RABU, 21 MAC - Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menandatangani Surat Niat (LoI) bersama Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah,  kelmarin.

LoI tersebut merupakan usaha untuk menjalinkan kerjasama yang lebih mapan berkenaan kerja-kerja sosial diantara FPP UMS dan JPKA Sabah.

UMS diwakili oleh Dekan FPP, Profesor Dr. Mohd Dahlan A. Malek, manakala JPKA diwakili oleh Pengarah, Mohd Noor Wahab.

Majlis tersebut merupakan salah satu pengisian sempena sambutan Hari Kerja Sosial Sedunia yang diraikan pada 20 Mac setiap tahun selain Bengkel Bahasa Isyarat, Program Derma Darah dan pameran daripada agensi dan pertubuhan bukan kerajaan.

Ketika merasmikan penutupan sambutan tersebut, Profesor Dr. Mohd Dahlan menyeru agar pelajar UMS mengambil peluang mengikuti program kerja sosial dengan penuh semangat dan mempamerkan tingkah laku yang baik dan profesional.

“Program seperti ini hendaklah diambil berat oleh semua pihak bagi mewujudkan suasana yang lebih kondusif dalam kalangan mahasiswa UMS sepanjang tempoh pengajian di peringkat universiti.

“Peranan yang dimainkan oleh mahasiswa ini juga bukan sahaja dapat meningkatkan kemahiran insaniah, tetapi juga menjana kecemerlangan universiti,” katanya.

Pada majlis tersebut juga turut diserahkan borang program Volunteer to Institution (V2i) daripada pelajar program kerja sosial FPP UMS kepada Pengarah JPKA Sabah.

Program V2i merupakan program kesukarelawan  yang dirangka oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) khusus untuk pelajar universiti dan institut latihan bagi meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

Antara khidmat yang ditawarkan adalah seperti Khidmat Sokongan Sosial, Bimbingan dan Psikologi; Khidmat Keceriaan; Khidmat Penjagaan Kesihatan; Khidmat Kerohanian, Sukan, Kebudayaan dan Kesenian; Khidmat Pendayaupayaan Kapasiti dan Pembangunan Insaniah serta Khidmat Sokongan Teknikal.

SELASA, 20 MAC – Persidangan “5th Regional Conference on Campus Sustainability” 2018 (5RCCS2018) yang menghimpunkan ahli-ahli akademik serantau mampu mengetengahkan lagi pelbagai idea dan kajian yang menjurus kepada usaha kelestarian serantau.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, usaha kelestarian sememangnya merupakan satu komitmen kepada masyarakat dan alam sekitar.

“Sangat penting untuk kita menggunakan dan menguruskan kepelbagaian sumber alam dengan penekanan terhadap aspek kelestarian.

“Usaha ini tidak mungkin berhasil tanpa penglibatan khusus oleh pihak kerajaan dari segi aspek penggubalan peraturan dan undang-undang serta pembangungan infrastruktur dan modal insan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan perasmian persidangan tersebut yang disampaikan Dekan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin di Bilik Seminar Institut Penyelidikan Bioteknologi, pagi tadi.

Beliau menambah, UMS juga turut terlibat secara langsung dalam cabaran terhadap kelestarian melalui inisiatif EcoCampus dan peningkatan terhadap kelestarian kampus.

“UMS juga konsisten dalam matlamatnya untuk menjadikan para pelajar, komuniti setempat dan pemegang taruh sebagai agen kepada pengurangan aktiviti manusia terhadap alam sekitar,” ujar beliau.

Persidangan selama dua hari itu disertai seramai 120 peserta dari 32 universiti, kolej dan institusi dari beberapa negara luar antaranya dari Filipina, Jepun, Thailand dan Indonesia dengan 58 kertas kerja dan 10 poster akademik dibentangkan.

 

ISNIN, 19 MAC -  Mohamad Farizal Mohamad Shawal, alumni Universiti Malaysia Sabah (UMS) tahun 2003 hingga 2006 dari Fakulti Psikologi dan Pendidikan, tidak menyangka penglibatannya dalam bidang keusahawanan pertanian membolehkan beliau bergelar usahawan berjaya melalui perniagaan fertigasi.

Mula menjalankan perniagaan itu pada tahun 2014, beliau kini mengusahakan lima lot rumah hujan berkeluasan 40x120 kaki seunit di lot tanah Jabatan Pertanian Serdang bagi tanaman ‘Golden Melon’ dan ‘Rock Melon’. 

Ketika menerima lawatan dari Pusat Alumni UMS baru-baru ini, beliau turut memaklumkan bahawa perniagaannya itu juga telah membuka cawangan di lokasi baharu di Teluk Panglima Garang Selangor bagi tanaman cili dan timun mini.

“Menjalankan perniagaan fertigasi pertanian penuh dengan cabaran terutama di peringkat awal tetapi dengan adanya tekad, ketekunan dan disiplin yang tinggi pasti akan membuahkan kejayaan,” kata Mohamad Farisal.

Pemuda berasal dari Kuala Lumpur itu berkata, perniagaan tersebut memberikan pulangan yang baik apabila diurus dengan sempurna sambil mengongsikan pendapatannya yang kini mencecah hingga RM120,000 setahun.

Justeru, beliau mengajak orang ramai khususnya para alumni UMS untuk bersama-sama melibatkan diri dalam perniagaan fertigasi.

“Saya bersedia memberikan khidmat nasihat dan bimbingan kepada sesiapa yang mahu mempelajari perniagaan ini,” ujarnya.

Mereka yang berminat boleh menghubungi Pusat Alumni UMS di talian 017-6809371.

 

 

ISNIN, 19 MAC – Hampir 250 peserta menyertai Konvensyen Fiqh Borneo 5.0 yang buat julung kalinya diadakan di Dewan Resital, Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini.

Konvensyen Fiqh Borneo 5.0 merupakan kemuncak kepada Program Minggu Penghayatan Islam (MPI) bertemakan Islam is The Way of Life yang telah berlangsung selama seminggu.

Majlis perasmian Konvesyen anjuran Kelab Rakan Masjid (KRM) UMS itu telah disempurnakan Pegawai Hal Ehwal Islam, Pusat Islam UMS, Ustaz Mohammad Fazri Abdul Hamid.

Terdahulu dalam ucapannya beliau berkata konvensyen itu antara lain bertujuan untuk mewujudkan persekitaran Islam di dalam kampus disamping memberi peluang kepada siswa-siswi untuk menonjolkan bakat mereka dalam pelbagai pertandingan seperti pertandingan pidato, seni khat, sukan bola jaring, futsal dan pertandingan menulis puisi.         

“Penganjuran program seumpama ini mampu untuk membantu meningkatkan ilmu pengetahuan para peserta serta membentuk mahasiswa seimbang dari segi intelek, sahsiah dan kerohanian,” katanya.

Beliau turut merakamkan setinggi tahniah kepada jawatankuasa pelaksana dan semua yang terlibat dalam memastikan Konvensyen Fiqh Borneo 5.0 berlangsung dengan jayanya.

Antara panel penceramah pada konvensyen tersebut adalah Mudir Darul Hadis Sabah, Ustaz Mat Razali Mat Lazin dan Pensyarah  Kanan Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, UMS, Dr. Aliakhbar Gulasan.

Hadir sama pada majlis itu,  Pengarah Program, Muhammad Kamran Baharon dan Presiden Kelab Rakan Masjid UMS, Safwan Adam.

 

 

ISNIN, 19 MAC - Program FreeMarket@ UMS anjuran Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Pusat Islam UMS (PIUMS) mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada pengunjung baru-baru ini.

Menurut jurucakap PIUMS, Ainah Ramlan Angusa, dianggarkan lebih 400 pengunjung hadir pada program yang diadakan bertempat di ruang letak kereta Fakulti Kejuruteraan (FKJ).

“Terdapat lebih 20 gerai sumbangan telah dibuka melibatkan pelbagai barangan terpakai seperti pakaian wanita dan lelaki, barangan dapur, barangan elektrik selain makanan yang diberikan secara percuma kepada para pengunjung yang terdiri daripada pelajar dan kakitangan UMS serta masyarakat sekitar.

“Selain dari memberi sumbangan kepada yang memerlukan, program ini bertujuan mengajak lebih ramai orang ramai menyertai program seumpama ini,” tambahnya.

Bertemakan ‘Senyum Memberi, Sopan Menerima’, Program FreeMarket@UMS itu bakal menjadi program tahunan FKI dan PIUMS.