Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menubuhkan Pusat Penyelidikan Ekonomi Biru dan Keselamatan Maritim (PPEBKM) sebagai usaha untuk memperkukuhkan penyelidikan berkaitan ekonomi biru dan keselamatan maritim khususnya di Sabah.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, penubuhan tersebut adalah selari dengan agenda kerajaan negeri di bawah inisiatif Sabah Maju Jaya.

“Seperti yang kita tahu, ekonomi biru adalah satu agenda besar kerajaan negeri di bawah SMJ, dengan peranan universiti yang mempunyai pakar dalam hal ekonomi biru dan maritim menjadikan ianya sesuai untuk penubuhan pusat ini.

“Banyak penyelidikan boleh dilakukan berkaitan ekonomi biru dan keselamatan boleh diterbitkan dalam jurnal bertaraf dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan bangunan pejabat PPEBKM di Pantai Pusat Pembangunan Luar (ODEC), UMS.

Tambah Kasim, Sabah mempunyai khazanah luas yang perlu diterokai dan sudah pastinya menjadi sumber ekonomi yang besar untuk negeri ini.

“Dari segi keselamatan maritim, kita satu-satunya yang dikelilingi tiga laut iaitu Laut China Selatan, Laut Sulu dan di bahagian selatan Laut Celebes.

“Ketiga-tiga lautan ini terdedah dengan pelbagai ancaman termasuk penyeludupan, penculikan, peras ugut dan sebagainya,” ujar Kasim.

Kasim turut berkata, pengumpulan pelbagai kajian dan data penyelidikan akan membawa kepada terbentuknya dasar.

Mengulas lanjut, Kasim juga berkata, peranan pusat ini adalah untuk memperkaya sumber penyelidikan dan khazanah ilmu untuk generasi akan datang, selain turut menjadi pusat makmal dan penyelidikan yang akan dijalankan secara menyeluruh di lautan yang mengelilingi Sabah.

Pada majlis tersebut, Kasim turut menyempurnakan pelancaran Jurnal dan Pangkalan Data PPEBKM.

Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi (COO) Sekretariat Sabah Maju Jaya, Ramlee Kariah; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly serta Pengarah PPEBKM UMS, Prof. Dr. Ismail Ali.

 

 

 
 
 

 

Seramai 61 pelajar tahun kedua dari program Kejuruteraan Awam Fakulti Kejuruteraan (FKJ), Universiti Malaysia Sabah (UMS), mendapat peluang unik belajar di tapak sebenar melalui program "On-Site Learning" yang diadakan di Kampung Padang Tengah, Petagas.

Pensyarah FKJ, Sr. Ts. Dr. Asmawan Mohd Sarman, menjelaskan program ini bertujuan mendedahkan pelajar kepada teknologi pembinaan moden, khususnya ‘Pre-cast Construction’ menggunakan Teknologi DURA.

“Di samping itu, dengan pendedahan awal ini, pelajar dapat mengetahui bagaimana kaedah pembinaan yang mereka pelajari dalam kelas diterapkan dan dipraktikkan dalam situasi sebenar di tapak pembinaan.

“Mereka juga akan mendapat gambaran sebenar mengenai proses pengurusan kontrak sebenar bagi projek pembinaan yang sedang dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan.

Program ini dijalankan hasil kerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Kota Kinabalu dan Azam Lumut Sdn Bhd, serta turut dihadiri oleh Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir. Haji Shahelmey Yahya, bersama jurutera bahagian, Ts. Zulkefli Salip Arjun yang juga merupakan alumni UMS.

Sepanjang program tersebut, para peserta mendapat bimbingan di tapak oleh Ts. Dr. Elis Mardzianah Datuk Hj Mazlan dan James Thomas, jurutera utama projek, yang memberikan penerangan mendalam mengenai proses pembinaan jambatan dengan Teknologi DURA.

Pengalaman berharga ini memberi peluang kepada para pelajar untuk meningkatkan pengetahuan praktikal mereka dalam bidang pembinaan, selain menyemarakkan semangat mereka untuk meneroka ilmu yang diperoleh di bilik kuliah dalam situasi sebenar.

 

 

 

Penganjuran Program Skolar Next Level: Educators with Canva and ChatGPT (SNL) oleh Skolar Malaysia dengan kerjasama Pusat e-Pembelajaran (PEP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Sawit Kinabalu Group dilihat mampu memberikan pendedahan mengenai penggunaan teknologi Generative AI dan Canva dalam pengajaran dan pembelajaran.

Pengarah PEP, UMS Prof. Dr. Fong Soon Fook berkata usaha dan sinergi antara IPTA dan pihak sekolah amat penting dalam menyediakan pelajar dan murid yang peka terhadap penggunaan teknologi pembelajaran terkini.

“Skolar Next Level ialah inisiatif yang dilaksanakan di beberapa negeri di Malaysia bagi menyebar luas akan pentingnya kemahiran digital dalam dunia pendidikan moden.

“Selaras dengan dasar pendidikan digital teras kedua iaitu Pendidik Kompeten Digital bagi merapatkan lagi jurang digital dan juga SDG keempat iaitu kualiti pendidikan bagi memperkasakan para pendidik,” katanya dalam satu kenyataan sempena penganjuran program tersebut.

Menurut Fong, melalui program SNL para pendidik dapat mempraktikkan teknologi seperti ChatGPT dalam penyediaan bahan pengajaran serta Canva dalam menyediakan idea dalam bentuk visual yang lebih menarik dan mudah difahami oleh pelajar.

“Ini bukan sahaja meningkatkan kreativiti guru sebagai pendidik, tetapi juga membantu mereka lebih efisien dalam menyampaikan maklumat dengan lebih jelas dan efektif,” ujar Fong.

Mengulas lanjut, beliau berharap program Skolar Next Level dapat membuka peluang baharu untuk warga pendidik di Sabah khususnya dalam mempercepatkan pembelajaran teknologi.

“Melalui program ini, para pendidik bukan sahaja dapat mempelajari kemahiran yang relevan untuk era digital, tetapi juga dapat membangunkan minda yang inovatif dan kreatif bagi mengaplikasikan kaedah pembelajaran yang interaktif di dalam kelas.

Program SNL menghimpunkan seramai 200 orang pendidik daripada pensyarah, guru, pelajar sepanjang hayat (life-long learners) dan jurulatih daripada seluruh pelusuk negeri Sabah.

Program ini menyaksikan kehadiran Dr. Muhammad Tazli Azizan, pengasas bersama Skolar Malaysia sekali gus menjadi jurulatih utama program dan merupakan Canva Verified Expert yang kedua serta Brandon Liau, anak watan Sabah, yang merupakan Canva Verified Expert pertama di Malaysia.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC) memperkukuhkan komitmen dalam penyelidikan dan pengurusan bencana apabila terlibat dalam Persidangan Asia Pacific Ministerial Conference on Disaster Risk Reduction (APMCDRR) 2024 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Manila, Filipina.

Persidangan anjuran United Nations Office for Disaster Risk Reduction (UNDRR) dengan kerjasama Kerajaan Filipina itu disertai Pengarah NDRC UMS, Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn M. Payus sebagai delegasi rasmi Malaysia di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Carolyn, penglibatan NDRC dalam persidangan ini amat penting bagi memindahkan pengetahuan dan kemahiran pengurusan bencana di peringkat Asia Pasifik serta mengetengahkan penyelidikan dan kerjasama antarabangsa yang dijalankan oleh UMS.

“Penyertaan dalam APMCDRR 2024 memperkukuhkan hubungan antara NDRC, UMS dan NADMA, di samping meningkatkan kerjasama penyelidikan rentas negara dalam pengurusan risiko bencana.

“Penglibatan ini juga membantu mengemas kini kerjasama sektoral pada peringkat antarabangsa,” jelas Carolyn.

Beliau turut menekankan bahawa persidangan empat hari ini memberi peluang kepada NDRC untuk berkongsi pengalaman serta membincangkan strategi pengurusan bencana dengan pihak lain, terutamanya yang berkaitan dengan isu perubahan iklim.

“Sesi plenari, sesi kerja dan acara tumpuan turut membolehkan peserta bertukar idea serta melihat pendekatan pengurangan risiko bencana (DRR) inovatif yang diamalkan oleh negara-negara lain.

“Salah satu inisiatif Malaysia yang diketengahkan dalam persidangan ialah pelaksanaan Community Based Disaster Risk Management (CBDRM) oleh komuniti di Mesilau, Kundasang, yang menjadi model pengurusan risiko bencana berasaskan komuniti di negara ini,” ujar beliau.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah NADMA, Datuk Khairul Shahril Idrus; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Dato’ Ismail Mohd Zawawi; serta Pegawai Penyelidik NDRC UMS, Eldawaty Madran.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China sebagai tanda persahabatan, terutama dalam bidang pendidikan.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, UMS sendiri telah mencapai kejayaan yang ketara sejak tiga dekad lalu.

"Komitmen terhadap kecemerlangan akademik terbukti dalam rangkaian program kami yang pelbagai, yang memenuhi keperluan lebih 22,000 pelajar dari pelbagai latar belakang.

“Perkongsian kami dengan institusi tempatan dan antarabangsa telah memudahkan pelbagai usaha penyelidikan, menyumbangkan pandangan berharga kepada kedua-dua ahli akademik dan industri,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-30 UMS dan Sambutan 50 Tahun Hubungan Diplomatik Antara Malaysia dan China di Dewan Resital, UMS.

Beliau menambah, UMS telah menerima pakai dasar pengantarabangsaan yang telah meningkatkan kedudukan global universiti.

“Dasar ini bukan sahaja menggalakkan kerjasama rentas sempadan dan pertukaran pelajar, tetapi juga menarik fakulti dan penyelidik antarabangsa ke kampus kami.

“Melalui perkongsian dengan institusi akademik di seluruh dunia, termasuk China, kami telah mengukuhkan program dalam bidang pendidikan, penyelidikan, dan pertukaran budaya,” kata Kasim.

Beliau turut menjelaskan bahawa UMS telah memantapkan dirinya sebagai hab penyelidikan termaju, terutama dalam bidang seperti sains marin, biodiversiti, dan pembangunan mampan.

“Kerjasama ini bukan sahaja memperkaya komuniti akademik, tetapi juga telah menyumbang secara signifikan kepada landskap pengetahuan dan inovasi yang lebih luas.

“Perkongsian ini telah memainkan peranan penting dalam mengukuhkan hubungan antara universiti dan komuniti Cina, sama ada di dalam atau di luar negara.

“Dari segi budaya, pertukaran yang dijalankan telah memupuk pemahaman dan penghargaan yang lebih mendalam terhadap kekayaan warisan yang dimiliki oleh Malaysia dan China.

“Acara, pertukaran pelajar dan inisiatif bersama telah membuka pintu untuk dialog dan persahabatan, mewujudkan perkongsian pengalaman yang memperkayakan kampus kita,” tambah beliau.

Ujar Kasim, tema sambutan tersebut iaitu "Perpaduan dalam Sambutan: 30 Tahun Kecemerlangan, 50 Tahun Persahabatan" menyerlahkan lagi hubungan yang berakar umbi antara kedua-dua negara, memupuk persefahaman dan kerjasama bersama.

Pada majlis tersebut, lebih 500 hadirin menyaksikan persembahan nyanyian, permainan alat muzik tradisional, orkestra Cina, persembahan muzikal dan lukisan, serta acara mendeklamasi sajak yang menggabungkan elemen kebudayaan Malaysia dan China.

Hadir sama pada majlis tersebut Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu, Dr. Huang Shifang; Dekan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Prof. Madya Dr. Lai Yew Mengl; Dekan Akademi Seni dan Teknologi Kreatif, Prof. Madya Dr. Zairul Anwar Md. Dawam; Pengarah Pusat Pengantarabangsaan dan Penglibatan Global, Prof. Madya Dr. Wardatul Akmam Din; dan Pengarah Confucius Institute, Dr. Chiew Tung Moi.