SELASA, 16 JULAI - Universiti Malaysia Sabah (UMS) terlibat aktif dalam program mobiliti pelajar peringkat antarabangsa anjuran ASEAN International Mobility for Students (AIMS).

Pengarah Pusat Pengantarabangsaan dan Penglibatan Global UMS, Prof. Dr. Ho Chong Mun berkata, sejak penglibatan  UMS dalam AIMS pada 2016, sejumlah 60 pelajar UMS telah mengikuti program mobiliti di beberapa universiti luar yang merupakan negara anggota AIMS.

“Dalam tempoh yang sama, UMS juga menerima seramai 56 pelajar universiti dari negara ahli. Pada tahun 2019, setakat ini 11 pelajar UMS telah menjalani program mobiliti ini di Tsukuba University, Jepun; Mae Fah Luang University, Thailand; Central Luzon State University, Filipina; dan Daegu Catholic University, Korea Selatan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menurut Prof. Dr. Ho, penglibatan UMS dalam program ini amat bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk mengantarabangsakan institusi pendidikan tinggi di negara ini.

Katanya, ia juga sebagai satu langkah untuk memberi pendedahan dan pengalaman kepada para pelajar tentang budaya dan kehidupan masyarakat di negara lain.

“Ia sekali gus mampu menyuburkan hubungan antara sesama universiti yang boleh membawa kepada jalinan kerjasama strategik dengan universiti-universiti serta negara yang terlibat.

“Malah baru-baru ini kita di UMS juga amat bertuah kerana diberi kepercayaan oleh Bahagian Education Malaysia (BEM) , Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia untuk membantu menyelaras Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksana AIMS 2019 di Kota Kinabalu yang turut dihadiri Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datin Paduka IR. Dr. Siti Hamisah Tapsir dan wakil-wakil universiti dari negara ahli,” jelas Prof. Dr Ho lagi.

Untuk rekod, sebanyak lapan negara yang terlibat dalam AIMS merangkumi negara Malaysia, Brunei Darussalam, Indonesia, Thailand, Filipina, Vietnam, Jepun dan Korea Selatan.

Sehingga kini, seramai 1,200 pelajar telah terlibat dalam progam mobiliti membabitkan 61 institusi pengajian tinggi dari seluruh negara anggota AIMS yang mana kesemua pelajar yang terpilih ini akan ditaja melalui biasiswa yang diberikan oleh kerajaan negara masing-masing.

 

 

JUMAAT,12 JULAI – Kejohanan Sukan Kakitangan Universiti Malaysia Sabah (SUKUMS) Ke-18 yang secara rasminya bermula hari ini mampu menyumbang kepada usaha memupuk semangat kerja berpasukan dalam kalangan kakitangan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Pendaftar UMS, Vina Zahriani Yusof berkata, selain sebagai acara tahunan universiti, kejohanan ini juga dilihat sebagai kaedah untuk mewujudkan keakraban dalam kalangan staf serta dapat berinteraksi melalui sukan sekali gus dapat menerapkan amalan gaya hidup sihat.

“Paling penting adalah semangat kesukanan tinggi harus dipamerkan dalam apa juga sukan yang kita sertai dan janganlah kerana inginkan kemenangan menjadi faktor kepada terjadinya perpecahan.

“Komitmen yang dipamerkan oleh kakitangan saya lihat sebagai suatu yang perlu dibanggakan oleh warga universiti, dan untuk itu pengurusan universiti akan terus menyokong aktiviti berkaitan dengan sukan antaranya dengan membaiki kemudahan sukan yang sedia ada seperti trek dan balapan.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Perasmian SUKUMS kali ke-18 di UMS Arena, pagi tadi.

Menurut Vina, adalah menjadi harapan beliau agar kejohanan tersebut menjadi platform yang dapat digunakan bagi memastikan universiti terus cemerlang dalam semua bidang yang diceburi.

“Saya juga rasa perlu untuk menetapkan objektif utama agar lebih ramai lagi kakitangan UMS yang dapat mewakili negeri mahupun pasukan kebangsaan pada masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, kejohanan kali ini menyaksikan sebanyak 24 jenis sukan dipertandingkan termasuk dua sukan yang baru diperkenalkan iaitu sukan memancing laut dalam dan petanque.

Lapan pasukan akan bersaing merebut kejuaraan pada SUKUMS kali ini, iaitu Kontinjen Twin Tower, D’Arts, Royal Esteem, The Legend, Team Sandakan, Science United, UMSKAL, dan Super 9.

Hadir sama Pengarah Pusat Sukan UMS, Ahmadi Nurdin.

 

 

JUMAAT, 12 JULAI - Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) yang kini dalam fasa pembinaan akan menjadikan bidang rehabilitasi strok sebagai salah satu nic kepakaran hospital tersebut dengan membangunkan Unit Rehabilitasi Strok.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata, sebaik sahaja hospital yang dijangka selesai pembinaannya pada tahun 2021 itu beroperasi, unit tersebut akan mampu menyumbang kepada peningkatan kualiti perkhidmatan pemulihan strok di negara ini.

“Penyakit strok bukanlah sesuatu yang asing, dan seperti yang kita sedia maklum, penyakit strok boleh menyebabkan pelbagai komplikasi kesihatan.

“Oleh itu, rawatan rehabilitasi strok adalah amat penting bagi membantu pesakit dalam proses pemulihan secara menyeluruh, mengelakkan komplikasi, membantu pesakit untuk mencapai tahap keberdikarian yang maksimum serta kembali semula kepada komuniti dan juga pekerjaan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan bengkel ‘Borneo Interdisciplinary Stroke Rehabilitation Workshop 2019’ di Auditorium Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) pagi tadi.

Justeru katanya, bengkel ini menjadi satu titik permulaan bagi merealisasikan usaha pembangunan Unit Rehabilitasi Strok, dan kandungan bengkel itu juga bersesuaian dengan konsep Hospital UMS yang menjamin kelestarian dan keupayaan meneruskan rawatan di komuniti.

“Saya berharap dengan penganjuran kursus seumpama ini akan mampu meningkatkan pengetahuan dan kompetensi dalam rawatan rehabilitasi strok sekali gus meningkatkan mutu perkhidmatan rawatan pemulihan strok di negara kita,” kata Datuk Frankie Poon.

Terdahulu, Dekan FPSK, Prof. Dr. Mohammad Saffree Jeffree berkata, HUMS juga berhasrat untuk tidak hanya menjalankan rawatan berkaitan pemulihan strok di hospital, tetapi juga akan turun ke kawasan pedalaman bagi membantu pemulihan pesakit strok di sekitar kawasan pedalaman Sabah.

“Ini adalah bagi memenuhi keperluan kesihatan dan kesejahteraan rakyat di seluruh negeri Sabah, dan UMS melalui HUMS akan terus berkolaborasi dengan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah bagi tujuan tersebut,” ujar beliau.

Hadir sama pada acara tersebut Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr. Christina Rundi; Pengarah Hospital Queen Elizabeth, Dr. William Gotulis; Ketua Jabatan Perubatan Rehabilitasi, Hospital Queen Elizabeth, Dr. Syahiskandar Sybil Shah; dan pengerusi penganjur, Dr. Fatimah Ahmedy.

 

 

KHAMIS, 11 JULAI - Kerjasama pintar antara Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd. kini giat dilaksanakan merangkumi pelbagai aspek termasuk pembangunan pelajar UMS dengan memberi latihan khusus dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, bagi tujuan pembangunan pelajar, Huawei telah mewujudkan Huawei Authorized Information Network Academy (HAINA) di dalam kampus.

“Melalui HAINA, Huawei mengiktiraf UMS sebagai pusat latihan dan pensijilan bagi sijil profesional Huawei seperti Huawei Certified Network Academy (HCNA) dan Huawei Certified ICT Associate (HCIA).

“Pihak Huawei juga menyumbang peralatan ICT di pusat HAINA untuk aktiviti latihan, selain memberi bantuan dalam latihan pelajar UMS untuk tujuan pensijilan HCNA/HCIA serta mempersiapkan staf UMS sebagai tenaga pengajar (instructor) yang bertauliah dan diiktiraf. 

“Pensijilan HCNA/HCIA ini berupaya meningkatkan kebolehpasaran serta prospek kerjaya para graduan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui hari ini semasa dalam rangka lawatan kerja selama tiga hari di Ibu Pejabat Huawei di Shenzhen China.

Menurut Prof Datuk Dr Kamarudin, pada ketika ini seramai  tujuh  staf akademik UMS telah mendapat pensijilan Huawei Certified ICT Instructor (HCAI) dan selanjutnya diiktiraf sebagai tenaga pengajar kursus Huawei. Manakala sehingga bulan Jun 2019 sudah terdapat tiga kumpulan pelajar UMS iaitu seramai 107 orang telah berjaya mendapat pensijilan sama ada dalam HCNA atau HCIA.

“Secara komersialnya kos keseluruhan untuk kursus dan pensijilan ini sebenarnya mencecah sehingga RM 15,000 seorang, namun buat masa ini ia percuma untuk pelajar UMS.

“Pada masa akan datang, kita merancang agar pensijilan ini akan dibuka kepada orang perseorangan pada kadar yuran yang berpatutan,” tambahnya lagi.

Mengulas lanjut, Prof.  Datuk Dr Kamarudin berkata, seiring dengan keperluan di era Industri 4.0, UMS perlu melaksanakan transformasi digital (digital transformation) kepada sebuah kampus pintar (Smart Campus) agar terus relevan kepada keperluan semasa dan jangkaan pemegang taruh. Sehubungan dengan itu katanya, pihak Huawei melalui kerjasama yang terjalin juga akan bertindak sebagai penasihat teknikal bagi merealiasikan matlamat tersebut.

“UMS berhasrat untuk menjadi sebuah Smart Campus yang terkenal di rantau ini serta sebagai antara universiti pertama yang mengguna pakai  teknologi terbaru, termasuklah 5G.

“Transformasi ini akan dipacu oleh beberapa pembolehubah (enablers), termasuklah ketersediaan dana, dan kewujudan infrastruktur dan teknologi ICT yang terkini.

“Dalam hal infrastruktur dan teknologi ICT, UMS memerlukan nasihat teknikal dari pelbagai pihak, termasuk pihak industri seperti Huawei,” jelasnya sambil merakamkan ucapan terima kasih kepada Huawei atas kerjasama dan sumbangan yang telah diberikan selama ini.

Untuk rekod, kerjasama UMS – Huawei secara rasminya bermula pada tahun 2017 melalui satu majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU). Lanjutan daripada itu, kerjasama UMS-Huawei diperkukuhkan lagi pada tahun ini dalam satu Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) di Shenzhen, China yang turut disaksikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Haji Apdal pada April  lalu.

 

 

RABU, 10 JULAI - Jawatankuasa Kebajikan Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) serta Persatuan Alumni FSSA memberi sumbangan mesin jahit dan pakaian kepada penduduk Kampung Pengkalan Mengkapon, Pitas  baru-baru ini.  

Projek penyerahan mesin jahit itu adalah salah satu inisiatif Alumni FSSA sebagai program khidmat masyarakat untuk memberikan peluang kepada penduduk menjana pendapatan melalui aktiviti menjahit pakaian. 

Dua set mesin jahit didermakan oleh Akademi Jahitan Kota Kinabalu (AJKK). 

Sumbangan disampaikan Dekan FSSA,  Prof. Dr Baba Musta dengan disaksikan  Timbalan Pengerusi Kelab Kebajikan FSSA, Dr Khalizan Sabullah; Penasihat Persatuan Alumni FSSA, Prof. Madya Dr. Darmesah Gabda dan Pengurus AJKK, Alicia Lenson.

Dalam pada itu, Alicia ketika ditemui berkata sumbangan mesin jahit itu merupakan sumbangan awal dan sekiranya ada keperluan dan permintaan, pihaknya boleh meluaskan lagi sumbangan kepada penduduk lain.

“Kami di AJKK juga boleh mengadakan sesi latihan dan bengkel kemahiran untuk memberi bimbingan kepada penduduk kampung untuk menjahit pakaian,” ujarnya.