KHAMIS, 15 NOVEMBER – Seramai 12 pelajar tahun akhir Program Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjayakan Projek Kelestarian “No More Cloudy Water” di kampung Langsat Kinomulok, Papar, baru-baru ini.

Projek di bawah bimbingan pensyarah kanan FKJ, Prof. Madya Dr. Nurmin Bolong dan Sr. Asmawan Mohd Sarman itu merupakan sebuah projek yang mendapat tajaan oleh Khind Starfish Foundation melalui Project for Happiness.

Menurut Ketua Projek, Ivy Patrick, sepanjang melaksanakan aktiviti menaiktaraf kemudahan paip graviti di kampung tersebut, beliau bersama 11 pelajar yang mengambil kursus Kejuruteraan Alam Sekitar mendapat sokongan yang tinggi daripada penduduk kampung yang diketuai oleh Ketua Paip Graviti Kampung, Francis Yopinsil.

“Penduduk kampung turut sama membanting tenaga dalam tempoh lapan minggu untuk menyelesaikan projek ini.

“Antara skop kerja yang dijalankan adalah menaiktaraf kawasan tadahan punca air yang dilengkapi dengan tangki mendapan berskala kecil serta memasang sistem penapisan air agar warga kampung dapat menikmati bekalan air yang lebih bersih,” katanya.

Dalam pada itu, wakil Khind Starfish Foundation, Michael Lim ketika berucap dalam satu Majlis Perasmian Menaik Taraf Kemudahan Paip Graviti di kampung itu berkata, kejayaan projek ini memberi sumbangan besar kepada penduduk kampung kerana adanya sumber air yang lebih bersih berbanding sebelumnya.

“Diharapkan melalui projek ini, pelajar memperoleh manfaat dari segi kerja praktikal, dan begitu juga kepada penduduk kampung yang terlibat sama,” katanya.

Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Madya Dr. Ismail Saad juga berharap agar pelaksanaan projek tersebut memberi pendedahan yang berguna kepada para pelajar terhadap pengalaman praktikal di tapak bina selain turut menekankan para pelajar untuk terus giat dalam aktiviti kelestarian seperti yang telah dilaksanakan di kampung berkenaan.

 

SELASA, 13 NOVEMBER - Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan Seminar Keusahawanan  baru-baru ini sebagai pendedahan awal terhadap dunia keusahawanan dalam kalangan mahasiswa.

Dibuka kepada siswa-siswi UMS, program yang diadakan di Mini Auditorium FPP UMS itu merupakan satu inisiatif bagi membantu para pelajar mempersiapkan diri dengan ilmu keusahawanan apabila tamat pengajian kelak.

Antara aktiviti utama yang diadakan adalah ceramah Usahawan Muda daripada Jubair Juhinin, 27 tahun, seorang Alumni UMS tahun 2013 dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Sains Kepujian (Akuakultur) dari Fakulti Sains dan Sumber Alam.

Dalam ceramahnya, Jubair menceritakan bagaimana cabaran-cabaran yang dilalui dalam dunia keusahawanan yang memerlukan kesabaran dan usaha gigih untuk mencapai kejayaan.

Beliau turut mengongsikan pengalaman dari awal penglibatan sehingga destinasi pelancongan Arnab Village yang diasaskannya di Ranau itu menjadi destinasi yang wajib dilawati setiap pengunjung di daerah berkenaan pada masa kini.

“Arnab Village kini suda menerima lebih daripada 60,000 orang pelawat sepanjang tiga tahun beroperasi dan menempatkan lebih 450 ekor arnab daripada pelbagai baka.

“Kini Arnab Village dalam proses mengembangkan empayar perniagaan dengan membina restoran, kedai binatang peliharaan dan studio kucing,” jelasnya.

Siswa-siswi yang hadir teruja dan mengharapkan agar program seumpama itu diteruskan lagi pada masa-masa akan datang.

Seorang pelajar yang ditemui, Melsya Yusop berkata, seminar itu membolehkan beliau melihat dunia keusahawanan dengan lebih luas.

“Program ini memberi manfaat yang besar sekali gus memberi suntikan semangat kepada kami selaku peserta, dan saya sendiri kini memikirkan bidang keusahawanan sebagai salah satu bidang yang boleh diceburi apabila tamat pengajian kelak,” katanya.

SELASA, 13 NOVEMBER - Universiti Malaysia Sabah (UMS) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) dan Institut Sains dan Teknologi Imus, Filipina dalam satu majlis yang berlangsung di UMS, kelmarin.

Pemeteraian MoU bersama ICRC antara lain bertujuan untuk membangunkan subjek Undang-undang Kemanusiaan Antarabangsa sebagai bidang pengajian penting di UMS.

Di peringkat universiti ini, kerjasama rapat antara ICRC dan program Hubungan Antarabangsa, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW) diadakan sejak lima tahun lalu dalam subjek tersebut dengan menggalakkan lebih ramai pelajar terlibat dalam bidang kerja kemanusiaan.

Pada majlis menandatangani MoU, UMS diwakili Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin dan  Pemangku Pendaftar, Aidah Noordin, manakala ICRC diwakili Ketua Delegasi Serantau, Biljana Milosovic dan Dominic Urban.

Sementara itu, MoU antara UMS dengan Institut Sains dan Teknologi Imus Filipina  pula akan merangkumi kerjasama dalam bidang pengajaran dan pembelajaran, pertukaran pensyarah dan kakitangan, program latihan dan penyeliaan, serta program-program penyelidikan termasuk bidang-bidang lain yang berkaitan.

Dalam upacara menandatangani dokumen MoU, Imus diwakili Ketua Pegawai Operasi, Arch. Encarnacion N. Raralio PhD.

Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) FKSW UMS, Dr. Marsitah Mohd. Radzi, Ketua Unit Penyelidikan Etnografi dan Pembangunan UMS, Prof. Dr. Rosazman Hussin dan Ketua Program Hubungan Antarabangsa FKSW, Diana Peters.

 

SELASA, 06 NOVEMBER - Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Universiti Malaysia Sabah menganjurkan Kejohanan Golf Amal Konvo 2018 di Nexus Golf Resort, Karambunai baru-baru ini.

Pengerusi jawatan kuasa penganjur, Prof. Madya Dr. Raman Noordin berkata, kejohanan tersebut berjaya menarik penyertaan sebanyak 14 kapal (flight) melibatkan 56 peserta dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta  termasuk Universiti Teknologi Mara (UiTM), orang perseorangan dan kakitangan UMS sendiri.

“Kejohanan ini antara lain bertujuan untuk membantu mengumpul dana bagi menampung sebahagian dari kos Majlis Konvokesyen UMS ke-20, 2018 selain sebagai usaha untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara UMS dengan masyarakat luar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sebanyak dua kategori terbuka dipertandingkan melibatkan kategori Nett menerusi format Stroke Play Sistem 36 dan kategori Gross.

“Selain itu pihak penganjur turut menyediakan hadiah-hadiah novelti berupa pukulan terjauh, pukulan terdekat dengan garisan, Bull ‘s Eye serta pelbagai hadiah cabutan bertuah yang menarik,” ujar Dr. Raman yang juga Dekan FPEP.

Pada kejohanan tersebut menyaksikan Abu Bakar Nasaruddin dinobatkan sebagai pemenang kategori Gross, manakala Noor Masrandi Abdul berjaya meraih kejuaraan bagi kategori Nett.

Penyampaian hadiah kepada para pemenang dan penyampaian hadiah cabutan bertuah turut disempurnakan Dr. Raman mewakili Naib Canselor UMS, Prof. Datuk. Dr. D Kamarudin D Mudin.

 

 

ISNIN, 05 NOVEMBER - Seramai 45 pelajar dan 25 kakitangan Universiti Malaysia Sabah (UMS) memulakan ekspedisi Rentas Sempadan Borneo 2018 (RSB’18) hari ini.

Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin di Dataran Dewan Canselor UMS.

Menurut beliau, program RSB’18 merupakan salah satu peluang untuk para pelajar yang terlibat mendekati dan mempelajari kepelbagaian sosiobudaya dalam masyarakat di kepulauan Borneo.

“Mempelajari dan memahami kepelbagaian sosiobudaya ini sangat penting kepada mahasiswa kerana anda adalah bakal pemimpin masa depan negara.

“Anda akan menjadi pemimpin dalam sebuah organisasi yang akan mempunyai budaya kerja (workplace culture) dengan kepelbagaian latar belakang pekerja.

“Bagi menjayakan sesebuah organisasi, maka anda perlu memahami siapa yang dipimpin,” ujarnya ketika merasmikan pelancaran tersebut.

Datuk Dr. D Kamarudin turut menyarankan agar para peserta dapat mengambil peluang daripada ekspedisi ini untuk mendekati ibu bapa bakal pelajar UMS, anak-anak dan seluruh komuniti yang bakal mereka lawati.

“Saya berpesan agar saudara dan saudari sekalian menjaga tingkah laku sepanjang menjayakan program ini serta dapat menjalin hubungan yang mesra dengan masyarakat negeri Sarawak,” tambahnya.

Terdahulu, Pengerusi RSB’18 Profesor Madya Dr. Saafie Salleh menyatakan tujuan RSB’18 dijalankan bertujuan untuk menaikkan nama UMS khususnya di kepulauan Borneo melalui jaringan hubungan dengan pelbagai agensi dan masyarakat.

Menurutnya, hasil perbincangan bersama pihak Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu mendapat penerimaan yang baik daripada kedua-dua universiti tersebut.

“Kedua-dua universiti itu juga telah membantu mengenal pasti kampung dan rumah panjang yang akan terlibat.

“Bersama pasukan ini ialah tiga doktor perubatan dan seorang jururawat, selain pengawal keselamatan sebagai pengiring. Manakala pasukan pacuan empat roda akan turut serta untuk membantu dari sudut logistik,” katanya.

Pelbagai acara telah diatur untuk kedua-dua lokasi di Kuching dan Bintulu, antaranya ialah pameran, gotong-royong, ceramah motivasi, perkongsian ilmu pertanian, karikatur, khat, persembahan kebudayaan serta sukaneka.

Turut hadir pada majlis pelancaran tersebut, Pendaftar UMS, No’man Datuk Haji Ahmad.