RABU, 28 NOVEMBER - Semangat juang tanpa mengenal erti putus asa menjadi kunci kejayaan Muhammad Izzudin Rumaling, graduan yang dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelajaran DiRaja pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke-20.

Menurutnya, sesuatu kejayaan tidak akan datang bergolek semudah yang disangka dan kadang kala ia memerlukan pengorbanan.

“Tidak kira berkorban dari segi masa, wang dan keluarga, banyak pengorbanan yang perlu dilalui bagi memastikan kejayaan menjadi milik kita,” katanya ketika ditemui media selepas menerima anugerah berkenaan.

Izzudin berkata, bergelar sebagai mahasiswa mempunyai banyak cabaran yang perlu dilalui.

“Jangan jadikan cabaran ini sebagai penghalang, biarkan ia sebagai pembakar semangat untuk terus berdaya saing dan kekal melangkah ke hadapan,” katanya yang juga graduan sarjana muda Fizik dengan Elektronik dari Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA).

Beliau juga menyuarakan hasrat untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

“Saya ingin membawa perubahan dalam kehidupan keluarga saya. Perubahan yang membawa kebaikan dan kehidupan yang lebih selesa. Itulah impian saya,” ujar Izzudin.

Anugerah Pelajaran DiRaja adalah antara anugerah yang diberikan UMS bagi menghargai kegigihan, ketekunan dan kecekalan pelajar yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum.

 

Sumber: Nurica Nobily

 

 

 

 

RABU, 28 NOVEMBER - Masalah penglihatan tiga graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) tidak menjadi penghalang mereka untuk meraih impian.

Nur Shahieda Eddie, Ally Racheal Yunus dan Amirul Nabil Jamaludin, masing-masing berjaya menamatkan pengajian ijazah sarjana muda sekali gus diraikan pada Majlis Konvokeysen UMS ke-20.

Bagi Nur Shahieda, masalah yang dihadapinya bermula dari peringkat awal usia dan semakin merosot ketika berada di tingkatan tiga.

“Saya terpaksa menggunakan kanta pembesar pada awalnya tetapi sejak masuk UMS, saya menggunakan kanta pembesar elektronik sumbangan daripada pihak kebajikan universiti.

“Saya menyiapkan tugasan yang diberikan seperti pelajar lain, tetapi akan meminta bantuan daripada rakan untuk memeriksa kesilapan ejaan dan format tugasan,” katanya yang mengambil jurusan Sarjana Muda Ekonomi (Ekonomi Perancangan dan Pembangunan).

Menjadikan pakar ekonomi cacat penglihatan iaitu Allahyarham Prof. Datuk Dr Ismail Salleh sebagai sumber inspirasi, Nur Shahieda turut memberi pesanan kepada golongan kurang bernasib baik agar tidak berputus asa dalam hidup.

“Selagi ada peluang untuk belajar, teruskan. Sebab kejayaan kita hanya dari kita, dan jangan jadikan kekurangan yang ada sebagai alasan untuk tidak berjaya,” katanya.

Kisah yang sama turut dikongsikan Ally Racheal dari Kampung Lodung, Kudat yang menceritakan bagaimana deria penglihatannya lenyap ketika berusia 13 tahun.

“Sewaktu lahir doktor sahkan saya sebagai anak normal, tetapi bermula di bangku sekolah iaitu semasa darjah satu, penglihatan semakin kabur dan kemudiannya tidak dapat melihat tulisan di papan tulis.

“Doktor pakar ada memberitahu bahawa semakin saya meningkat usia penglihatan saya semakin teruk, dan ketika umur saya 13 tahun penglihatan saya pun lenyap,” katanya.

Graduan Sarjana Muda Sains Sosial dengan Kepujian (Sejarah) itu turut berkongsi tips membangkitkan semula semangat dalam diri.

“Sebenarnya saya fikirkan kesusahan keluarga dan kedua orang tua saya, masa depan saya, dan berpegang kepada kepercayaan agama untuk timbulkan balik semangat dalam diri yang pada suatu ketika pernah merasa sangat berputus asa,” jelasnya lagi yang juga anak sulung daripada empat adik beradik.

Dalam pada itu, Amirul, graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial menyatakan bahawa penyakit Glaukoma telah menyebabkan beliau mempunyai penglihatan terhad sejak tahun 2010.

Beliau yang berasal dari Pontian Johor memaklumkan masalah yang dihadapinya itu juga menyebabkan dia memerlukan masa agak lama untuk menghabiskan sesebuah buku bacaan.

“Saya kemudiannya mulai menyusun masa belajar dengan teliti iaitu bermula selepas solat maghrib sehingga jam 10.00 malam dengan mendapatkan pertolongan rakan-rakan bagi bahan-bahan ulangkaji.

“Walau bagaimanapun, saya tidak menjadikan kekurangan ini sebagai penghalang diri saya untuk bergiat aktif dalam sebarang aktiviti. Saya merupakan Presiden untuk Mahasiswa Orang Kurang Upaya UMS pada tahun ke-3 pengajian dan banyak melakukan aktiviti sukan bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMS,” tambah Amirul.

Ketika ditanya mengenai perancangan masa depan, anak bongsu kepada lima adik-beradik itu mahu mengikut jejak ayahnya menceburi bidang keusahawanan pertanian.

“Saya mahu membantu ayah mengembangkan projek-projek penternakan dan penanaman, serta dalam masa yang sama akan menyambung pelajaran sekiranya mempunyai peluang,” jelas penerima Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial itu lagi.

Majlis Konvokesyen UMS yang berlangsung pada 24-26 November itu menyaksikan seramai 5,003 graduan menerima ijazah terdiri daripada 55 penerima ijazah doktor falsafah, 603 ijazah sarjana, 4,276 ijazah sarjana muda dan 69 graduan diploma.

 

Sumber: Maxwell Atan Hillary Saing dan Al Hidayah Awang

 

 

SELASA, 27 NOVEMBER - Graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Datuk Cosmas Julius Abah @ Eddol, seorang warga emas berumur 71 tahun menjadikan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr. Mahathir Mohamad sumber inspirasi untuk terus berjaya. 

“Tun Dr. Mahathir Mohamad merupakan salah satu contoh terbaik bagi para pelajar kerana lanjutan umur bukanlah penghalang untuk terus berjaya," katanya pada sidang media Konvokesyen UMS kali ke-20 di Dewan Canselor, pada Sabtu.. 

Menurutnya lagi, selain menjadikan Tun Mahathir sebagai teladan, beliau menyifatkan bahawa usahanya melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Sastera (Linguistik) adalah suatu ilham daripada Tuhan.

"Sepanjang dua tahun setengah melakukan kajian penyelidikan dalam bidang linguistik akhirnya dapat menghasilkan satu kamus penuh yang bertajuk “Kadazan Dictionary” telah diterbitkan pada 13 Ogos 2015.

"Jika ingin mencapai kejayaan kita jangan lupa untuk sentiasa berkerja keras dan berdoa kepada Tuhan,"tambahnya.

Datuk Cosmas yang mempunyai tiga anak dan empat cucu berkata,  dia juga merancang untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah Doktor Falsafah (PhD) kelak.

“Jika Tuhan izinkan sudah tentu saya akan menyambung pengajian pada peringkat seterusnya," jelasnya. 

Beliau merupakan antara 5,003 graduan yang menerima penganugerah skrol ijazah tamat pengajian pada Majlis Konvokesyen UMS kali ini.

 

Sumber: Al Hidayah Awang 

ISNIN, 26 NOVEMBER - Seramai 89 graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) di bawah Pelaksanaan Mekanisme Mod Kemasukan Baharu bagi isi rumah 40% terendah (B40 ) menamatkan pengajian dan menerima ijazah sarjana muda dalam Majlis Konvokeysen UMS ke-20 yang berakhir hari ini di Dewan Canselor UMS.

Menurut Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin, kumpulan B40 Khas yang diraikan pada Majlis Konvokesyen pada tahun ini merupakan graduan kumpulan ketiga sejak inisiatif itu yang dikenali sebagai Merobah Idea Menjadi Realiti (MENITI) diperkenalkan pada tahun 2013.

“Selain sebagai sebuah pusat sebaran ilmu pengajian tinggi, sesungguhnya UMS juga sentiasa prihatin dalam mengutamakan kebajikan dan peluang sama rata untuk warga Sabah. Para pelajar ini yang ditawarkan menerusi program B40 Khas kesemuanya berasal daripada keluarga yang berpendapatan rendah dan tinggal di pedalaman negeri Sabah.

“Tujuan utama kita adalah sebagai usaha bagi mengelakkan mereka tercicir daripada arus pendidikan negara di samping  membantu memajukan diri dan meningkatkan taraf hidup sekali gus mengubah nasib keluarga masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan media.

Prof. Datuk Dr. D Kamarudin berkata, rekod graduan B40 Khas ini agak memberangsangkan walaupun ramai di antara mereka pada awalnya tidak menerima sebarang tawaran dari mana-mana universiti.

“Melalui inisiatif ini, seramai 67 orang kumpulan pertama ambilan B40 Khas berjaya menamatkan pengajian pada tahun 2016. Pada tahun lalu kita juga menyaksikan seorang graduan B40 Khas, Kelly Jauding menamatkan pengajian dengan Ijazah Kelas Pertama sekali gus menerima pengiktirafan Hadiah Zainal Abidin Bador.  

“Manakala tahun ini, seramai 21 graduan B40 Khas juga turut menunjukkan pencapaian memberangsangkan dengan meraih keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.0 ke atas,” tambahnya.

Majlis Konvokesyen UMS ke-20  menyaksikan penganugerahan ijazah kepada 5,003 graduan iaitu 55 ijazah Doktor Falsafah, 603 ijazah Sarjana, 4,276 ijazah Sarjana Muda dan 69 Diploma.
 

ISNIN, 26 NOVEMBER – Para graduan merupakan cerminan masa depan negara yang akan mewarisi tampuk kepimpinan yang sedia ada.

Yang Dipertua Negeri Sabah merangkap Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Tun (Dr.) Haji Juhar Datuk Haji Mahiruddin berkata, untuk itu ilmu sangat penting untuk dituntut tanpa mengira kaum, tempat dan waktu.

"Bidalan ada mengatakan bahawa “tuntutlah ilmu sehingga ke liang lahad”, diungkap sebagai satu peringatan akan kepentingan ilmu itu sendiri.

“Sesungguhnya jadilah graduan yang mampu mengangkat martabat diri, keluarga, bangsa dan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada semasa penganugerahan sidang pertama Majlis Konvokesyen UMS ke-20, di Dewan Canselor UMS.

Tun Juhar berkata, Malaysia masih mempunyai banyak ruang dan peluang untuk terus memajukan diri.

“Kami, generasi lama akan pergi, tinggal anda menjadi warisan, penerus kegemilangan negeri dan negara tercinta.

"Buanglah sifat malas yang akan menjadikan kita lemah, daif dan gagal menyumbang tenaga untuk keluarga, apatah lagi untuk negeri dan negara," jelasnya lagi.

Pada sidang tersebut Tun Juhar menyampaikan skrol ijazah kepada 793 graduan pascasiswazah dan prasiswazah.

 

Sumber: Emmylia Marry Welly Sintum