JUMAAT, 5 JULAI - Kira-kira 60 alumni Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjayakan Majlis Sambutan Hari Raya Alumni UMS Chapter Putrajaya baru-baru ini.

Pengarah Pusat Kerjaya dan Alumni UMS, Prof. Madya Dr. Lai Yew Meng berkata, penganjurannya antara lain bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan alumni UMS.

“Saya ingin menzahirkan rasa syukur dan gembira kerana dapat berkumpul bersama dan meraikan kemeriahan  sambutan hari raya dengan para alumni UMS di sini.

“Adalah menjadi harapan saya agar majlis seumpama ini akan memberi peluang kepada kita sekalian untuk saling mengeratkan silaturahim dan secara tidak langsung, ia dapat mewujudkan semangat kekeluargaan sesama kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan alu-aluan pada majlis tersebut.

Ujar Dr. Lai, selain membentuk kemesraan dan ikatan persaudaraan sesama alumni, majlis itu juga sebagai medan perkongsian pengalaman antara satu sama lain terutamanya dalam bidang pekerjaan dan perniagaan.

Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Pengarah Pusat Kerjaya dan Alumni UMS, Mohd Raffie Hj. Janau dan Ketua Chapter Alumni UMS Zon Putrajaya, Mohammad Farizal Mohammad Syawal.

JUMAAT, 5 JULAI - Seorang penyelidik Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima Anugerah Geran Penyelidikan Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) 2019 bernilai RM150,000 baru-baru ini.

Pensyarah Kanan Institut Penyelidikan  Bioteknologi UMS, Dr Nur Athirah Yusof menerima anugerah tersebut melalui kertas kerja penyelidikan yang berkaitan dengan kajian terhadap kulat Antartika dan respon terhadap ‘heat stress’.

Majlis penyampaian geran disempurnakan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada upacara pembukaan ‘8th  Malaysian International Seminar on Antartica’ di Selangor baru-baru ini.

Ketika dihubungi Dr Nur Athirah berkata, beliau sebenarnya tidak menjangka terpilih sebagai salah seorang daripada enam penerima geran.

“Saya berterima kasih kepada YPASM atas kepercayaan yang diberikan,  penyelidikan ini akan dilaksanakan selama tiga tahun sehingga tahun 2022.

“Penyelidikan saya akan lebih memfokuskan kepada perubahan iklim iaitu tentang bio petanda dalam sampel mikrob dari Barat dan Utara Antartika bagi mengenalpasti akibat daripada perubahan iklim kepada benua Antartika,” katanya.

Untuk rekod, Dr Nur Athirah juga mempunyai pengalaman membuat penyelidikan dalam bidang kajian pola di Antartika selama sembilan tahun sejak tahun 2010.

Kredit Gambar: Facebook Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan - YPASM

 

 

JUMAAT, 05 JULAI – Pejabat Penasihat Undang-Undang (PPUU) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan satu sesi perkongsian bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di Galeri Majlis, Aras 3, Bangunan Canselori UMS, kelmarin.

Sesi perkongsian yang bertajuk “Media Sosial : Isu dan Cabaran dalam Perkhidmatan Awam” disampaikan Timbalan Pengarah SKMM Wilayah Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Irwan Ahmad Sabtu di hadapan lebih 60 kakitangan UMS yang hadir.

Dalam perkongsiannya, Irwan berkata, pengguna media sosial bukan sekadar sebagai pengguna semata-mata tetapi juga sebagai penyalur maklumat melalui akaun media baharu masing-masing tidak kira tempat dan masa.

“Media sosial juga digunakan dalam sektor awam bagi memenuhi kehendak persekitaran yang sentiasa berubah-ubah sekali gus mampu memantapkan sistem perkhidmatan yang lebih pantas dengan cakupan maklumat terkini untuk rujukan masyarakat.

“Sebagai penjawat awam, penggunaan media sosial secara peribadi juga harus tertakluk  di bawah perintah am.

“Kami di SKMM antara lain mahu menerapkan masyarakat sebagai warga digital yang menggunakan internet berteraskan rukun negara serta lebih berintegriti dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan apa-apa kandungan dalam internet,” jelasnya.

Hadir sama Ketua Pejabat Penasihat Undang-Undang UMS, Yenney Fadzlyena Ahmad Shah.

KHAMIS, 4 JULAI – Kejohanan Sukan Kakitangan Universiti Malaysia Sabah (SUKUMS) 2019 Kali Ke- 18 yang bakal berlangsung pada 12 hingga 14 Julai ini menjadi platform terbaik kepada kakitangan UMS dalam membudayakan kesihatan melalui penyertaan acara sukan yang dipertandingkan.

Kejohanan yang akan berlangsung di sekitar gelanggang kampus UMS serta beberapa tempat di Kota Kinabalu dan Tuaran bakal menyaksikan 8 kontinjen yang terdiri daripada Twin Tower, D’Arts, Science United, Super 9, Royal Esteem, The Legend, 1KAL dan FPL Warrior berentap bagi merebut 50 pingat emas daripada 23 jenis sukan yang dipertandingkan.

Dengan penglibatan seramai lebih 1500 atlet dan pegawai dalam SUKUMS 2019, temasya tahunan universiti itu juga mampu meningkatkan silaturahim dalam kalangan kakitangan melalui penyertaan acara sukan.

Dalam pada itu, acara larian obor yang berlangsung bermula di laman Bangunan Canselori pada petang kelmarin menyemarakkan lagi kejohanan SUKUMS yang akan dirasmikan pada 12 Julai ini.

Lima wakil daripada Kontinjen Twin Tower, iaitu Mohamad Edrus Othman, Awina Kamis, Saini Mohilap, Mohd. Aiddy Sufian Abd Rashid dan Abdul Ghani Amat diberi penghormatan mengetuai larian obor yang turut disertai oleh kira-kira 50 staf yang lain.

Pendaftar UMS, Vina Zahriani Yusof menyerahkan obor yang dinyalakan kepada Mohamad Edrus untuk dibawa sehingga ke kawasan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan UMS sebelum diserahkan kepada wakil kontinjen D’Arts.

Terdahulu, Vina ketika ditemui berkata, larian obor merupakan acara yang buat julung kalinya diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-25 UMS pada tahun ini.

Katanya, ia juga bagi menyemarakkan lagi program Jom Sihat UMS yang diadakan pada setiap Rabu melibatkan semua warga UMS.

Acara pelepasan larian disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof. Dr. Rasid Mail.

KHAMIS, 4 JULAI - Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Alumni Universiti Malaysia Sabah (UMS) berlangsung meriah di Auditorium Pascasiswazah, di sini baru-baru ini.

Pelbagai juadah menjadi menu santapan para hadirin yang terdiri daripada alumni-alumni UMS dan warga kakitangan universiti.

Dimeriahkan dengan 12 gerai makanan, acara itu turut diserikan dengan kehadiran Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk KY Mustafa.

Beliau yang hadiri diiringi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS, Prof. Dr. Ismail Ali, turut melawat setiap gerai makanan serta beramah mesra dengan para hadirin.

Pada majlis itu turut menyaksikan Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) UMS dinobatkan sebagai pemenang gerai tercantik.

Hadir sama pada majlis itu Pengarah Pusat Kerjaya dan Alumni UMS, Prof Madya Dr Lai Yew Meng serta dekan-dekan dan timbalan dekan fakulti.