersejarah UMS dalam QS World University Rankings ini sekali gus menjadi antara coretan manis sempena sambutan jubili perak UMS pada tahun ini. Untuk rekod UMS  ditubuhkan pada November 1994.

Pusat Pengurusan Strategik & Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Sabah

19 Jun 2019

SELASA, 18 JUN – Siswa program Perniagaan Antarabangsa (HE09) Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan, (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah melancarkan ‘Hope Project 3.0’, satu projek khidmat komuniti yang memfokuskan masyarakat B40 sebagai penerima sumbangan utama dan penghuni di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas.

Menurut pensyarah FPEP, Chan Hak Liong, program tersebut merupakan kesinambungan daripada Charity Run yang telah diadakan sebelum ini untuk tujuan mengumpul dana bagi menjalankan program-program khidmat komuniti.

“Hope Project 3.0 ini diadakan adalah sebagai obligasi sosial siswa-siswi terhadap masyarakat B40 di kawasan pedalaman Sabah, dengan lokasi yang dipilih pada kali ini adalah di Sekolah Kebangsaan Kinaluan, Tambunan.

“Selain untuk membantu dan meringankan beban masyarakat di kawasan terpilih, para pelajar juga turut berkesempatan menggunakan peluang dengan merapatkan silaturahim bersama masyarakat pedalaman serta rasa keprihatinan terhadap mereka,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, beberapa aktiviti telah diadakan di sekolah tersebut antaranya aktiviti gotong-royong serta penanaman pokok-pokok herba bersama Guru Besar Sekolah Kebangsaan Kinaluan, Halina John Jinuli dan para ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dari sekolah tersebut, selain penyampaian sumbangan seperti beras dan keperluan utama kepada murid-murid dalam golongan keluarga B40.

Selain program di Tambunan, Hope Project turut diadakan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak, dengan antara aktiviti yang diadakan adalah melawat ibu dan kanak-kanak yang berada dalam wad serta memberi sedikit sumbangan berupa goodies kepada kanak-kanak yang akan menjalani pembedahan, dengan tujuan untuk membawa keceriaan kepada penghuni hospital tersebut terutamanya kanak-kanak.

 

KHAMIS, 13 JUN - Pusat Minda Lestari (PML), Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima RM180,000 Geran Penubuhan Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) di Tempat Kerja Sektor Awam, baru-baru ini.

PML menerima geran tersebut bersama empat agensi kerajaan lain iaitu Pejabat Pentadbiran Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (TSKN), Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Mohammad Fuad Stephens Sandakan, dan Jabatan Penjara Negeri Sabah.

Majlis penyampaian replika cek geran disempurnakan TSKN, Patrick Tan @ Tan Su Teck mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) Sabah, Datuk Seri Panglima Hashim Paijan, di Bilik Mesyuarat Pejabat SKN, di sini dengan disaksikan Timbalan Pengarah Persekutuan, Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am, Hajah Dayang Rugayah Awang Besar.

PML dalam satu kenyataan berkata, kejayaan mendapatkan geran peruntukan itu merupakan satu pengiktirafan agensi pusat terhadap kemampuan UMS untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan, pengajaran dan pembelajaran awal kepada anak-anak kakitangan UMS. 

“Geran yang disalurkan ini akan digunakan untuk tujuan menyelenggara, mengubahsuai dan membeli peralatan yang diperlukan bagi memulakan operasi perkhidmatan Taska di UMS Kampus Sandakan selaras dengan hasrat Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang inginkan penubuhan Taska di tempat kerja mulai Januari 2019.

“Pemberian geran penubuhan Taska di tempat kerja sektor awam adalah bertujuan untuk penyediakan perkhidmatan asuhan kepada kanak-kanak di bawah umur empat tahun, mengurangkan kerisauan ibu bapa yang bekerja supaya lebih fokus kepada pekerjaan mereka, menggalakkan ibu bapa menghantar anak-anak mereka kepada Taska berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan memberikan asuhan dan didikan awal kanak-kanak selaras dengan dasar asuhan dan didikan awal kanak-kanak kebangsaan,” demikian menurut kenyataan itu.

Pada majlis tersebut, PML diwakili pengarahnya Aidah Noordin bersama Penolong Pendaftar Kanan, Faddili Kasin; Penyelia Taska, Aminah @ Bibiana Idris; serta Penyelia Daycare dan Transit PML, Jaini Sapirai.

Untuk rekod, PML menyasarkan cawangan Taska di Fakulti Pertanian Lestari, UMS Kampus Sandakan beroperasi bermula pada Ogos depan.