Penguasaan bahasa asing khususnya bahasa Mandarin penting bagi memudahkan urusan profesional mahupun komunikasi seharian.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Dr. Shahril Yusof, program sedemikian yang pada masa ini dijalankan oleh Institut Confucius UMS (CI UMS) merupakan satu strategi bagi melatih para peserta kursus untuk menguasai bahasa tersebut dengan baik.

“Kursus yang dibuka kepada pelajar dan orang luar ini tidak hanya mempelajari aspek bahasa tetapi turut meliputi aspek seperti pengenalan kepada budaya masyarakat Cina dengan tempoh kursus selama 12 minggu.

“Kursus ini sebelum ini turut melibatkan penyertaan kakitangan dari agensi kerajaan seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Imigresen yang mengawal pintu masuk negeri Sabah.

“Justeru, saya percaya ini mampu memberi satu kelebihan kepada petugas barisan hadapan seperti pegawai imigresen dan kastam untuk berkomunikasi dengan lebih berkesan khususnya dengan pelancong asing dari China,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan penyampaian Sijil Tamat Kursus Bahasa Mandarin 2024 di Galeri Majlis UMS.

Pada majlis tersebut, seramai 53 orang peserta berjaya menamatkan kursus, yang terdiri daripada kakitangan dari Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS), Syarikat SBH Kibing Solar, pelajar dan pensyarah UMS.

Turut hadir dalam majlis tersebut Pengarah CI, UMS, Dr. Chiew Tung Moi (Malaysia) dan Profesor Madya Dr. Huang Yuehua (China).

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS), melalui Pusat Jaminan Kualiti (CQA), telah menganjurkan Konvensyen Kumpulan Penggerak Inovasi (KKPI) 2024 baru-baru ini sebagai usaha menggalakkan budaya inovatif dan kreatif atau “KREANOVA” dalam kalangan pegawai pentadbiran dan pelaksana universiti, selaras dengan usaha meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan.

Bertempat di Galeri Majlis, Bangunan Canselori, konvensyen dua hari itu menarik penyertaan sebanyak 36 kumpulan dari pelbagai jabatan, fakulti, pusat, institut, dan bahagian di UMS.

Antara kategori yang dipertandingkan ialah Horizon Baharu Kumpulan Inovatif dan Kreatif (HB KIK), Pengurusan Lean (Lean Management), serta Poster Projek Inovasi (A3 Projek).

Menurut Pengarah CQA, Prof. Ir. Dr. Zainal Zakaria, usaha membudayakan inovasi dalam kalangan pegawai amat penting untuk meningkatkan keberkesanan dan kecekapan perkhidmatan universiti.

“Para pegawai pentadbiran dan pelaksana adalah tulang belakang organisasi, justeru inisiatif seperti ini sangat penting untuk merangsang pemikiran inovatif yang mampu membawa kesan besar kepada mutu penyampaian perkhidmatan di UMS.

“Dapat dilihat inisiatif inovasi ini memberi impak positif terhadap penjimatan kos dan kecekapan pengurusan UMS.

“Data menunjukkan 36 projek inovasi yang dipertandingkan telah menyumbang kepada penjimatan kos operasi universiti sebanyak RM58,230.60 atau purata RM4,479.20 setiap projek, selain bilangan aduan yang diterima juga menurun dari 1,819 kepada 383, membuktikan peningkatan kecekapan yang dicapai,” katanya dalam ucapannya sempena konvensyen tersebut.

Beliau turut berharap agar kejayaan melalui projek KREANOVA ini dapat memberi manfaat lebih luas kepada komuniti UMS dan organisasi lain.

“Harapan agar projek yang dihasilkan dalam konvensyen ini tidak hanya meningkatkan kualiti perkhidmatan jabatan masing-masing tetapi juga dapat dikongsi bersama seluruh komuniti UMS dan organisasi luar.

“Semoga budaya inovasi ini menjadi inspirasi kepada warga UMS secara keseluruhan,” ujar beliau.

Pada konvensyen tersebut, kumpulan Titans dari Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) mengungguli kategori HB KIK apabila meraih juara dengan projek Smart Kit Cycle.

Tempat kedua dimenangi oleh kumpulan Syzygium Tech dari Fakulti Pertanian Lestari (FPL) dengan projek Alat Mencabut Ubi Kayu, manakala kumpulan ServIQ dari Pusat Pentaran Ilmu dan Bahasa (PPIB) memenangi tempat ketiga melalui projek E-Kaunter: Fleksi dan Mudah.

Dalam kategori Pengurusan Lean, kumpulan i-Xam dari Bahagian Perkhidmatan Akademik (BPA) dinobatkan sebagai juara dengan projek Pengisian Maklumat Peperiksaan Akhir Secara Dalam Talian.

Kumpulan ProFit dari FSSA dan kumpulan Fteam dari Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) masing-masing memenangi tempat kedua dan ketiga melalui projek Preparation of Meetings (ProMeets) dan Tempahan Penginapan Hotel Secara Dalam Talian.

Kategori Poster Projek Inovasi (A3 Poster) menyaksikan kemenangan kumpulan Syzygium Tech dari FPL, diikuti kumpulan CAED Smart Tech dari Pusat Pembangunan dan Kecemerlangan Akademik (PPKA) di tempat kedua dan kumpulan i-Star dari BPA di tempat ketiga.

 

Satu delegasi dari Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Universitas Pakuan, Bogor, Indonesia telah mengunjungi Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) sebagai menandakan permulaan program mobiliti akademik yang bertujuan untuk mengukuhkan hubungan antara kedua-dua institusi.

Kumpulan pelawat tersebut terdiri daripada empat orang pensyarah dan pelajar yang diketuai oleh pensyarah pascasiswazah, Dr. Hari Muharam dijadualkan menyertai beberapa aktiviti kerjasama sepanjang lawatan itu.

Menurut kenyataan dari FPEP, program itu bertujuan bagi meneroka peluang projek penyelidikan bersama, penerbitan, dan program mobiliti yang bakal memberi manfaat kepada kedua-dua fakulti.

“Mesyuarat antara delegasi lawatan dan pensyarah UMS telah dirancang untuk membincangkan potensi kerjasama dalam bidang penyelidikan, serta program mobiliti pelajar dan pensyarah secara timbal balik.

“Pertemuan ini juga bertujuan untuk menyelaraskan kepentingan akademik kedua-dua institusi bagi jalinan kerjasama jangka panjang.

“Selain perbincangan rasmi, delegasi tersebut akan mengambil bahagian dalam aktiviti khidmat masyarakat yang bertujuan untuk memperkukuh hubungan sosial dan memberi sumbangan positif kepada komuniti setempat di sekitar UMS,” demikian menurut kenyataan tersebut.

Kenyataan FPEP turut menyebut, sebagai sebahagian daripada atur cara lawatan, satu lawatan lapangan ke Kundasang telah diatur dan kumpulan tersebut akan melawat ke sebuah tapak perniagaan yang berjaya dikendalikan oleh seorang alumni UMS.

“Lawatan ini bukan sahaja menonjolkan kejayaan alumni UMS dalam bidang keusahawanan, tetapi memberi peluang kepada pelajar dan pensyarah untuk menyaksikan secara langsung impak pendidikan universiti dalam kejayaan perniagaan tempatan.

“Program mobiliti yang berlangsung antara Universiti Pakuan dan UMS ini mencerminkan komitmen kukuh dalam meningkatkan pengalaman pendidikan merentas sempadan dan memupuk kerjasama akademik bertaraf global.

Turut hadir dalam menyambut ketibaan delegasi Universiti Pakuan, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi FPEP, Prof. Madya Dr. Suddin Lada yang mewakili Dekan FPEP, dan Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Pascasiswzah FPEP, Dr. Jakaria Dasan.

 

Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan lawatan rasmi ke Universitas Indonesia Jakarta dan Universitas Padjadjaran Bandung, baru-baru ini.

Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) FPSK UMS, Profesor. Madya Dr. Fairrul Masnah @ Kadir berkata program itu antara lain bertujuan sebagai penanda aras dalam bidang akademik dan klinikal, di samping mempromosikan FPSK UMS dan menggalakkan kerjasama antara kedua-dua institusi di masa hadapan.

Katanya, lawatan ini membuka peluang kepada UMS untuk menimba pengalaman berharga serta menyaksikan kemajuan luar biasa yang dicapai kedua-dua universiti sejak era pra-perang.

“Kedua-dua institusi memberikan sambutan yang hangat dan menunjukkan hospitaliti yang luar biasa.

“Di Universitas Indonesia, kami terpegun dengan faktor-faktor yang menyumbang kepada statusnya sebagai universiti terbaik di Indonesia. Jabatan Radiologi mempunyai 18 pakar radiologi, yang mana 90 peratus memiliki subspecialty tunggal atau berganda, dan dilengkapi dengan teknologi pengimejan perubatan terkini.

“Di samping itu, pasukan oftalmologi juga telah mencipta kit saringan mata yang inovatif, setanding dengan kit yang terkenal di pasaran,” katanya.

“Begitu juga, lawatan kami ke Universitas Padjadjaran mendedahkan bakat dan kemudahan perubatan yang luar biasa, terutama di Pusat Mata Kebangsaan Cicendo Indonesia, yang mempunyai bilik bedah, klinik, dan bilik saringan serta penilaian klinikal yang canggih,” ujar Fairrul.

Kedua-dua institusi turut menyatakan harapan yang tinggi untuk menjalin kerjasama dengan UMS dalam pelbagai bidang termasuk penyelidikan, penerbitan, kursus, serta pertukaran pelajar dan kakitangan.

Kerjasama ini bukan sahaja mencerminkan komitmen UMS dalam memajukan pendidikan dan amalan perubatan tetapi juga mengukuhkan hubungan akademik antara Malaysia dan Indonesia dalam meningkatkan taraf pendidikan dan kesihatan sejagat.

 

Seramai tujuh pelajar perubatan dari Erasmus University Rotterdam di Belanda telah mendapatkan pengalaman pembelajaran praktikal di klinik kesihatan luar bandar di Sabah menerusi Program Kesihatan Global Minor, yang merupakan kerjasama antara Universiti Malaysia Sabah (UMS), Erasmus University Rotterdam dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Program yang diuruskan oleh Unit Antarabangsa Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS ini berlangsung selama tujuh hari, memberikan pelajar pendedahan kepada pelbagai kes klinikal di kawasan luar bandar serta lawatan ke rumah pesakit.

Menurut penyelaras program, Dr. Cindy Chin, program ini juga memberi peluang kepada pelajar untuk memahami budaya Sabah melalui lawatan ke beberapa lokasi menarik di kawasan tersebut.

“Program ini membolehkan mereka melihat cabaran yang dihadapi oleh klinik di kawasan luar bandar sekitar Kudat, seperti kekurangan peralatan untuk kes-kes berisiko tinggi, serta isu berkaitan pengangkutan dan aksesibiliti tempatan.

“Melalui lawatan ke rumah dan sesi temu ramah, pelajar dapat merasai sendiri cabaran yang dihadapi oleh pesakit, walaupun terdapat halangan bahasa. Ini hanya dapat dilaksanakan dengan bantuan yang cemerlang daripada doktor klinik luar bandar,” ujarnya.

Cindy berharap untuk meningkatkan kerjasama dengan institusi perubatan antarabangsa bagi memperkembangkan Program Kesihatan Global Minor di UMS.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan industri dan institusi perubatan seperti Pejabat Kesihatan Daerah Kudat, Klinik Kesihatan Matunggong, dan Klinik Kesihatan Narandang atas sokongan mereka dalam menjayakan program ini.

“Kami di Unit Antarabangsa FPSK UMS juga menghargai sokongan berterusan daripada universiti dan berkomitmen untuk menjalankan program serupa bagi mempersiapkan pelajar perubatan menjadi graduan yang tahan masa depan,” katanya.

Di samping masa yang dihabiskan di Sabah, pelajar Erasmus University Rotterdam juga mengambil bahagian dalam aktiviti di UiTM Shah Alam.