- Jumlah paparan: 57
GAH-UMS Anjur Pameran Khas Karya Seni Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah
Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Galeri Azman Hashim (GAH) UMS mengadakan Pameran Khas Karya Seni Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah bermula 18 November sehingga 12 Disember ini di ruang Kalimaran, galeri tersebut.
Menurut Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, pameran khas tersebut adalah salah satu daripada pelbagai aktiviti dan program dirancang serta dilaksanakan oleh Jabatan, Akademi, Fakulti, Pusat, Institut dan Bahagian dalam UMS bagi sama-sama memeriah dan mewarnai kalendar aktiviti universiti sempena Sambutan Ulang Tahun ke-30 UMS.
“Pameran khas hasil karya Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Haji Juhar Datuk Haji Mahiruddin mempersembahkan sebanyak 27 buah karya catan landskap dan alam semula jadi seni Tun Juhar yang bermain dengan bancuhan warna untuk menyampaikan rasa kebesaran alam ciptaan tuhan.
“Turut dipamerkan adalah gambar-gambar Yang di-Pertua Negeri Sabah yang pertama hingga kini.
“Melalui pameran ini kita dapat melihat kecintaan dan minat Tuan Yang Terutama Tun yang tidak berbelah bahagi terhadap perkembangan seni dan budaya di negeri ini,” katanya dalam ucapan aluan sempena majlis perasmian pameran khas tersebut.
Perasmian pameran tersebut disempurnakan oleh Tun Juhar yang turut hadir bersama isteri, Toh Puan Datuk Seri Panglima (Dr) Hajah Norlidah Tan Sri Datuk R.M. Jasni.
Kasim menambah, pameran tersebut turut memberi satu pandangan tentang bagaimana seni dapat menjadi medium untuk menyampaikan mesej yang mendalam, memperkukuhkan hubungan antara rakyat, serta menyatukan masyarakat dalam semangat kebersamaan.
“Pada kesempatan ini juga saya ingin mengambil kesempatan untuk menjemput orang ramai untuk datang ke GAH-UMS untuk melihat sendiri Pameran Khas Karya Seni Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah ini.
“Selain itu, turut berlangsung beberapa pameran lain iaitu Pameran Koleksi Tan Sri Azman Hashim di ruang pameran Lepa dan Pameran Rebung 2.0 Bakat Muda universiti di ruang pameran Kaamatan,” ujar beliau.
Hadir sama pada majlis tersebut Ahli Lembaga Pengarah UMS, Norali Ag. Damit; Pengarah Balai Seni Lukis Sabah, Sara Elisya Ahmad Shah; Pengarah GAH UMS, Prof. Madya Dr. Mohamad Puad Bebit serta Pegawai Utama dan Kanan UMS.