KHAMIS, 07 DISEMBER - Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan  Simposium Pascasiswazah kali ke-9, kelmarin.

Bertempat di Galeri, Bangunan Canselori UMS, simposium yang diadakan secara tahunan itu menekankan aspek perkongsian akademik dalam kalangan pelajar pascasiswazah dan pensyarah.

Menurut Pemangku Pengarah IBTP, Prof. Madya Dr. Monica Suleiman, ia merupakan platform yang baik untuk pelajar pascasiswazah IBTP mengongsikan cadangan penyelidikan, idea dan keputusan mereka dengan pelajar lain, serta kepada penyelidik dan para pensyarah.

“Sepanjang simposium ini saya juga ingin berpesan agar pembentang dapat membuat teknik penyampaian dengan baik, sementara sebarang cadangan atau kritikan haruslah dikemukakan dengan berhemah terhadap mana-mana pembentang,” katanya ketika berucap merasmikan simposium itu.

Beliau berkata, ahli akademik dan penasihat juga harus memberi komen positif untuk menggalakkan dan membantu pelajar memperbaiki penyelidikan mereka.

Dalam pada itu, Dr. Monica turut menekankan agar para pelajar pascasiswazah juga sentiasa berhubung dengan penyelia masing-masing untuk memastikan mereka mampu mencapai sasaran untuk bergraduan dalam tempoh masa yang ditetapkan (Graduate on time).

Pada simposium tersebut seramai 20 pelajar pascasiswazah membentangkan cadangan penyelidikan, kemajuan penyelidikan dan pembentangan pra-viva, selain pembentangan empat poster.

 

Sumber: IBTP

KHAMIS, 7 DISEMBER – Dalam usaha memudahkan penyaluran maklumat kepada masyarakat luar, Fakulti Psikologi dan Pendidikan Universiti Malaysia Sabah (UMS) tampil mewujudkan e-Buletin dan Pusat Perkhidmatan TESL (TSC).

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata dengan adanya e-Buletin itu, semua maklumat tentang kecemerlangan fakulti berkenaan dapat disalurkan secara dalam talian dan lebih pantas.

"Saya percaya dengan penyaluran maklumat yang mudah ini, masyarakat luar akan lebih terinspirasi dengan fakulti itu secara umum.

"Manakala dengan kemudahan TSC pula pelajar dapat menyumbangkan ilmu yang mereka peroleh dalam bidang TESL kepada masyarakat, sekali gus memperkasakan kompetensi mereka dalam penggunaan bahasa Inggeris," katanya pada majlis pelancaran pusat itu kelmarin.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Shahril Yusof.

Majlis itu turut menyaksikan pelancaran Jurnal Psikologi dan Kesihatan Sosial (JPsiKS) oleh Unit Penyelidikan Psikologi dan Kesihatan Sosial, FPP.

Hadir sama, Dekan FPP, Prof. Dr. Haji Mohd. Dahlan A Malek

 

 

RABU, 6 DISEMBER – Persidangan Sumber Asli dan Pengurusan Alam Sekitar Asia Tenggara (SANREM) 2017 mampu menjadi platform bagi mengupas isu potensi sumber asli dan pengurusan alam sekitar di kawasan Asia Tenggara.

Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (MOSTI), Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, seminar tersebut yang mengumpulkan saintis, penyelidik, ahli akademik dan pelajar dari beberapa negara adalah medan terbaik bagi membincangkan dan berkongsi penemuan penyelidikan mereka dalam pelbagai bidang berkaitan.

“Ini adalah satu usaha penting dalam memberi peluang kepada para pakar dan ahli akademik serta pembuat dasar dan orang awam untuk berkongsi pengalaman mereka dalam mencari pendekatan terbaik menangani isu berkaitan alam sekitar.

“Pada masa ini kita menghadapi kesan peningkatan tahap kemusnahan alam sekitar dan ancaman terhadap kehidupan manusia serta ekosistem,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan perasmian persidangan tersebut, yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha MOSTI, Prof. Madya Dr. Ramzah Dambul di salah sebuah hotel di Kota Kinabalu.

Beliau menambah, pihak MOSTI akan terus memainkan peranan sebagai salah satu kementerian yang menyokong dan menggalakkan pertumbuhan sains, teknologi dan inovasi, serta komited dalam mengekalkan dan meneruskan kecemerlangan alam sekitar yang baik.

Terdahulu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata persidangan SANREM Kali Keempat itu diharap mampu mencapai objektifnya sebagai medan perbincangan dan pertukaran serta perkongsian idea dan penemuan dalam kalangan peserta dari pelbagai latar belakang.

“Diharapkan juga persidangan ini mampu menanam semangat kecintaan terhadap warisan semula jadi, serta mewujudkan kesedaran terhadap keperluan untuk melindungi sumber asli dan alam sekitar yanng masih tidak tercemar,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan Penolong Naib Canselor, Prof. Dr. Marcus Jopony.

Bertemakan ‘Pembangunan Kelestarian Ke Arah Kualiti Hidup Yang Lebih Baik’, persidangan dua hari itu mengumpulkan lebih 60 peserta dari dalam dan luar negara, antaranya dari Nigeria, Thailand, Indonesia, Australia, Bangladesh dan India.

 

 

 

RABU, 06 DISEMBER - Muhammad Najmie Rani dari Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) Universiti Malaysia Sabah (UMS) muncul sebagai johan pertandingan pidato “UMS Elocution Contest” yang dianjurkan Kursus Pengucapan Awam (EK00703) baru-baru ini.

Dengan pidato bertajuk ‘Keamanan’, Najmie mengetepikan pesaing terdekat Melissa Ashnur dari Fakulti Kejuruteraan (FKJ) UMS yang berada di kedudukan naib johan.

Tempat ketiga pula disandang Marmilah Abdullah dari Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW) melalui pidatonya bertajuk ‘Insan Berintegriti Kejayaan Berkualiti’.

Majlis perasmian dan penyampaian hadiah disempurnakan Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar (PKPP) UMS, Prof. Madya Dr. Anuar Din.

Dalam ucapannya beliau menyuarakan harapan agar program tersebut sekali gus dapat melahirkan generasi yang berketerampilan, berkarisma dan berkeyakinan terutama apabila berhadapan dengan khalayak ramai.

“Justeru, saya amat menyokong sekiranya program-program seumpama ini akan diteruskan lagi pada masa-masa akan datang,” katanya.

Terdahulu, wakil pengarah program, Shemaiah Marie Mojuntin dalam ucapannya berkata, penganjuran program tersebut bertujuan untuk memartabatkan Bahasa Melayu dalam diri masyarakat terutamanya dalam kalangan mahasiswa termasuk pelajar antarabangsa yang yang menuntut di UMS.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini, terlebih kepada Pengarah PKPP UMS atas kesudian hadir bagi merasmikan program selain para penaja yang telah bersama-sama membantu menjayakan program ini,” katanya.

Bertemakan Bahasa Jiwa Bangsa pertandingan tersebut disertai oleh semua 10 fakulti yang terdapat di UMS.

Hadir sama, Pensyarah Kursus Pengucapan Awam, Mohammad Norazmi Haris.

 

 

SELASA, 06 DISEMBER – Majlis  Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Universiti Malaysia Sabah (UMS) anjuran  Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah (PIUMS) pagi tadi disambut meriah bermula dengan perhimpunan dari dataran Dewan Canselor  yang kemudiannya berarak menuju ke Masjid UMS.

Pengarah PIUMS, Prof. Madya Dr. Muhammad Suhaimi Taat berkata, seramai 17 kontinjen yang mewakili Jabatan, Fakulti, Pusat, Institut dan Unit (JFPIU) serta pelajar menyertai perarakan pada sambutan kali ini.

“Program sebegini harus diteruskan pada masa akan datang sebagai menzahirkan kecintaan kita kepada junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W.,” jelasnya.

Terdahulu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin dalam teks ucapan perasmiannya berkata, tema sambutan ‘Kesatuan Ummah Kesejahteraan Negara’ sangat bertepatan dengan kesungguhan universiti untuk menyatukan fikiran dan menyeragamkan tindakan dalam memacu kecemerlangan selaras dengan slogan ‘Bertekad Cemerlang’.

“Syabas dan tahniah kepada warga UMS khususnya mereka yang terlibat secara langsung dalam aktiviti yang dianjurkan sempena bulan maulud ini, terlebih kepada semua ahli jawatankuasa yang telah bertungkus lumus bagi menjayakan sambutan Maulidur Rasul  ini,” katanya.

Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof. Dr. Rasid Mail.

Sementara itu, sambutan itu turut menyaksikan kontinjen Al-Jawwad dari Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) menerima cek bernilai RM1,000 beserta sijil selaku pemenang kontinjen terbaik, disusuli  Jabatan Perpustakaan selaku naib johan dengan hadiah RM700 dan sijil.

Fakulti Perniagaan Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) muncul sebagai pemenang tempat ke-3 dan menerima hadiah wang tunai RM500 beserta sijil.

Sambutan kali ini turut diisi dengan sesi ceramah yang disampaikan Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Cawangan Sabah, Haji Mat Radzi Haji Mat Ali.

Turut hadir Pendaftar UMS, No’man Datuk Haji Ahmad dan Bendahari UMS, Zallifah Shadan.

Kira-kira 500 pelajar dan kakitangan UMS turut sama menjayakan sambutan tersebut.