KHAMIS, 16 NOVEMBER – Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Johnson Tee merasmikan Tamu Gadang Universiti Malaysia Sabah (UMS) sempena Majlis Konvokesyen UMS ke-19 yang berlangsung pada Sabtu hingga Isnin depan.

Beliau menyempurnakan lafaz perasmian semalam di  Padang Kawad yang menjadi lokasi Tamu Gadang sehingga 21 November 2017.

Hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah UMS, Datin Hajah Nurlaila Said, Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni),  Prof. Dr. Ismail Ali dan Pegawai-pegawai Utama dan Kanan UMS.

Terdahulu,  Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin dalam ucapannya berkata, Tamu Gadang yang dianjurkan setiap tahun sempena Majlis Konvokesyen UMS merupakan platform untuk melatih kepimpinan dalam kalangan mahasiswa khususnya dalam melaksanakan program di dalam kampus.

Katanya, penganjurannya yang menjadikan pelajar sebagai pengendali utama itu juga amat bertepatan dalam memastikan peningkatan kemahiran insaniah sekali gus  melahirkan graduan yang berdaya saing dan berminda kelas pertama.

Ujar beliau, Tamu Gadang pada kali ini akan diserikan dengan pelbagai acara pentas dan malam konsert artis terkemuka tanah air seperti Haqiem Rusli, Ernie dan Wany Hasrita yang merupakan finalis Anugerah Juara Lagu selain ramai lagi artis tempatan Sabah.

Hampir 200 gerai pameran juga dibuka pada kali ini yang menawarkan pelbagai perkhidmatan, jualan dan produk makanan.  

 

KHAMIS, 16 NOVEMBER – Seramai 57 mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) ditauliah pangkat Leftenan Muda Pertahanan Awam dalam satu majlis di UMS Peak kelmarin.

Pentauliahan pangkat tersebut disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Roslan Wahab.

Ketika berucap pada majlis tersebut, beliau menyeru agar para mahasiswa yang telah ditauliahkan untuk sentiasa bersedia memikul tanggungjawab bagi membantu APM dalam melaksana sebarang aktiviti kesedaran keselamatan awam menghadapi kecemasan dan bencana kepada rakyat Malaysia khasnya.

“Diharapkan agar siswa-siswi sekalian dapat mengaplikasikan segala pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh sepanjang lima semester ini dengan membantu diri, keluarga, masyarakat dan seterusnya negara.

“APM amat memerlukan sumbangan dari setiap warganya termasuk dalam kalangan Pegawai-pegawai Kehormat dan Bersekutu IPT serta pegawai muda dari Pasukan Siswa APM bagi mendepani pelbagai krisis, kecemasan dan bencana yang sering melanda negara dan dunia sejak kebelakangan ini,” katanya.

Tambah beliau, para Pegawai Pasukan Siswa APM perlu merebut peluang yang ada dalam menambah ilmu kemahiran Pertahanan Awam sebagai nilai tambah kepada pembentukan sahsiah dan keperibadian tinggi dalam kalangan mahasiswa universiti.

Terdahulu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof yang juga merupakan Komandan Pasukan Siswa APM UMS dalam ucapannya berkata, majlis pentauliahan buat kali keempat itu amat bermakna kerana buat julung kalinya diadakan secara medan dan dianjurkan di UMS Peak.

“Tujuan penganjuran majlis pentauliahan secara medan ini adalah untuk memaparkan segala kemahiran yang dipelajari Pegawai Kadet selama tiga tahun berada dalam Pasukan Siswa APM UMS,” ujar beliau.

Pada majlis pentauliahan tersebut, tiga pegawai kadet terpilih sebagai pegawai kadet terbaik, iaitu Nur Syakirah Zulkefli bagi Pegawai Kadet Terbaik Keseluruhan, Abdul Rahim Nasi bagi Pegawai Kadet Terbaik Kampus Antarabangsa Labuan, dan Risnaeni Samsari bagi Pegawai Kadet Terbaik Kampus Induk Kota Kinabalu.

 

 

KHAMIS, 16 NOVEMBER - Penyelidik dan pakar dalam industri bioteknologi perlu meneruskan usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang akan membawa kepada penemuan baharu dan boleh diterjemahkan kepada inovasi.
Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Mohd Azhar Yahaya berkata penemuan yang dibuat oleh para penyelidik dan pakar telah dimanfaatkan oleh industri untuk memacu ekonomi ke arah pembangunan mampan demi kepentingan manusia.
"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada komuniti saintifik kerana mengambil bahagian dalam proses membangunkan industri bioteknologi," katanya pada pelancaran Simposium Bioteknologi Kelima yang berlangsung selama dua hari bermula kelmarin.
Simposium yang dianjurkan oleh Institut Penyelidikan Bioteknologi, Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu bertemakan 'Bioteknologi untuk Pembangunan Mampan bagi Memenuhi Cabaran Global' menghimpunkan lebih 80 saintis, ahli akademik, pelajar, wakil industri dan profesional.
Mohd Azhar berkata, pengkorporatan institut penyelidikan di bawah Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia (NIBM) membantu institusi yang memberi tumpuan kepada R&D yang didorong oleh pasaran dan bebas membentuk rangkaian kerjasama dengan universiti tempatan dan antarabangsa, serta syarikat.

Sementara itu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berharap melalui simposium itu, pelbagai perkongsian dan idea boleh dikongsi untuk membincangkan langkah-langkah dan menyediakan program lestari dari perspektif bioteknologi.

Turut hadir, Ketua Pustakawan UMS, Dayang Rukiah Awang Amit dan Pemangku Pengarah Institut Penyelidikan Bioteknologi, Dr. Zarina Amin. 

                     

RABU, 15 NOVEMBER – Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyampaikan sumbangan berjumlah RM 800 kepada pertubuhan Kinabalu Pink Ribbon sebagai tanda sokongan terhadap gerakan pertubuhan tersebut yang memperjuangkan aktiviti kesedaran terhadap kanser payu dara.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Ketua Pustakawan UMS, Dg Rukiah Ag Amit kepada Presiden Kinabalu Pink Ribbon, Annie Chin dalam satu majlis di Bilik Mesyuarat PAKMA, Perpustakaan UMS.

Menurut Dg Rukiah, sumbangan tersebut adalah hasil penganjuran pada 31 Oktober lalu, yang disertai seramai 130 peserta dalam kalangan kakitangan UMS.

“Kita merancang untuk mengadakan program seumpama kelak pada hari hujung minggu bagi menarik penyertaan lebih ramai orang awam yang bekerja dan pelajar UMS,” katanya.

Sementara itu, Annie Chin berharap agar program yang dianjurkan mampu memberikan kesedaran kepada golongan pelbagai lapisan umur akan kepentingan untuk membuat pemeriksaan kanser payu dara sebagai langkah pencegahan awal.

“Kebanyakan golongan wanita tidak segera membuat pemeriksaan lanjut walaupun setelah menyedari terdapat tanda-tanda awal penyakit tersebut, dan akhirnya mereka telah berada di Tahap 4 Kanser Payu Dara setelah membuat pemeriksaan susulan apabila badan merasa sakit.

“Justeru, amat penting kepada masyarakat luar untuk mengetahui tentang penyakit ini dan melakukan pemeriksaan payu dara, Mammogram, dan pemeriksaan tubuh badan,” katanya.

Ujar beliau, sehingga ini belum ada punca khusus dikesan yang mengakibatkan penyakit tersebut, dan mengaitkan faktor gaya hidup mampu mendorong kepada penyakit Kanser Payu Dara.

Turut hadir pada majlis tersebut Timbalan Ketua Pustakawan Kanan UMS, Anna Michael dan wakil urusetia program Pink Ribbon Walk, Lorita Gadol.

 

SELASA, 14 NOVEMBER – Seramai 20 pelajar Kolej Kediaman E, Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan lawatan ke Wad Kanak-kanak di Hospital Wanita dan Kanak-kanak Likas baru-baru ini.

Program anjuran Exco Kemasyarakatan, Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) kolej kediaman itu antara lain bertujuan untuk menerapkan nilai rasa keprihatinan mahasiswa kepada golongan yang kurang bernasib baik sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim antara peserta, kanak-kanak dan pihak hospital.

Pengarah Program, Siti Baizurah Awang Kechil berkata, program itu juga membolehkan para mahasiswa meningkatkan kemahiran insaniah dalam aspek komunikasi dan jalinan komuniti serta memupuk nilai kemanusiaan yang tinggi.

“Antara aktiviti yang diadakan adalah acara Indoor game bertempat di bilik permainan khusus hospital itu yang mendapat sambutan memberangsangkan daripada pesakit kanak-kanak di wad ini.

“Melalui acara dan pengisian yang kami jalankan boleh dilihat senyuman dan keceriaan dalam kalangan mereka yang ada di sini,” katanya sambil mengharapkan para pesakit di wad kanak-kanak sentiasa positif dan kembali sembuh dengan segera.

Menurut Baizurah, keceriaan itu ditambah lagi dengan kehadiran para mahasiswa yang melawat wad tersebut dengan membawa buah tangan bersama.

Program lawatan dari pukul 9.00 pagi hingga 1.00 petang itu turut dihadiri Timbalan Pengetua Kolej Kediaman E, Mohd Hilmey Saili dan Felo Penyelaras, Safiah Masbaka.